Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kesihatan mental kurang baik dalam kalangan penduduk S'pura 'kekal stabil' pada 2020

Kadar kesihatan mental kurang baik di Singapura kekal "stabil" pada 2020 berbanding 2017, menurut tinjauan terkini Kementerian Kesihatan (MOH).

Anggaran Waktu Membaca:
Kesihatan mental kurang baik dalam kalangan penduduk S'pura 'kekal stabil' pada 2020

Gambar: iStock

Diterbitkan : 18 Nov 2021 09:39PM Dikemas Kini : 18 Nov 2021 09:41PM

SINGAPURA: Kadar kesihatan mental kurang baik di Singapura kekal "stabil" pada 2020 berbanding 2017, menurut tinjauan terkini Kementerian Kesihatan (MOH).

Pada Khamis (18 Nov), MOH menerbitkan Tinjauan Kesihatan Penduduk Negara, yang memantau dan meneliti faktor-faktor kesihatan serta risiko dan amalan gaya hidup penduduk Singapura yang berusia antara 18 dengan 74 tahun dari Julai 2019 hingga Mac 2020.

Tinjauan itu juga mengukur kesihatan mental para responden berdasarkan soal selidik 12 perkara mengenai kesihatan awam termasuk soalan-soalan tentang pandangan mereka terhadap kemampuan mereka untuk menumpukan perhatian dan nilai diri sendiri.

Tinjauan itu mendapati 13.4 peratus daripada mereka yang ditinjau mempunyai kesihatan mental yang kurang baik berbanding 12.5 peratus pada 2017.

Sungguhpun demikian, kumpulan usia antara 18 dengan 29 tahun - orang dewasa yang lebih muda - menyaksikan peningkatan paling ketara pada kadar kesihatan mental kurang baik antara 2017 dengan 2020 berbanding kumpulan-kumpulan usia yang lain.

Sekitar 21.5 peratus belia yang ditinjau pada 2020 mempunyai kesihatan mental kurang baik, naik dari 16.5 peratus pada 2017.

Kadar kesihatan mental kurang baik bagi kumpulan-kumpulan usia yang lain jauh lebih rendah, dari 9.4 peratus bagi kumpulan usia 60 hingga 74 tahun kepada 12.6 peratus bagi kumpulan usia antara 30 dengan 39 tahun.

Dalam kenyataan medianya pada Khamis, MOH turut mendedahkan bahawa Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) akan terus menawarkan program-program kesejahteraan mental di sekolah, tempat kerja dan dalam masyarakat yang bertujuan untuk membantu para penduduk Singapura menangani cabaran-cabaran yang disebabkan oleh COVID-19.

"Mengambil kira tekanan yang meningkat dan kebimbangan yang lebih tinggi disebabkan oleh pandemik COVID-19, maka perlu lebih banyak usaha untuk memperbaiki kesejahteraan mental penduduk dan memupuk persekitaran yang kondusif untuk sokongan," tambah MOH.

Pasukan-pasukan pendampingan belia dalam masyarakat juga sudahpun ditubuhkan untuk "menyantuni para belia yang menghadapi tekanan mental dan menghulurkan "sokongan dan sumber emosi asas" dan merujukkan mereka ke khidmat-khidmat sosial dan kesihatan.

Hasil tinjauan itu turut menarik perhatian kepada kadar kesihatan mental yang berbeza antara jantina. Secara keseluruhannya dan bagi kebanyakan kumpulan usia, lebih ramai wanita (14.8 peratus) mengalami kesihatan mental kurang baik berbanding lelaki (12 peratus).

Perbezaan juga dapat dilihat dalam kalangan kumpulan etnik, dengan para responden Melayu (16.3 peratus) dan India (15.9 peratus) mempunyai lebih ramai individu dengan kesihatan mental kurang baik berbanding responden berbangsa Cina (12.6 peratus).

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan