Skip to main content

Singapura

'Kesilapan manusia' punca mesej peraturan baharu bagi kereta sewa privet didedah lebih awal

Satu kesilapan manusia telah menyebabkan mesej tentang peraturan baharu bagi kereta sewa privet diumumkan lebih awal daripada dijadualkan, dedah Menteri Negara Kanan Pengangkutan Amy Khor pada Isnin (3 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
'Kesilapan manusia' punca mesej peraturan baharu bagi kereta sewa privet didedah lebih awal

Kenderaan di jalan raya di Singapura. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 03 Mar 2025 02:30PM Dikemas Kini : 03 Mar 2025 02:31PM
SINGAPURA: Satu kesilapan manusia telah menyebabkan mesej tentang peraturan baharu bagi kereta sewa privet diumumkan lebih awal daripada dijadualkan, dedah Menteri Negara Kanan Pengangkutan Amy Khor pada Isnin (3 Mac).

Penyedia sistem IT, NCS sudah pun mengambil langkah bagi mengelakkan isu itu daripada berulang.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan peraturan baharu itu pada 19 Februari lalu - iaitu lebih awal daripada dijadualkan - selepas mendapati maklumat itu diumumkan secara tidak sengaja.
Kesilapan itu mendorong soalan parlimen dari Ahli Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Hazel Poa mengenai keadaan yang menyebabkan maklumat itu didedahkan lebih awal dan sama ada siasatan akan dijalankan.

"Kesilapan itu disebabkan oleh kesilapan manusia," katanya sambil menambah bahawa "ia tidak disengajakan".

Kesilapan itu berlaku kerana apabila pertukaran sistem dilancarkan, barisan kod yang mengawal bila dan kepada siapa mesej mengenai peraturan baharu itu akan dihantar tidak dijalankan, kata Dr Khor.

Oleh itu, para pemandu yang menggunakan khidmat digital bagi urus niaga kenderaan yang relevan boleh melihat mesej tersebut, katanya.

NCS sudah pun melaksanakan pemeriksaan tambahan dan menubuhkan sistem pendamping atau 'buddy' dengan seorang pemaju kanan yang akan menyemak sebarang tugas yang dijalankan, kata Dr Khor.

Pihak berkuasa pada asalnya berhasrat mengumumkan perubahan itu pada Mac ketika melakarkan pelan belanjawan kementerian pengangkutan pada tahun ini, katanya.

Namun keputusan dibuat untuk mempercepatkan pengumumannya.

"Ini kerana terdapat satu sesi bidaan COE yang sedang berlangsung dari 17 hingga 19 Februari, dan kami ingin memastikan keadilan dan ketelusan kepada semua pihak dan memastikan para pembida mempunyai masa yang mencukupi untuk menyesuaikan bidaan mereka sebelum sesi tersebut tutup pada pukul 4.00 petang pada 19 Februari," kata Dr Khor.

Di bawah peraturan baharu itu, syarikat-syarikat perniagaan perlu mengekalkan kereta sewa privet bagi tujuan khidmat sewa kereta selama tiga tahun sebelum ia boleh ditukar atau dipindahkan kepada individu lain.

Ini memastikan syarikat-syarikat yang memerolehi kereta sewa privet sedemikian hanya berbuat demikian untuk menyewakan kenderaan itu kepada para pemandu yang menawarkan khidmat kereta sewa privet, menurut LTA pada 19 Februari lalu.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita