Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ketibaan kapal, jumlah kontena & penjualan bahan api di pelabuhan SG cecah paras tertinggi pada 2023

Anggaran Waktu Membaca:
Ketibaan kapal, jumlah kontena & penjualan bahan api di pelabuhan SG cecah paras tertinggi pada 2023

Pelabuhan kontena di Tanjong Pagar. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

SINGAPURA: Pelabuhan Singapura mengendalikan jumlah rekod trafik kontena pada 2023, seperti yang ditunjukkan data rasmi pada Jumaat (12 Jan).

Ia mencerminkan tahun cemerlang meskipun berlaku ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan yang berterusan.

Pengeluaran kontena pada 2023 meningkat sebanyak 4.6 peratus kepada rekod 39.01 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU), melebihi rekod sebelumnya iaitu sekitar 37.6 juta pada 2021, dedah Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) pada Jumaat (12 Jan).

Sebanyak 591.70 juta tan kargo dikendalikan pada 2023, naik dari 578.22 juta tan pada 2022. Purata kekerapan bulanan perjalanan feri serantau juga pulih kepada kira-kira 70 peratus pada paras sebelum COVID, tambah MPA.

Ketibaan kapal tahunan mengikut tan, iaitu ukuran trafik kapal di Pelabuhan Singapura pada 2023 melebihi 3 bilion GT (tan kasar) buat pertama kalinya. Jumlah 3.09 bilion GT tahun lalu menunjukkan kenaikan 9.4 peratus berbanding 2022.

PENJUALAN BAHAN BAKAR BIO BAGI KEGUNAAN KAPAL NAIK LEBIH TIGA KALI GANDA

Penjualan bahan api bagi kegunaan kapal (bunker) melonjak kepada 51.82 tan matrik, melepasi rekod sebelum ini pada 50.64 tan pada 2017.

Penjualan bahan bakar untuk kegunaan kapal bagi campuran bahan api bio mencecah 520,000 tan pada 2023 berbanding 140,000 tan pada 2022.

Penjualan bahan bakar bio-bunker mengatasi jualan gas asli cecair (LNG), sebanyak 110,000 tan pada 2023, walaupun jumlah LNG menjadi lebih kukuh sebanyak enam kali ganda, berbanding 16,000 tan pada 2022.

MPA menyatakan bahawa penjualan rekod bahan bakar 'bunker' mencerminkan sokongan Singapura kepada masyarakat perkapalan global sebagai hab bahan bakar 'bunker' dan bahan api alternatif, seperti campuran bahan bakar bio, LNG dan metanol, yang merangkumi 1.2 peratus daripada jumlah tersebut.

Ia menjangkakan "prospek pertumbuhan baik yang berterusan" pada 2024, tambah pihak berkuasa itu.

MUNGKIN BERDEPAN CABARAN PADA 2024

MPA mengaitkan prestasi kukuh pada 2023 dengan pemulihan dalam perdagangan serantau dan "kerjasama tiga pihak yang teguh dalam kalangan kesatuan sekerja, industri dan pemerintah untuk meningkatkan kecekapan, keandalan dan keselamatan secara konsisten di Pelabuhan Singapura".

Bagaimanapun, Pemangku Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat memberi amaran tentang "laut bergelora pada masa depan" disebabkan ekonomi global yang dijangka berkembang pada kadar yang lebih perlahan pada 2024, serta tekanan inflasi dan sentimen pengguna yang lemah terus menjejas pertumbuhan ekonomi dan perdagangan.

Aliran perdagangan dan rantaian bekalan juga terganggu oleh ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim.

KETEGANGAN DI LAUT MERAH MENINGKAT

MPA menyatakan pada Jumaat bahawa ia sedang "memantau dengan teliti" keadaan geopolitik semasa di seluruh dunia dan kesannya terhadap laluan perkapalan utama dan rantaian bekalan global.

Meskipun Pelabuhan Singapura "tidak terkesan" oleh keadaan di Laut Merah, ia bersedia membantu kapal untuk "mengejar" jadual mereka.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan