Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kesilapan ujian barah payudara KTPH: 200 terima keputusan salah, pesakit terjejas dapat bayaran balik

Sekurang-kurangnya 200 pesakit disenaraikan secara salah sebagai mempunyai bentuk barah payudara yang lebih agresif daripada keadaan sebenarnya disebabkan kesilapan makmal di Hospital Khoo Teck Puat (KTPH), kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Koh Poh Koon di Parlimen pada Isnin (4 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Kesilapan ujian barah payudara KTPH: 200 terima keputusan salah, pesakit terjejas dapat bayaran balik

Hospital Khoo Teck Puat (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 04 Jan 2021 07:33PM Dikemas Kini : 04 Jan 2021 07:40PM

SINGAPURA: Sekurang-kurangnya 200 pesakit disenaraikan secara salah sebagai mempunyai bentuk barah payudara yang lebih agresif daripada keadaan sebenarnya disebabkan kesilapan makmal di Hospital Khoo Teck Puat (KTPH), kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Koh Poh Koon di Parlimen pada Isnin (4 Jan).

Pihak berkuasa mendedahkan bulan lalu bahawa 180 pesakit terjejas oleh diagnosis yang salah dan separuh daripada mereka mungkin mendapat rawatan yang tidak perlu.

Pesakit berkenaan salah disenaraikan sebagai positif HER2 - sejenis gen yang mengawal bagaimana sel yang sihat tumbuh - dan bukannya HER2 negatif. Ini menjejas bagaimana pesakit dirawat, dengan menggunakan ubat dipanggil Herceptin.

Kesan sampingan yang biasa berlaku akibat rawatan bagi HER2 termasuk cirit-birit, menggigil dan keletihan. Kira-kira 3 hingga 4 peratus pesakit juga mungkin mengalami masalah jantung.

Menjawab soalan di parlimen mengenai kejadian itu, Dr Koh berkata 200 pesakit telah senaraikan semula dari HER2 positif menjadi HER2 negatif pada 23 Disember.

Dari jumlah tersebut, lapan pesakit dirawat di hospital swasta dan 192 pesakit di hospital pemerintah. Lapan pesakit sedang menunggu diuji semula.

"Pasukan rawatan bersama telah dibentuk, terdiri daripada pakar bedah KTPH, ahli histopatologi dan ahli onkologi yang merawat, untuk menyemak pelan rawatan bagi pesakit yang terjejas ini, berdasarkan perubahan status HER2 mereka," kata Dr Koh.

KTPH juga sedang meneliti bil pesakit yang terjejas, kata Dr Koh, sambil menambah bahawa kos yang ditanggung pesakit kerana rawatan yang tidak perlu akan dibayar semula sepenuhnya.

Jumlah yang dibayar semula bergantung kepada beberapa faktor, termasuk tempoh rawatan dan hospital di mana pesakit menjalani rawatan, tambahnya.

"KTPH juga siap memberikan bantuan klinikal dan sokongan kewangan kepada pesakit terjejas yang terkena termasuk rawatan yang sedang dijalankan atau rawatan lanjut, jika ada, yang mungkin diperlukan akibat daripada rawatan berlebihan itu," kata Dr Koh kepada Dewan.

Kumpulan Jagaan Kesihatan Nasional telah membentuk sebuah jawatankuasa kajian bebas, terdiri daripada pakar luar dari pelbagai disiplin dalam industri penjagaan kesihatan, untuk melakukan "penilaian menyeluruh terhadap kejadian itu" dan untuk mengesyorkan langkah-langkah untuk memperbaiki proses tersebut, katanya.

"Ini memastikan bahawa sebarang jurang sistem dapat dikenal pasti dan diatasi dengan cepat untuk mencegah kejadian yang serupa daripada berulang," tambahnya.

KTPH mula menguji pesakit bagi HER2 pada tahun 2012.

Menjawab soalan mengenai keberkesanan ujian tersebut dan sebab tempoh lapan tahun berlalu sebelum masalah itu muncul, Dr Koh berkata ujian untuk HER2 adalah proses yang rumit dan memerlukan masa bertahun-tahun untuk mencapai tahap positif yang lebih tinggi daripada biasa untuk muncul sebelum masalah keputusan dapat dipastikan.

Dr Koh juga menjelaskan bahawa meskipun KTPH menilai semula hasil keputusan dari tahun 2012, ini tidak bermakna semua hasil yang dirakam sejak 2012 adalah salah.

"Mungkin sahaja kesalahan itu terjadi dalam tiga bulan atau enam bulan terakhir ini(tetapi) KTPH mengambil pendekatan berhati-hati dengan memeriksa semua keputusan apabila ujian pertama dimulakan," katanya.

Apabila Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi Hazel Poa mengajukan soalan tentang kemungkinan pesakit yang terjejas mendapat jagaan kesihatan percuma seumur hidup sebagai pampasan, Dr Koh menolak cadangan itu memandangkan kebanyakan kesan sampingan dari rawatan HER2 bersifat sementara.

Mengenai sama ada pesakit akan mendapat sokongan kesihatan mental dari segi kewangan, Dr Koh berkata keputusannya terletak pada pasukan perubatan yang membantu pesakit.

"Serangan panik atau kegelisahan dapat terjadi dengan atau tanpa barah, ia boleh terjadi dengan atau tanpa rawatan," katanya

Sumber : CNA/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan