Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kesilapan manusia mungkin punca 'salah label' berat ikan salmon di Fairprice

Anggaran Waktu Membaca:
Kesilapan manusia mungkin punca 'salah label' berat ikan salmon di Fairprice

(Gambar: Tangkapan skrin video TikTok @ben20220207)

SINGAPURA: Label yang salah ditampal pada satu bungkus ikan salmon yang dijual di salah sebuah cawangan FairPrice Xtra, menurut rangkaian pasar raya tersebut pada Rabu (9 Feb). 

Penjelasan itu dibut menyusuli satu video yang tular di TikTok, menunjukkan bahawa berat ikan tersebut, yang tertera pada mesin timbang, berbeza dengan apa yang tertera pada label berkenaan. 

Video TikTok itu menunjukkan bahawa ikan tersebut seberat 0.296 kilogram, berdasarkan labelnya. Namun, apabila diletakkan di atas mesin timbang, berat ikan itu hanya 0.176 kilogram. 

"Berdasarkan penilaian awal daripada video tersebut, kejadian salah label yang terjadi di cawangan FairPrice Xtra di Ang Mo Kio Hub itu mungkin disebabkan oleh kesilapan manusia," menurut FairPrice, menjawab pertanyaan Mediacorp. 

"Kami mendesak pelanggan yang memuat naik video tersebut supaya menghubungi kami dengan maklumat lebih lanjut supaya pihak kami dapat menjalankan siasatan yang lebih menyeluruh. Apapun, kami memohon maaf kepada masyarakat awam kerana mencetus keprihatinan dan mengaku bahawa perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku." 

Video tersebut menimbulkan persoalan online sama ada para pelanggan harus menyemak berat barangan pasar mereka. 

Ini berikutan satu lagi video TikTok yang menunjukkan bahawa berat sebungkus ayam daripada FairPrice hanya 0.165 kilogram, walaupun label yang ditampal pada bungkusan tersebut tertera 0.224 kilogram. 

FairPrice sudah pun memohon maaf terhadap insiden tersebut melalui catatan Facebook pada 5 Februari, sambil menambah bahawa ia sedang menyiasat "punca kejadian melibatkan dakwaan label yang salah". 

Rangkaian pasar raya itu menyatakan hari ini (9 Feb) bahawa kesemua alat timbang di cawangan-cawangan pasar raya FairPrice, FairPrice Finest dan FairPrice Xtra "masing-masing dinilai dan ditetapkan oleh pihak-pihak yang diluluskan oleh pihak berkuasa". 

"Alat-alat timbang juga disemak setiap tahun dan melalui kerja-kerja penyenggaraan dua kali setahun. Selepas itu, tarikh pensijilan ditampal pada alat timbang berkenaan," tambah FairPrice Xtra. 

"Selain itu, sebagai satu langkah pencegahan tambahan, pihak kami sudah menetapkan protokol-protokol tambahan di mana kesemua cawangan kami akan menyemak alat-alat timbang setiap hari sebelum kedai dibuka. Produk-produk segar yang sudah ditampal label juga akan ditimbang untuk memastikan label yang ditampal itu tepat." 

Para pelanggan yang mendapati sebarang kesilapan label digalakkan untuk mendekati kakitangan di cawangan berkenaan, menurut FairPrice. 

"Bagi mengutamakan kepuasan para pelanggan kami, FairPrice menetapkan dasar di mana kami akan memberikan bayaran balik sepenuhnya ataupun menggantikan produk-produk yang sudah diberikan label yang salah," tambah FairPrice lagi. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan