Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kesihatan fizikal & mental antara tumpuan Raikan Ilmu@Heartlands 2024

Anggaran Waktu Membaca:
Kesihatan fizikal & mental antara tumpuan Raikan Ilmu@Heartlands 2024

(Gambar: Yayasan Mendaki)

SINGAPURA: Acara Raikan Ilmu@Heartlands akan membuka tirainya di Hab Tampines Kita pada 29 dan 30 Jun ini.

Acara tahunan anjuran Yayasan MENDAKI itu akan berlangsung dari 29 Jun hingga 28 Julai 2024 di tiga estet kejiranan iaitu di Tampines, Jurong dan Admiralty.

Ia akan diadakan pada hari Sabtu dan Ahad.

Para pengunjung berpeluang menikmati lebih daripada 80 kegiatan dan program-program menarik seperti yang berkaitan kecerdasan buatan (AI), peraduan robotik, seni kraftangan, serta peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan.

Rancangan tersebut didedahkan dalam dalam satu sidang media yang diadakan di Wisma MENDAKI pada Selasa (28 Mei).

MENDAKI menyasarkan untuk menarik lebih 8,000 peserta pada hari pertama acara Raikan Ilmu@Heartlands.

"Apa yang kita ketahui hari ini adalah teknologi bukan sahaja dalam bidang teknologi ataupun IT. Teknlologi adalah pervasif dalam semua sektor. Dalam sektor kesihatan, sukan dan sebagainya semua mempunyai dan menggunakan teknologi. Ia hanya bergantung kepada bentuk apa, dalam wadah digital, biotek, genetik dan sebagainya," kata Naib Pengerusi Yayasan MENDAKI, Zaqy Mohamad.
Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad. (Gambar: Yayasan Mendaki)

KESIHATAN DIBERI TUMPUAN

MENDAKI turut mengumumkan tumpuan baharu dalam acara tahun ini iaitu 'Kesihatan'.

"Aktiviti yang dianjurkan ini akan dibahagikan kepada empat astaka - Kreativiti, Inovasi, Penerokaan dan Kesejahteraan yang disusun khas untuk ibu bapa yang mempunyai anak, pelajar, belia, pekerja dan mereka yang sedang mencari kerja," kata Encik Zaqy.

Program-program yang dilakarkan di astaka 'Kesejahteraan', memberi penekanan kepada kesihatan fizikal dan juga mental.

Para peserta boleh membuat pemeriksaan kesihatan asas percuma seperti analisis komposisi tubuh yang dijalankan oleh SATA dan kuiz kesihatan mental oleh Club HEAL.

"Badan-badan Melayu mempunyai fokus untuk membawa masyarakat bersama untuk meningkatkan lagi kesedaran akan kepentingan kesihatan kerana kita lihat hari ini, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Kita juga lihat ramai dalam kalangan masyarakat Melayu kita terjejas oleh penyakit seperti itu.

"Pada masa yang sama kita boleh lihat trend belia di mana ramai di antara mereka mempunyai kekhuatiran mengenai kesihatan mental dan sebagainya, kita juga mahu memberi mereka dorongan dan juga membawa saluran (bantuan) kepada mereka," kongsi Encik Zaqy kepada wartawan Nurfazirah Azman.

PELUANG CUBA JADI PENYAMPAI BERITA MEDIACORP

Acara tahun ini akan melibatkan lebih 40 badan korporat, masyarakat dan pertubuhan Melayu/Islam (MMO).

Antaranya Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), Club HEAL, Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG), GG Esports Solutions dan BERITA Mediacorp.

BERITA Mediacorp akan membawakan acara Baca BERITA di sebuah studio 'mini' yang lengkap dengan alat 'autocue' untuk pengunjung merasai pengalaman menyampaikan berita secara langsung.

Mereka juga boleh meneroka peluang kerjaya sebagai wartawan dan penyampai dalam bidang penyiaran.

PELAJAR MTP DIBERI PELUANG TIMBA ILMU KODING

Bagi memperkasa kemahiran digital, pelajar yang menyertai Tuisyen MENDAKI (MTP), lebih 2,000 pelajar akan menyertai cabaran 'Dreambot Showdown' yang dianjurkan SUTD mulai Mei hingga Julai ini.

Mereka diberi peluang untuk mempelajari tentang koding, robotik dan kecerdasan buatan (AI).

Ia adalah usaha MENDAKI untuk memperkenalkan aktiviti baharu, relevan dan menarik dalam kurikulum MTP untuk mendedahkan pelajar kepada kemahiran yang semakin mendapat permintaan itu.

(Gambar: Yayasan Mendaki)
ACARA TAHUNAN MENDAKI DIADAKAN SEMULA

Acara-acara lain seperti Simposium MENDAKI, Persidangan Masyarakat Gemilang, sesi rangkaian YOUth@M3 dan acara #MakingConnections akan kembali diadakan sepanjang bulan Julai.

Buat julung-julung kalinya, acara Persidangan Masyarakat Gemilang dan sesi rangkaian YOUth@ M³ akan diadakan di pejabat Google Singapore.

JUMLAH PESERTA MENINGKAT 16% PADA 2023

Encik Zaqy berkata sambutan bagi acara Raikan Ilmu@Heartlands tahun lalu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Ini selepas ia diadakan lebih awal pada bulan Julai bagi membolehkan keluarga, pelajar serta pendidik untuk menyertai program-program Raikan Ilmu sebelum tempoh peperiksaan.

"Sambutan daripada pertukaran ini amat menggalakkan.Kami dapati penglibatan telah meningkat daripada hampir 50,000 peserta hingga hampir 60,000 peserta. In menunjukkan peningkatan hampir 16 peratus. Kami amat berterima kasih atas sokongan semua," kata Encik Zaqy.

"Saya menggalakkan masyarakat kita turut serta untuk meraih manfaat daripada peningkatan kemahiran dan pembelajaran di luar bilik darjah di Raikan Ilmu@ Heartlands," ujar Encik Zaqy.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada sukarelawan, golongan karyawan, syarikat korporat, belia dan ibu bapa yang menyokong acara itu. 
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan