Skip to main content

Singapura

Kesesakan trafik dijangkakan di pusat pemeriksaan semasa cuti panjang Deepavali

Keadaan trafik dijangka sesak di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas sepanjang cuti panjang Deepavali pada hujung minggu ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Kesesakan trafik dijangkakan di pusat pemeriksaan semasa cuti panjang Deepavali

Aliran trafik sesak dijangka berterusan di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas sepanjang cuti panjang Deepavali yang bakal tiba. (Gambar fail: CNA/Hanidah Amin)

Diterbitkan : 13 Oct 2025 01:44PM
  • Keadaan trafik dijangka sesak di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas sepanjang cuti panjang Deepavali pada hujung minggu ini.
  • ICA menjelaskan masa menunggu lebih lama itu disebabkan oleh cuti panjang pada hujung minggu ini serta pemeriksaan yang diperketatkan bagi membanteras penyeludupan vape.
  • ICA turut menasihatkan para pelawat supaya melunaskan sebarang saman tertunggak dengan agensi berkaitan, kerana mereka yang gagal berbuat demikian boleh dihalang daripada memasuki Singapura.
  • Pihak berkuasa itu juga mengingatkan bahawa aktiviti menghisap rokok elektronik dan pemilikan vape adalah dilarang di Singapura.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Keadaan trafik dijangka sesak di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas sepanjang cuti panjang Deepavali pada hujung minggu ini.

Mulai 17 Oktober hingga 20 Oktober, para pelawat dapat menjangkakan masa menunggu tambahan untuk melepasi pemeriksaan imigresen, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Isnin (13 Okt).

ICA menjelaskan masa menunggu lebih lama itu disebabkan oleh cuti panjang pada hujung minggu ini serta pemeriksaan yang diperketatkan bagi membanteras penyeludupanvape,

Para pelawat dinasihatkan supaya memeriksa kedaan trafik di pusat pemeriksaan darat sebelum memulakan perjalanan.

"Mereka yang perlu melakukan perjalanan semasa waktu sibuk ini boleh menimbangkan untuk menaiki perkhidmatan bas rentas sempadan untuk mengelakkan kesesakan," menurut ICA.

"Para pelawat juga digalakkan menggunakan kod QR yang dijana melalui aplikasi mudah alih MyICA bagi memudahkan pelepasan imigresen tanpa perlu menggunakan pasport."

Namun, para pelawat masih perlu membawa pasport apabila melakukan perjalanan ke luar negara, menurut ICA.

Pada musim cuti sekolah September antara 5 hingga 15 September lalu, lebih 5.8 juta pelawat melepasi pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas, menurut ICA.

Jumlah pelawat berada memuncak pada 5 September, dengan lebih 575,000 pelawat melepasi imigresen di kedua-dua pusat pemeriksaan pada hari tersebut.

“Pemandu kereta yang berlepas pada waktu sibuk terpaksa menunggu sehingga tiga jam untuk melepasi pemeriksaan imigresen disebabkan oleh kesesakan lalu lintas dari Malaysia,” menurut ICA.

ICA turut mengingatkan para pelawat supaya memastikan pasport mereka mempunyai tempoh sah sekurang-kurangnya tempoh enam bulan.

Semua pelawat jangka pendek – termasuk mereka yang memegang kelulusan secara berprinsip bagi pas jangka panjang – perlu menyerahkan Kad Ketibaan Singapura dan pengisytiharan kesihatan melalui aplikasi mudah alih MyICA dalam tempoh tiga hari sebelum tiba di Singapura.

Penduduk tetap Singapura yang sudah memperbaharui pasport mereka pula perlu memastikan permit masuk semula berjaya dipindahkan ke dokumen baharu mereka.

Para pemegang pas jangka panjang juga perlu memaklumkan kepada ICA atau Kementerian Tenaga Manusia tentang sebarang perubahan pada butiran pasport mereka sebelum pulang ke Singapura.

Pemandu-pemandu kenderaan diingatkan supaya memastikan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) mereka masih sah.

Pemandu yang tidak mempunyai kad Autopass yang sah, emel kelulusan VEP daripada Penguasa Pengangkutan Darat atau insurans yang sah akan diarahkan untuk berpatah balik.

ICA turut menasihatkan para pelawat supaya melunaskan sebarang saman tertunggak dengan agensi berkaitan, kerana mereka yang gagal berbuat demikian boleh dihalang daripada memasuki Singapura.

Pihak berkuasa itu juga mengingatkan bahawa aktiviti menghisap rokok elektronik dan pemilikan vape adalah dilarang di Singapura. Sejak 1 September, individu yang didapati memiliki, menggunakan atau mengimport vape akan berdepan hukuman lebih berat, menurut ICA.

Pelawat jangka pendek yang melakukan kesalahan berulang kali berkaitan vape akan diharamkan daripada memasuki semula Singapura, manakala pemegang pas jangka panjang yang mengulangi kesalahan buat kali ketiga boleh ditarik balik pas mereka, dihantar pulang, dan diharamkan daripada memasuki semula negara ini.

“Kami memohon kerjasama para pelancong untuk mematuhi arahan pegawai-pegawai ICA, mematuhi peraturan lalu lintas dan menjaga disiplin lorong,” menurut agensi itu.

“ICA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelancong yang enggan mematuhi arahan pegawai atau melakukan kesalahan di pusat-pusat pemeriksaan.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita