Kestabilan politik, kepercayaan terhadap pemerintah kritikal untuk SG: PM Lee dalam ucapan akhir sebagai perdana menteri
Kestabilan politik dan kepercayaan terhadap Pemerintah adalah penting bagi Singapura di masa akan datang, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan utama terakhirnya sebelum menyerahkan pentadbiran kepada Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong.
(Gambar: CNA)
Semasa menyampaikan ucaptama di Rapat Hari Buruh pada Rabu (1 Mei), Encik Lee berkata bab Singapura yang seterusnya berada di permulaan yang baik.
Namun masih ada tempoh "sangat mencabar" di masa hadapan, dengan persaingan kuasa besar, deglobalisasi, kemajuan teknologi, perubahan iklim dan ancaman perang.
Dengan latar belakang tersebut, PM Lee, yang akan mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri pada 15 Mei, berkata terdapat 'kebenaran sukar' yang belum berubah bagi Singapura.
Sistem Singapura berpaksikan
asas kepercayaan yang kukuh, dengan pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) berusaha untuk mengekalkannya, kata PM Lee.
"Justeru di setiap pilihan raya, 15 kali berturut-turut, PAP telah memenangi mandat yang diperbaharui, secara adil dan saksama dan terus menghasilkan keputusan untuk rakyat Singapura."
Mantan Perdana Menteri Encik Lee Kuan Yew dan Encik Goh Chok Tong telah membangunkan sistem yang dapat bertahan menjangkaui penggal perkhidmatan mereka sendiri, dan Encik Lee berkata penggantinya mesti melakukan yang sama.
Memastikan politik Singapura betul adalah "sangat penting", katanya.
"Sila faham: Kita telah berjaya dan Singapura mencapai hasil ekonomi dan sosial yang memberangsangkan kerana sistem kita adalah luar biasa.
"Sistem ini tidak perlu gagal untuk meletakkan Singapura di tempat yang berbahaya. Walaupun kita hanya menjadi biasa-biasa sahaja, ini bermakna kita dalam bahaya besar."
Singapura "pasti akan tenggelam" jika sistem tersebut menjadi pincang disebabkan oleh populisme, pembahagian atau tumpuan terhadap pulangan jangka pendek, katanya, sambil menambah rizab negara "tidak dapat bertahan untuk tempoh yang lama, mahupun mempunyai nilai yang sama" pada kemudian hari.
Walaupun sistem negara ini berkembang mengikut masa, ia harus "berkembang menerusi cara yang terus memenuhi kepentingan Singapura".
Kepercayaan antara rakyat dengan Pemerintah juga perlu bagi mengekalkan perancangan jangka panjang, satu lagi perkara mustahak yang dikekalkan oleh pemerintah PAP, kata Encik Lee.
Beliau merujuk kepada pelan-pelan seperti pelabuhan mega Tuas, Terminal 5 Lapangan Terbang Changi, Long Island, pembangunan semula Paya Lebar dan kawasan pesisiran selatan atau Greater Southern Waterfront (GSW), serta penyahkarbonan ekonomi Singapura.
"Saya tidak ragu pasukan dan pelapis seterusnya akan menghasilkan projek lebih kreatif dan bercita-cita tinggi, yang akan mencabar kita, memberikan inspirasi kepada kita dan memajukan Singapura ke peringkat seterusnya," katanya.
Perpaduan sosial juga akan terus dititikberatkan sedang isu kaum, bahasa dan agama kekal menjadi garisan sesar tradisional Singapura, kata Encik Lee.
Walaupun terdapat kemajuan dalam memupuk identiti rakyat Singapura yang bersama, rakyat akan sentiasa dipengaruhi oleh "kuasa luaran".
Menurut Encik Lee, rakyat Singapura tidak boleh melupakan asal usul kaum serta agama yang pelbagai, serta pertalian kepada kumpulan etnik masing-masing di China, India serta rantau majoriti Muslim yang lebih meluas dan masyarakat Muslim global.
"Mereka boleh menjadi sesuatu yang menjejas kita, namun kita tidak mahu kehilangan warisan budaya dan sejarah yang kaya," kata PM Lee.
Keharmonian kaum dan agama tetap sesuatu yang terus diusahakan, namun Singapura juga perlu peka akan potensi perpecahan.
KEPENTINGAN TRIPARTISME
Berucap kepada para ahli kesatuan sekerja dari Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Lee berkata tripartisme atau kerjasama tiga pihak memainkan peranan penting dalam kemajuan Singapura.
Beliau merujuk kepada tahun 1969 sebagai titik peralihan penting apabila sebuah "pendekatan bertentangan" antara kesatuan sekerja dan majikan digantikan dengan sebuah strategi "bekerjasama antara tiga pihak".
Kepercayaan dan keyakinan antara rakan-rakan kongsi tiga pihak terus dipupuk mengharungi cabaran-cabaran seperti kemelesetan ekonomi Singapura pada 1985, krisis Kewangan Asia pada 1997, krisis kewangan global pada 2008 dan pandemik COVID-19, katanya.
KEMAJUAN SG SEPANJANG 20 TAHUN LALU
Mengimbas kembali tempoh 20 tahun beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri, Encik Lee berkongsi tentang kemajuan Singapura di bawah penggal perkhidmatannya.
Di bawah pentadbirannya, Singapura menjadi "lebih baik".
Strategi Singapura untuk mengubah dan menaik taraf ekonomi telah berkesan, kata Encik Lee, dan ini telah memikat syarikat-syarikat berbilang negara (MNC) untuk ke negara ini dan membantu syarikat-syarikat Singapura membangunkan pasaran baharu di seberang laut.
Walaupun inflasi dan kos sara hidup yang meningkat adalah membimbangkan, pemerintah telah meningkatkan langkah-langkah sokongan melalui baucar CDC dan bentuk bantuan yang lain, katanya.
Estet perumahan HDB yang baharu juga dibina, namun estet-estet yang lama tidak ketinggalan.
Menerusi pelbagai program naik taraf, pemerintah telah menyegarkan semula estet-estet lama, memastikan ia dikemas kini dan sesuai bagi para penduduk warga emas, katanya.
"Ini sebabnya tidak seperti projek perumahan awam di luar negara, estet-estet HDB kami tidak bertukar menjadi rumah setinggan atau 'ghetto'."
Pengangkutan awam juga lebih baik, katanya.
Singapura telah menambah tiga laluan MRT - Circle, Downtown dan Thomson-East Coast - sepanjang dua dekad lalu.
Dua lagi laluan - Rentas Pulau dan Daerah Jurong - akan ditambah dalam masa beberapa tahun akan datang ini.
Isu-isu keandalan rel 'telah meningkat dengan ketara' dan sistem MRT Singapura kini antara yang terbaik di dunia.
Pemerintah juga melabur sejumlah besar terhadap 'sistem jagaan kesihatan kelas pertama', kata Encik Lee.
"Kita memastikan sistem jagaan kesihatan dipertingkatkan selepas COVID. Dan kami mahu pastikan jika satu lagi pandemik seperti COVID melanda, kami dalam kedudukan yang lebih terjamin dan bersedia untuk menanggung beban itu serta membantu semua orang."
Sistem pendidikan Singapura kini mengambil pendekatan lebih meluas dan holistik yang menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, katanya.
Encik Lee berkata beliau juga berusaha membangunkan Singapura yang lebih inklusif menerusi skim-skim seperti Comcare untuk meningkatkan program-program sosial dan Workfare untuk menambah pendapatan pekerja bergaji rendah.
'SAYA TELAH JALANKAN TUGAS SAYA'
Encik Lee berkata asas yang kukuh telah dibina untuk generasi seterusnya dan manfaat ini tidak harus diambil ringan.
Singapura kini mempunyai rizab mencukupi bagi menangani waktu sangat sukar, penghormatan di peringkat antarabangsa, sebuah masyarakat kohesif "yang saling membantu di masa-masa paling sukar', dan sebuah ekonomi inklusif dan bersemangat.
"Manfaatkan semua ini, jangan hapuskannya," kata Encik Lee.
"Terus bersatu, fikir jangka panjang dan kekalkan kestabilan politik. Ini hala tuju ke hadapan bagi Singapura."
PM Lee berkata dengan Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong mengambil alih jawatannya dalam masa dua minggu, beliau "berkeyakinan tinggi" terhadap pasukannya.
"Saya meminta semua rakyat Singapura supaya memberikan sokongan kepada mereka, dan bekerjasama dengan mereka demi kejayaan Singapura, demi diri anda.
"Itu hala tuju Singapura ke hadapan: Bagi setiap generasi mengemudi Singapura sebaik mungkin supaya generasi seterusnya boleh mengambil alih sebuah Singapura yang lebih baik dan memimpin negara kita ke hadapan."
Mengimbau kembali pengalamannya berkecimpung selama 40 tahun dalam politik, PM Lee berkata beliau berpuas hati dengan apa yang telah dicapai.
"Saya amat berbesar hati dapat berkhidmat untuk anda, termasuk sebagai Perdana Menteri anda. Saya telah melakukan sedaya upaya untuk memimpin anda dan mentadbir Singapura menerusi cara yang sepatutnya, untuk mendorong rakyat Singapura supaya membuktikan apa yang kita dapat lakukan bersama," katanya.
"Sedang saya bersiap sedia untuk menyerahkan Singapura kepada pengganti saya, saya berasa puas hati dan sempurna.
"Saya telah jalankan tugas saya, dan saya berbesar hati kerana memilih haluan dalam perkhidmatan awam sepanjang tahun-tahun sebelum ini," kata Encik Lee, yang disambut dengan tepukan gemuruh oleh para hadirin.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Kabinet, perkhidmatan awam, gerakan buruh dan rakyat Singapura atas sokongan mereka.
Encik Lee kemudian melangkah ke tepi untuk tunduk hormat, sebelum disambut dengan tepukan gemuruh, yang menjejaskan emosi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.