Skip to main content

Singapura

Ketegangan global, dasar tidak pasti boleh jadi 'titik perubahan' bagi dagangan sejagat: SM Lee

Keadaan global yang semakin tegang dan dasar tidak pasti, boleh menjadi titik perubahan bagi kegiatan perdagangan sejagat, kata Menteri Kanan Lee Hsien Loong pada Isnin (24 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Ketegangan global, dasar tidak pasti boleh jadi 'titik perubahan' bagi dagangan sejagat: SM Lee

Sebuah kapal kontena berlalu di perairan selatan Singapura pada 17 November 2020. (Gambar fail: Reuters/Edgar Su)

Diterbitkan : 24 Mar 2025 01:52PM Dikemas Kini : 24 Mar 2025 01:54PM
SINGAPURA: Keadaan global yang semakin tegang dan dasar tidak pasti, boleh menjadi titik perubahan bagi kegiatan perdagangan sejagat, kata Menteri Kanan Lee Hsien Loong pada Isnin (24 Mac).

Menurut Encik Lee, tidak boleh diandaikan bahawa perdagangan global akan terus bergerak seiringan dengan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dunia.

Beliau berkata jika nisbah perdagangan dengan GDP mula jatuh, akan ada "kesan ekonomi dan strategik yang serius".

Sekurang-kurangnya ia akan menjejas pertumbuhan ekonomi banyak negara, sekali gus menimbulkan lebih banyak masalah sosial dan politik, di dalam negeri dan peringkat antarabangsa.

"Jika ini berlaku, dunia benar-benar akan memasuki zaman baharu, yang belum pernah dilihat sejak Perang Dunia Kedua," kata Encik Lee.

"Sememangnya, harapan kami ialah tidak kira apa pun ketidaktentuan dan cabaran di masa hadapan, perdagangan dunia akan terus berkembang, bukan hanya untuk bagi perkembangan industri maritim, tetapi memastikan kehidupan lebih produktif dan makmur bagi penduduk di merata dunia."

Encik Lee berucap pada hari pembukaan acara Minggu Maritim Singapura (SMW) yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec.

Beliau menarik perhatian bahawa SMW berlangsung di tengah-tengah "persekitaran yang semakin tidak menentu".

Sedang dunia melalui globalisasi sepanjang enam dekad lalu, ekonomi Singapura yang kecil dan terbuka semakin berkembang, kata Encik Lee.

Dengan perdagangan antarabangsa yang berkembang, industri maritim global juga turut tumbuh, dan ekonomi dunia meraih manfaat daripadanya.

"Singapura mengharungi gelombang ini dan secara am berjaya mengatasinya," kata Encik Lee.

Sebagai contoh, Singapura melabur dan melaksanakan dasar untuk membangunkan sebuah hab perdagangan dan maritim yang terbuka, diyakini dan boleh dipercayai.

Ia juga menjadi penghubung utama kepada rantaian bekalan global, dan pintu masuk antara Timur dengan Barat.

MASA HADAPAN MENCABAR

Namun dunia hari ini sudah berlainan, katanya, dengan sikap terhadap perdagangan dan corak aliran perdagangan sudah berubah.

Sepanjang sedekad lalu, ketegangan strategik antara kuasa-kuasa besar juga kian meningkat.

"Sesetengah kuasa besar mengambil pendekatan lebih transaksional, kadangkala lebih memaksa untuk mencapai matlamat segera, dengan kurang pertimbangan terhadap manfaat tidak langsung untuk jangka panjang," katnaya.

"Perubahan itu telah meningkat dengan pesat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

"Pentadbiran baharu di Amerika Syarikat (AS) percaya di bawah sistem pentadbiran sebelumnya, AS diberi layanan kurang adil oleh rakan-rakan kongsi perdagangan, sama ada teman atau seteru - untuk menukil kata-kata mereka - jauh daripada tanggapan dahulu bahawa perdagangan antarabangsa, pelaburan atau perjanjian berbilang hala akan memanfaatkan semua pihak.

"Ia menganggap tarif bukan sahaja sebagai instrumen ekonomi pilihan, tetapi juga sebagai kelebihan untuk tawar-menawar dalam bidang bukan ekonomi, untuk melindungi kepentingan negara secara keseluruhan. Negara-negara lain telah bertindak balas dengan cara yang sama."

Perubahan iklim juga menjejas corak perdagangan global. Perubahan iklim dan cuaca ekstrem sudah pun menjejaskan beberapa laluan perdagangan, kata Encik Lee.

Kemarau menyebabkan paras air rendah di takungan air yang membekalkan air kepada Terusan Panama, sekali gus meningkatkan kos dan ketidaktentuan kepada kapal dagangan.

Laluan baharu seperti Northeast Passage mula dibuka disebabkan oleh bongkah ais yang cair di Artik.

Disebabkan itu, industri maritim kini menghadapi tekanan untuk mengurangkan jumlah pelepasan karbon.

Perkapalan antarabangsa menyumbang kepada kira-kira 3 peratus daripada keseluruhan pelepasan gas hijau.

KESAN KEPADA SINGAPURA

Perubahan global itu akan mempunyai kesan besar terhadap Singapura, kerana perdagangan penting bagi kewujudan dan industri maritim adalah penyumbang utama kepada ekonomii negara.

"Namun walaupun perdagangan berdepan cabaran besar, globalisasi tidak mungkin terjejas sepenuhnya," kata Encik Lee.

"Di sebalik semua cabaran semasa, dunia masih perlu berdagang dan negara-negara tetap perlu berurusan perniagaan dengan satu sama lain."

Encik Lee berkata hampir 80 peratus penduduk dunia tinggal di negara-negara yang mengimport makanan, dan ini termasuk Singapura.

Tanpa perdagangan, negara-negara ini akan kebuluran, katanya.

Encik Lee berkata menjadi tugas Singapura untuk memastikan perdagangan antarabangsa terus berkembang.

"Jadikan ekonomi kita dan industri maritim kita lebih cekap, lebih berdaya saing, lebih dipercayai, jadi tidak kira apa pun keadaan di seluruh dunia, orang lain tetap mahu berdagang dan berniaga di sini, dan kita dapat terus menyara hidup."

APA YANG DILAKUKAN SINGAPURA

Singapura mesti lakukan itu terlebih dahulu, dengan pertama sekali, komited untuk terus mengamalkan ekonomi terbuka.

"Kerana kita kecil, kita tidak mempunyai pilihan. Tetapi kita bukan seorang diri, Walaupun dengan kurangnya globalisasi , kebanyakan negara masih percaya perdagangan boleh menjadi cadangan yang menguntungkan kedua-dua pihak, dan tetap mahu mengekalkan sebanyak mungkin manfaat daripada perdagangan berbilang hala, katanya.

Singapura akan terus menyokong sistem perdagangan pelbagai hala yang berasaskan peraturan, kerjasama antarabangsa dan saling kebergantungan.

Kedua, Singapura akan terus mengukuhkan negara ini sebagai nadi hab serantau dan global.

Encik Lee menarik perhatian Singapura telah melabur dalam infrasktruktur pelabuhannya dan sektor maritim menyumbang kepada lebih 6 peratus GDP negara dan menyokong sekitar 140,000 pekerjaan.

Industri maritim akan terus dikembangkan menerusi pelaburan seperti Pelabuhan Tuas, yang berupaya mengendalikan 65 juta unit setara 20 kaki (TEU) setiap tahun apabila ia siap dibina pada tahun 2040an.

TEU merupakan unit pengukur standard dalam industri maritim bagi menghitung keupayaan pemunggahan kargo.

Ketiga, Singapura juga akan memainkan peranan dalam menangani perubahan iklim.

Ia komited mengurangkan pelepasan karbon sebelum 2030 dan mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Singapura juga melabur dalam teknologi mesra alam untuk memainkan peranan dalam peralihan industri rendah pelepasan karbon.

Sebagai contoh, Singapura adalah pusat 'bunkering' dan penapian petroleum.

Apabila bahan api alternatif dibangunkan dan mula digunakan pada masa hadapan, garis laut dan prasarana negara ini "berkemungkinan besar menjadi saluran utama bagi pengangkutan dan pengedarannya".

"Dunia tidak dapat mengelak keadaan bergelora di masa hadapan, tetapi masa depan industri maritim tetap cerah," katanya.

"Jika kita merancang lebih awal dan mengambil langkah yang betul sekarang, kita mempunyai setiap peluang untuk terus berkembang maju."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita