Skip to main content

Singapura

Kesesakan trafik dijangka di pusat pemeriksaan Woodlands, Tuas pada cuti Hari Raya Haji

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pemandu yang merancang melintasi pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas ke Malaysia pada cuti Hari Raya Haji ini dinasihati agar mengambilkira masa tambahan bagi pelepasan imigresen.

Trafik dijangka sesak di kedua-dua pusat pemeriksaan bermula Rabu (28 Jun) hingga Isnin (3 Jul).

"Pelawat yang menggunakan kereta boleh menjangkakan masa menunggu sehingga tiga jam semasa waktu sibuk sepanjang hujung minggu panjang itu, serupa dengan keadaan sebelum pandemik COVID-19," kata Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu makluman yang dikeluarkan pada Selasa (27 Jun).

Pusat pemeriksaan darat menyaksikan aliran trafik berterusan ketika cuti sekolah Jun dan memuncak pada 430,000 lintasan pada 16 Jun, melebihi kadar sebelum COVID.

Lebih 1.2 juta pelawat - secara purata sekitar 406,000 lintasan setiap hari - menggunakan pusat pemeriksaan darat antara 16 dan 18 Jun, tambah ICA.

Para pemandu dinasihati agar memeriksa keadaan trafik di pusat pemeriksaan darat menerusi laman One Motoring Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), atau melalui Sistem Penasihat Pengawasan Ekspreswe (EMAS) yang dipasang sepanjang Ekspreswe Bukit Timah (BKE) dan Ekspreswe Ayer Rajah (AYE).

Butiran trafik juga akan dimuatnaikkan ke laman Facebook dan Twitter ICA, serta radio tempatan.

LANGKAH MELANCARKAN KEADAAN TRAFIK

ICA menyatakan bahawa beberapa langkah sudah diperkenalkan untuk melancarkan urusan trafik di pusat pemeriksaan darat dan memperbaiki pengalaman pelawat.

Ia termasuk inisiatif untuk membolehkan penduduk Singapura, Malaysia dan pelawat asing kali pertama yang layak untuk menggunakan laluan automatik tanpa pendaftaran terlebih dahulu, serta lebih banyak laluan automatik dibuka di dewan bas.

Pihak berkuasa juga bekerja rapat dengan LTA dan penyedia khidmat rentas sempadan seperti SBS Transit dan Causeway Link untuk menambah kekerapan bas awam bagi menangani jumlah pelawat yang bertambah.

Lebih ramai pegawai juga akan dikerah untuk mengawal orang ramai di ruang menunggu bas dan laluan pejalan kaki di Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands menuju ke ruang bas di Pusat Pemeriksaan Woodlands ketika waktu sibuk.

ICA juga menggesa pemandu agar mematuhi peraturan lalu lintas, mengekalkan disiplin di lorong pemeriksaan dan bekerjasama dengan pegawai Polis Trafik di lokasi serta elak daripada memotong barisan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita