Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ketua baru PSP Leong Mun Wai pertahan gaya 'konfrontasi' di Parlimen

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mengulas dakwaan penganalisis politik yang menyifatkan gaya beliau berdebat di parlimen sebagai "bersikap konfrontasi",  Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai berkata beliau hanya cuba sedaya upaya untuk mendapatkan jawapan bagi soalan yang beliau rasakan tidak dijawab di Parlimen. 
 
Pun begitu, Encik Leong akur bahawa terdapat prosedur parlimen yang tidak beliau faham dan dengan lebih banyak pengalaman, beliau berharap akan menjadikan penampilannya "lebih berwibawa", katanya di sidang media Parti Kemajuan Singapura (PSP) di ibu pejabat parti di Pusat Beli-Belah Bukit Timah pada Sabtu (27 Mei). 

Acara itu  merupakan kali pertama Encik Leong bercakap di satu sidang media sejak dilantik sebagai setiausaha agung baru PSP pada April.

Turut hadir di sidang itu ialah pengerusi dan pengasas PSP, Dr Tan Cheng Bock, dan naib pengerusi Hazel Poa. 

Semasa membentangkan hala tuju dan rancangan PSP sebagai persiapan untuk Pilihan Raya Umum akan datang - yang dijadual diadakan sebelum November 2025 - Encik Leong berkata parti itu akan memberi tumpuan kepada usaha menggembleng sokongan. 

Susuli pengundian jawatankuasa eksekutif pusat baru PSP, Encik Leong berkata tiada keperluan untuk merombak dan menyusun semula pucuk pimpinan parti itu dan beliau akan mengembangkan nilai-nilai dan struktur yang diterapkan pemimpin-pemimpin terdahulu. 

"TANGGUNGJAWAB ASAS SEBAGAI AP"

Encik Leong berkata sama ada gayanya "bersikap konfrontasi" - yang menurut beliau, jolokan diberikan oleh penganalisis, bergantung kepada cara seseorang memandang tindakannya. 

"Jika anda rasa setiap kali saya cuba mendapatkan jawapan yang pasti daripada menteri dan setiap kali saya menjawab speaker untuk diberi peluang berucap - itu bersikap konfrontasi, saya sudah tidak boleh kata apa-apa kerana saya rasa ia adalah tugas asas seorang anggota parlimen," ujar Encik Leong. 

Tambahnya, sebagai seorang anggota parlimen, beliau percaya perlu baginya mendesak untuk mendapatkan jawapan jika tiada jawapan diberikan. 

"Apabila soalan anda tidak dijawab menteri, anda tidak boleh hanya duduk semula. Anda harus bertanya lagi," katanya. 

Dr Tan yang bersetuju dengan kata-kata Encik Leong, menambah "label itu antara yang dilemparkan kepada" Encik Leong.

"Kadangkala ia bukan satu konfrontasi, ia hanya satu usaha untuk cuba mendapatkan jawapan. Gayanya berbeza, itu sahaja," kata Dr Tan. 

"PARTI PILIHAN"

Berhubung hala tuju dan rancangan PSP, Encik Leong berkata tugasnya buat masa ini adalah untuk menggembleng tenaga anggota dan sukarelawannya dalam usaha mendampingi rakyat. 

"Terdapat banyak lagi yang harus dilakukan oleh PSP untuk meraih sokongan pengundi," katanya. 

Mengenai usaha PSP untuk memikat pengundi muda pula, Encik Leong akur bahawa parti itu bermula dengan sokongan kukuh warga emas seperti mereka daripada Generasi Merdeka yang berusia 60-an dan 70-an tahun. 

Namun, aktiviti mendampingi rakyat dan pelbagai dasar yang dibentangkan "serasi" dengan generasi muda dan ia telah membantu parti itu untuk meluaskan sokongannya, kata Encik Leong lagi.

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan