Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ketegangan AS-China 'bukan tidak dapat dielak secara strategik', tegas PM Lee

Meskipun "masalah asas" antara Amerika Syarikat dengan China tertumpu kepada kurangnya kepercayaan strategik yang memberi petanda buruk mengenai sikap bertolak ansur ataupun kesediaan untuk berbincang secara aman, namun konfrontasi bukan "sesuatu yang tidak dapat dielakkan secara strategik". 

Anggaran Waktu Membaca:
Ketegangan AS-China 'bukan tidak dapat dielak secara strategik', tegas PM Lee

Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa berucap di Dialog Shangri-La pada 31 Mei 2019. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 01 Jun 2019 12:11AM Dikemas Kini : 01 Jun 2019 12:23AM

SINGAPURA: Meskipun "masalah asas" antara Amerika Syarikat dengan China tertumpu kepada kurangnya kepercayaan strategik yang memberi petanda buruk mengenai sikap bertolak ansur ataupun kesediaan untuk berbincang secara aman, namun konfrontasi antara kedua-dua negara itu bukan "sesuatu yang tidak dapat dielakkan secara strategik," kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

"Jika kedua-dua pihak terus bertikai, ia akan menjadi satu kesilapan yang serius," ujar PM Lee.

PM Lee berkata demikian semasa merasmikan Dialog Shangri-La tahun ini, yang berlangsung pada Jumaat (31 Mei). Dialog Shangri-La diadakan di tengah-tengah ketegangan antara Amerika Syarikat dengan China berhubung bidang maritim, perdagangan dan teknologi.

PM Lee berkata kedua-dua pihak "tidak mahu dianggap lemah". Beliau menarik perhatian bahawa Amerika Syarikat mahu menunjukkan bahawa ia dapat menguasai dan mempengaruhi sebarang perjanjian, manakala China pula, disebabkan oleh sejarahnya dengan negara-negara Barat, tidak mahu tunduk kepada tekanan Barat untuk mempersetujui sebarang perjanjian yang "tidak adil".

PM Lee berkata: "Kedua-dua negara harus memastikan agar hubungan dua halanya kekal stabil, supaya kedua-dua negara boleh memberi tumpuan kepada keutamaan dalam negeri masing-masing dan tidak terganggu akibat masalah hubungan dua hala antara satu sama lain."

KONFLIK AS-CHINA

Semasa menyampaikan ucapannya, PM Lee turut bertanya bagaimana konflik antara Amerika Syarikat dengan China boleh dihuraikan.

"China tidak boleh menundukkan Amerika Syarikat," katanya. "Amerika Syarikat tetap negara paling gagah di dunia. Malah, ekonominya kekal sebagai yang paling inovatif dan kukuh dan keupayaan tenteranya pula jauh lebih hebat berbanding negara-negara lain."

PM Lee akur bahawa meskipun China mungkin mendahului Amerika Syarikat dalam bidang-bidang tertentu, namun ia akan mengambil "masa selama bertahun-tahun" sebelum negara itu dapat menyaingi Amerika Syarikat.

Maka itu, PM Lee membuat kesimpulan bahawa konfrontasi antara Amerika Syarikat dengan China bukan "sesuatu yang tidak dapat dielakkan secara strategik". Namun pada masa yang sama, sekiranya ia berlaku, ia tidak serupa seperti Perang Dingin.

PM Lee menegaskan bahawa ketegangan yang berlarutan dan ketidaktentuan yang berlaku sekarang boleh "meninggalkan kesan yang amat buruk".

"Kebanyakan masalah antarabangsa yang serius seperti keadaan di Korea, pengawalan senjata nuklear dan perubahan iklim tidak boleh ditangani tanpa pelibatan Amerika Syarikat dan China bersama dengan negara-negara lain," kata PM Lee.

"Bagi bidang ekonomi pula, kerugian bukan sahaja dari segi kehilangan satu ataupun dua peratusan mata daripada GDP global, tetapi ia juga akan menjejas manfaat yang boleh diraih daripada pasaran global dan rangkaian pengeluaran, serta mengongsi pengetahuan dan kejayaan bagi membolehkan setiap negara untuk sama-sama berkembang maju dengan lebih pantas"

Oleh itu, PM Lee menekankan bahawa "usaha mesti dipergiat" bagi mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam konflik dan mencetuskan permusuhan antara kedua-dua negara yang boleh berlarutan selama beberapa generasi.

HUBUNGAN AS-CHINA KIAN BERUBAH-UBAH

Memandang ke hadapan, PM Lee berkata bagaimana Amerika Syarikat dan China meredakan ketegangan dan pergeseran akan menentukan landskap antarabangsa selama berpuluh-puluh tahun akan datang.

"Hubungan dua hala antara Amerika Syarikat dengan China adalah yang paling penting di dunia buat masa ini," kata PM Lee sambil menarik perhatian bahawa hubungan dua hala itu "sudahpun berubah dengan ketara".

PM Lee turut berkata bahawa dunia juga meraih manfaat daripada kemajuan dan kejayaan China.

MEMPERTAHANKAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA

Pada masa yang sama, PM Lee berkata pertumbuhan China sudah berubah dan ini menjejas perseimbangan strategik dan ekonomi dunia.

"China mungkin mengambil masa selama berpuluh-puluh tahun sebelum menjadi sebuah negara maju, namun ia tidak boleh menunggu selama berdekad-dekad lagi sebelum memikul tanggungjawab yang lebih berat."

Setelah meraih banyak manfaat daripada sistem antarabangsa, PM Lee berkata China sekarang "mempunyai peranan penting" untuk mempertahankan sistem itu dan memastikan ia bermanfaat bagi masyarakat sejagat."

"Para pemimpin China dengan lantang menyokong globalisasi dan peraturan antarabangsa yang berdasarkan undang-undang," katanya.

"China kini mesti meyakinkan negara-negara lain menerusi tindakannya bahawa ia tidak mengambil pendekatan transaksional dan mekantil tetapi sebaliknya memberikan pandangan inklusif mengenai kepentingan jangka panjangnya."

BERSIKAP TENANG TERHADAP ISU MARITIM

Menyentuh tentang isu keselamatan pula, Perdana Menteri menarik perhatian bahawa kata-kata dan tindakan China dilihat dari sudut yang berbeza sebelum ini, tetapi China sekarang adalah antara kuasa utama dunia dengan belanjawan pertahanan kedua terbesar di dunia.

"Bagi melindungi wilayah-wilayah dan laluan perdagangan, China secara semula jadi mahu membangunkan angkatan bersenjata yang moden dan hebat. Malah ia juga mempunyai aspirasi untuk bukan sahaja menjadi kuasa besar di rantau ini, tetapi juga kuasa maritim yang hebat," dedah PM Lee.

"Pada masa yang sama, untuk memperluaskan pengaruhnya terhadap masyarakat antarabangsa yang menjangkaui kekuatan tentera, China perlu bersikap tenang dan mengambil langkah-langkah yang mewajarkan tindakannya."

Sungguhpun demikian, PM Lee berkata pergeseran mungkin berlaku antara China dengan negara-negara lain dari semasa ke semasa, sambil menarik perhatian kepada tuntutan bertindih di Laut China Selatan sebagai contoh.

"China harus menghuraikan pertikaian ini secara damai, dengan mematuhi undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS)," kata PM Lee.

NEGARA-NEGARA MESTI SESUAIKAN DIRI DENGAN CHINA

Dalam tempoh jangka panjang pula, PM Lee berkata ini akan membolehkan China untuk terus meraih manfaat daripada landskap antarabangsa yang kondusif dan muhibah, selain memperluaskan pengaruh dan kedudukannya di dunia.

"Negara-negara lain juga harus menyesuaikan diri dengan peranan besar China," katanya.

PM Lee menarik perhatian bahawa China akan mempunyai kepentingan dan cita-citanya yang tersendiri, termasuk pembangunan teknologi canggih seperti infokom dan kecerdasan buatan.

"Negara-negara harus menerima hakikat bahawa China akan terus berkembang dan menjadi lebih hebat, dan tidak munasabah mahupun bijak untuk menyekatnya daripada berlaku."

PENYESUAIAN AS "AMAT MENCABAR"

Amerika Syarikat, sebagai "kuasa paling utama", akan menghadapi kesukaran untuk membuat penyesuaian, kata PM Lee.

"Walapun sukar, ada baiknya jika Amerika Syarikat cuba memahami aspirasi China dalam sisitem yang ada sekarang berdasarkan peraturan dan norma sedia ada."

PM Lee juga menarik perhatian kepada pentingnya undang-undang antarabangsa baru bagi pelbagai bidang seperti perdagangan dan hak intelektual, keselamatan siber dan media sosial.

"Yang penting sekali, Amerika Syarikat dan China harus bekerjasama, bukan sahaja antara satu sama lain tetapi dengan negara-negara lain juga, bagi memastikan sistem sejagat sentiasa mengikut perkembangan terkini dan bukan menghambat sistem tersebut."

"Untuk berjaya, kedua-dua negara harus memahami perspektif masing-masing dan saling menyelaraskan kepentingan satu sama lain."  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan