Skip to main content

Singapura

Kesihatan mental 'keutamaan' agenda negara; Lagi 900 klinik GP disertakan dalam rangkaian jagaan masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Feb 2024 05:53PM Dikemas Kini : 07 Feb 2024 09:19PM
SINGAPURA: Pemerintah akan mengorak "langkah-langkah penting" untuk memperbaiki kesihatan mental dan kesejahteraan warga Singapura, sedang Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Rabu (7 Feb) menyeru "Impian Singapura" yang lebih inklusif dan perubahan pemikiran tentang apa yang merangkumi kejayaan.

Berucap di parlimen mengenai usul meningkatkan kesihatan mental, DPM Wong turut mengumumkan langkah-langkah termasuk meningkatkan kapasiti di Institut Kesihatan Mental (IMH) dan Hospital Alexandra yang dibangunkan semula.

MENGUBAH DEFINISI KEJAYAAN

Memperbaiki kesihatan mental juga bermaksud pemikiran juga harus berubah terhadap perkara yang dianggap sebagai kejayaan, kata Encik Wong pada hari kedua perbahasan di parlimen.

Beliau menarik perhatian bahawa ia adalah salah satu perkara utama dari usaha Melakar Hala Tuju SG, di mana majoriti warga Singapura berkata bahawa mereka ingin melihat "Impian Singapura yang lebih inklusif".

Encik Wong, yang mempengerusikan daya usaha Melakar Hala Tuju SG, menambah bahawa pemerintah sedang melaksanakan perubahan pada dasar dengan menyemak semula sistem pendidikan, mengurangkan jurang gaji yang sempit dan mengukuhkan perlindungan bantuan. Meskipun demikian, DPM Wong mengingatkan Dewan bahawa "kita tidak boleh melakukannya hanya melalui perlaksanaan dasar".

Sebaliknya, sikap dan pemikiran juga harus berubah dan sejajar dengan aspirasi bagi impian yang "segar".

PENYELESAIAN YANG LUAS

Strategi kesihatan mental dan kesejahteraan negara, yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu, bertujuan untuk menawarkan lebih banyak penjagaan khusus bagi permintaan yang berbeza dari pelbagai spektrum.

Pada Rabu, Encik Wong mengulangi perlunya untuk menghargai dan memahami "isu-isu kesihatan mental yang pelbagai dengan sepenuhnya".

Sebagai contoh, penyakit kesihatan mental seperti gangguan bipolar dan skizofrenia dapat melumpuhkan seseorang, manakala isu-isu seperti kemurungan dan tekanan di hujung spektrum mungkin tidak memerlukan perubatan. Namun ia tidak bermakna ia harus diambil ringan, tambahnya.

Disebabkan isu kesihatan mental wujud dalam pelbagai spektrum, ia memerlukan "penyelesaian yang luas".

Pemerintah mempunyai sasaran khusus yang ingin dicapai menjelang 2030 atau sebelum itu.

Pertama, ia akan meningkatkan kapasiti IMH dan membangunkan semula Hospital Alexandra bagi mereka yang memerlukan penjagaan pakar. Kapasiti di kemudahan jangka panjang juga akan ditingkatkan untuk menawarkan "penjagaan akhir hayat" bagi mereka yang memerlukan.

Kedua, ia akan meningkatkan jumlah pakar psikiatri dan pakar psikologi awam masing-masing sebanyak 30 dan 40 peratus.

Ketiga, ia akan memperkenalkan khidmat kesihatan mental di semua poliklinik dan 900 klinik GP, yang akan membawa khidmat demikian lebih dekat kepada masyarakat.

Keempat, ia akan menyediakan dan melatih 28,000 petugas barisan hadapan dan sukarelawan tambahan yang bertugas di pelbagai pusat perkhidmatan sosial. Ia akan membantu mereka "mengenal pasti individu yang mempunyai masalah dengan kesihatan mental dan menawarkan bantuan awal."

Pemerintah juga akan menggandakan usaha sedia ada, tambah Encik Wong.

Kementerian Pendidikan (MOE) berada pada landasan yang tepat untuk mencapai sasarannya, dengan mengerahkan lebih daripada 1,000 kaunselor-guru di sekolah. Ini tambahan kepada kemahiran kaunseling asas yang bakal diajar kepada setiap guru, serta satu atau dua kaunselor yang berada di sekolah untuk membantu pelajar dengan "keperluan sosial dan emosi yang lebih mencabar".

Ibu bapa juga akan disediakan dengan sumber untuk menyokong mereka membantu kesihatan mental dan kesejahteraan anak-anak mereka.

Lebih banyak rangkaian bantuan rakan akan ditubuhkan dalam masyarakat, seperti di sekolah, institut pengajian tinggi (IHL), tempat kerja dan di kalangan anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NS).

PERLINDUNGAN INSURANS, STIGMA TEMPAT KERJA

Ketika membincangkan tentang keprihatinan yang dikemukakan oleh para AP pada Selasa (6 Feb) tentang perlindungan insurans lebih baik bagi penyakit kesihatan mental, Encik Wong menarik perhatian bahawa syarikat insurans di Singapura sudah menawarkan perlindungan kepada mereka yang menghidapi penyakit mental.

Meskipun demikian, pemerintah akan mengkaji semula bagaimana perlindungan tersebut dapat diperbaiki dan memastikan institusi kewangan melayani pelanggan dengan adil, termasuk mereka yang menghidapi penyakit kesihatan mental, tambah Encik Wong.

Di tempat kerja pula, pemerintah juga mengambil langkah-langkah untuk membantu syarikat-syarikat memahami keadaan kesihatan mental para pekerja dengan lebih baik.

Ia akan melancarkan iWorkHelath Lite, iaitu tinjauan yang boleh diselesaikan dalam lima minit, dan ia adalah bagi pihak syarikat menilai tahap tekanan dan keletihan kakitangan, umum Menteri Negara bagi Tenaga Manusia Gan Siow Huang di parlimen pada Rabu.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita