Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Kesilapan atau kekurangan akan diperbetulkan', kata Ong Ye Kung berhubung insiden di NUH

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata beliau mengikuti perkembangan isu berhubung Hospital Universiti Nasional (NUH) dengan "penuh prihatin" dan "sebarang kesilapan atau kekurangan akan diperbetulkan".

Beliau berkata demikian menerusi catatan Facebooknya malam ini (25 Mac).

Beliau turut menzahirkan rasa amat bersimpati atas kehilangan bayi yang diberi nama Titus itu.

"Saya sendiri sebagai bapa, dapat memahami sepenuhnya derita yang dilalui keluarga itu.

"Saya sudah berbincang dengan Pengarah Khidmat Perubatan Profesor Madya Kenneth Mak. Kami tahu bahawa NUH sudah menghubungi keluarga itu dan menghulurkan sokongan penuh kepada mereka," kata Encik Ong.

Beliau menambah, MOH akan bekerjasama dengan NUH untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden itu.

"Kami memandang serius insiden sedemikian dan sebarang kesilapan atau kekurangan akan diperbetulkan. Sebarang pengajaran akan dikongsi dengan sistem jagaan kesihatan yang lain demi memastikan pisang tidak berbuah dua kali," tegas Encik Ong.

Sekalipun demikian, Encik Ong menekankan pentingnya untuk masyarakat terus menyokong para petugas jagaan kesihatan. 

Malangnya, terdapat lebih banyak laporan tentang penderaan terhadap para petugas jagaan kesihatan baru-baru ini, tambah beliau.

"Saya memohon pemahaman semua orang bahawa dalam krisis pandemik ini, para petugas jagaan kesihatan berdepan tempoh yang amat mencabar dan sukar.

"Selain menjaga para pesakit COVID-19 dan berisiko dijangkiti, mereka sudah melakukan yang sebaik mungkin untuk memastikan semua kes kecemasan dikendalikan dengan betul," menurut Encik Ong, sambil menyeru anggota masyarakat supaya terus menunjukkan sokongan dan pemahaman sedang NUH menjalankan siasatan penuh.

Baru-baru ini, seorang wanita didakwa mengalami keguguran ketika menunggu selama dua jam di Jabatan Perubatan Kecemasan (A&E) NUH, walaupun mengalami pendarahan yang banyak dari saluran kelahirannya.

Suami wanita itu, Encik Mee Pok Tah memuat naik catatan ke laman media sosial pada Isnin (21 Mac) mengenai kejadian tersebut yang berlaku pada 15 Mac. Sejak itu, catatan tersebut tular di media sosial.

NUH pada Selasa (22 Mac) menggesa orang ramai supaya jangan membuat spekulasi mengenai insiden tersebut.

Ia kemudian memohon maaf atas insiden tersebut pada Khamis (24 Mac).

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan