Skip to main content

Singapura

Ketegangan Amerika-China risiko terbesar dihadapi dunia, kata Macron

Anggaran Waktu Membaca:
Ketegangan Amerika-China risiko terbesar dihadapi dunia, kata Macron

Presiden Perancis Emmanuel Macron menyampaikan ucapan semasa Dialog Shangri-La IISS pada 30 Mei 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 30 May 2025 10:06PM Dikemas Kini : 30 May 2025 10:07PM
SINGAPURA: Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata pada Jumaat (30 Mei) bahawa ketegangan dan keretakan hubungan antara dua kuasa besar dunia, Amerika Syarikat dan China, adalah risiko utama yang dihadapi dunia ketika ini, dengan Encik Macron menekankan keperluan untuk membina perikatan baharu antara Paris dan rakan-rakan kongsi di Indo-Pasifik.

Encik Macron sedang dalam rangka lawatan ke rantau ini, dengan Perancis dan Kesatuan Eropah (EU) berhasrat untuk mengukuhkan hubungan komersial mereka di Asia untuk mengimbangi ketidaktentuan mengenai langkah tarif Presiden Donald Trump.

"Perancis adalah rakan dan sekutu Amerika Syarikat, dan kami saling bekerjasama - walaupun kadangkala kami tidak bersetuju dan bersaing - dengan China," kata Encik Macron semasa berucap di Dialog Shangri-La, forum pertahanan utama di Asia, di samping melakukan lawatan negara dua hari ke Singapura.

Presiden Perancis itu berkata Asia dan Eropah mempunyai kepentingan bersama dalam mencegah keruntuhan aturan global.

"Masa untuk tidak bersekutu sudah pasti telah berlalu, tetapi masa untuk bertindak secara kolektif telah tiba, dan memerlukan negara-negara yang mampu bertindak bersama memberi diri mereka segala cara untuk berbuat demikian," kata Encik Macron.

Encik Macron mengikut langkah para pemimpin China, Jepun dan negara-negara Eropah yang lain melawat rantau ini sejak beberapa minggu kebelakangan ini, yang memperlihatkan kepentingan strategik Asia Tenggara di tengah-tengah ketidaktentuan pada rantaian bekalan dan perdagangan global.
Sumber : CNA/AW/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita