Skip to main content

Singapura

Kesyukuran, kesantunan dan kesopanan - tiga nilai teras SalamSG Ramadan 2026

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: “Tahun ini, SalamSG dipandu oleh tiga nilai – kesyukuran, kesantunan dan kesopanan.”

Demikian ditekankan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran inisiatif SalamSG Ramadan 1447H yang diadakan di Masjid Yusof Ishak pada Sabtu (7 Feb).

SalamSG merupakan inisiatif untuk menyemarakkan program-program masjid serta mengajak masyarakat menghidupkan kehidupan beragama di ruang fizikal seperti di masjid dan ruang maya.

Dr Faishal menjelaskan bahawa nilai-nilai tersebut, walaupun ringkas, memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri umat Islam, bukan sahaja sepanjang bulan Ramadan, malah dalam kehidupan seharian seterusnya.

"Kesyukuran bermakna mengenang nikmat yang kita miliki dan menghargai insan yang sentiasa bersama kita. Kesantunan adalah adab dalam setiap tutur cara kita – sikap kesabaran, berbudi bahasa dan saling menghormati, sama ada di rumah, di tempat
kerja ataupun dalam talian.

"Kesopanan pula ialah kasih sayang yang dizahirkan – berkongsi rezeki, berkhidmat kepada orang lain dan memastikan tiada siapa di antara kita ketinggalan," kata Dr Faishal.

MENGHIDUPKAN NILAI-NILAI RAMADAN

Beliau menegaskan bahawa ketiga-tiga nilai teras SalamSG bukan sekadar tema Ramadan, tetapi prinsip yang membentuk jati diri individu dan masyarakat secara berterusan.

“Masjid-masjid kita menghidupkan nilai-nilai ini melalui pelbagai program – daripada ceramah agama dan tazkirah, kegiatan belia, buka puasa beramai-ramai dan membantu mereka yang memerlukan,” ujar beliau.

Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir, menekankan bahawa bulan Ramadan bukan sekadar berpuasa atau beribadah, tetapi peluang untuk transformasi diri dan masyarakat.

"Ada dua matlamat pada bulan Ramadan ini, memperkukuh ketaatan kepada Allah s.w.t. dan melibatkan diri dalam muhasabah diri. Dengan memperbanyakkan ibadah—solat sunat, bacaan al-Quran, i'tikaf dan sedekah, meringankan beban mereka yang memerlukan, kami berharap transformasi ini berterusan selepas Ramadan," kara Dr Nazirudin.
Related article image
(Gambar: MUIS)
Menurut Dr Nazirudin, cabaran seterusnya adalah pendidikan, supaya masyarakat memahami agama, kehidupan dan tanggungjawab dengan jelas, serta mampu menangkis kekeliruan dan maklumat salah dalam dunia yang cepat berubah.


“Dalam konteks kita hari ini, kita mempunyai salah satu institusi masjid yang terbaik, bukan kerana kemegahan atau seni bina, tetapi kerana dedikasi, semangat kesukarelawanan, dan perpaduan dalam masyarakat kita," kata Dr Nazirudin.

Menurut beliau, cabaran seterusnya adalah pendidikan, supaya masyarakat memahami agama, kehidupan dan tanggungjawab dengan jelas, serta mampu menangkis kekeliruan dan maklumat salah dalam dunia yang cepat berubah.

"Dengan memupuk kecemerlangan dalam ibadah, khidmat masyarakat, dan ilmu, kita meneruskan tradisi Islam, mengangkat martabat masyarakat kita, dan menjadi contoh kepada orang lain," ujar Dr Nazirudin.

Seiring dengan itu, SalamSG turut menekankan usaha untuk memastikan nilai-nilai Ramadan diteruskan selepas bulan suci berakhir.

"Matlamat utama selama SalamSG adalah memastikan masjid terus bersatu padu saling terhubung dan memberi impak dengan menterjemahkan nilai kepada tindakan bekerjasama dengan qaryah, masjid masjid lain serta rakan strategik.

"Kita mahu membantu masyarakat berkembang dari segi rohani serta berkhidmat kepada orang lain," kata Pengerusi Bersama SalamSG, Firdhaus Abdul Jaber.
Related article image
(Gambar: MUIS)

PROGRAM UTAMA SALAMSG RAMADAN 1447H

'Pesta Pra-Ramadan SalamSG' yang buat julung-julung kalinya dianjurkan, turut diadakan sempena majlis pelancaran, bagi menyediakan persediaan rohani, mental dan emosi melalui sesi ceramah, usrah, bengkel serta aktiviti kemasyarakatan.

Para pengunjung berpeluang mengunjungi 15 reruai yang menawarkan pelbagai keperluan ibadah seperti telekung, tikar sembahyang dan buku-buku agama bagi menyokong persiapan rohani menjelang bulan Ramadan.

Antara program utama SalamSG Ramadan tahun ini ialah Latihan Kecemerlangan Perkhidmatan untuk petugas barisan hadapan masjid yang telah diadakan pada Januari lepas.

Acara lain yang bakal diadakan secara fizikal dan online termasuk 'Quran Hour' dan 'Tazkirah Nuzul Quran' (Tadabbur) pada 6 Mac 2026 di Masjid Darul Ghufran, 'Night of Power' pada 14 Mac 2026 di Masjid Darul Makmur, serta 'Ramadan Youth Challenge' yang akan berlangsung pada 14 dan 15 Mac 2026 di empat daerah masjid.

INISIATIF SALAMSG GIVES

Majlis pelancaran turut menyaksikan pelancaran 'SalamSG Gives' bagi masjid-masjid di daerah Utara Singapura.

Inisiatif itu menghimpunkan sekitar 100 kakitangan masjid, sukarelawan dan rakan kongsi masyarakat untuk menyokong keluarga berpendapatan rendah sepanjang Ramadan melalui pengagihan hamper makanan dan keperluan harian.

"Inisiatif khidmat masyarakat ini mencerminkan semangat memberi dengan menggalakkan sokongan daripada komuniti kepada golongan yang memerlukan. SalamSG Gives akan dilaksanakan di semua daerah masjid sepanjang bulan Ramadhan, sekaligus memberi manfaat kepada lebih daripada 500 isi rumah dan keluarga dalam masyarakat," kata Encik Firdhaus.

Pengagihan pada Sabtu dijalankan di Rumah Jagaan Ren Ci dan kawasan Yishun. 

Related article image
(Gambar: MUIS)
PERADUAN REKA VIDEO

Majlis turut disertai dengan sesi penyampaian hadiah bagi 'QuranSG Tadabbur Video Contest 2025', yang merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menggalakkan tadabbur atau refleksi mendalam terhadap ayat-ayat Al-Quran.

QuranSG adalah inisiatif kerjasama antara masjid, Pejabat Mufti dan Sektor Satu Masjid (OMS) di MUIS, yang bertujuan mendekatkan Al-Quran kepada masyarakat melalui program dan perkhidmatan yang menarik.
Related article image
Pemenang tempat pertama 'QuranSG Tadabbur Video Contest 2025'. (Gambar: MUIS)
SERU MASYARAKAT LIBATKAN DIRI DALAM PROGRAM-PROGRAM DI MASJID

Dalam pada itu, Dr Faishal mengalu-alukan kehadiran masyarakat Islam ke masjid dan menyertai program-program yang dianjurkan.

“Ramadan ini – saya menjemput semua untuk datang ke masjid-masjid, sertai program-program yang dianjurkan, dan bawa nilai-nilai ini ke rumah, tempat kerja dan kehidupan seharian kita.

“Semua program ini menyokong visi kita untuk membina keyakinan yang mendalam, memupuk ikatan kekeluargaan yang berdaya tahan dan mewujudkan sebuah masyarakat yang berkeupayaan,” kata Dr Faishal.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita