Kesesakan trafik di S'pura semakin bertambah baik; tapi nahas pejalan kaki warga emas meningkat
Keadaan lalu lintas semakin bertambah baik pada 2019, dengan jumlah kemalangan, kecederaan dan kematian sudah berkurangan, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam kenyataannya yang dikeluarkan hari ini (10 Feb).
SINGAPURA: Keadaan lalu lintas semakin bertambah baik pada 2019, dengan jumlah kemalangan, kecederaan dan kematian sudah berkurangan, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam kenyataannya yang dikeluarkan hari ini (10 Feb).
Perangkaan daripada laporan Keadaan Trafik 2019 menunjukkan bahawa jumlah kemalangan yang membawa maut dan kematian merosot ke paras rekod.
Namun, polis menyatakan peningkatan pada bilangan kemalangan yang melibatkan para pejalan kaki warga emas dan penunggang motosikal terus menjadi keprihatinan.
Jumlah kemalangan dan kesalahan memandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan dan gagal berhenti apabila lampu isyarat bertukar merah juga meningkat.
PARAS REKOD TERENDAH BAGI KEMALANGAN MAUT, KEMATIAN
Secara keseluruhannya, jumlah kemalangan maut merosot sebanyak 3.3 peratus kepada 116 kes pada 2019 berbanding 120 kes pada 2018. Jumlah kematian pula merosot 5.6 peratus kepada 117 pada 2019, dari 124 pada 2018, menurut perangkaan SPF.
Kadar kematian jalan raya bagi setiap 100,000 penduduk merosot sebanyak 2.05 peratus pada 2019, berbanding 2.2 peratus pada 2018.
Bilangan kemalangan yang menyebabkan kecederaan juga merosot sebanyak 0.3 peratus kepada 7,666 kes pada 2019 berbanding 7,690 kes pada 2018.
Bagi kemalangan membabitkan pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk, jumlah kesnya merosot sebanyak 14 peratus kepada 153 pada 2019, berbanding 178 kes pada 2018.
Jumlah individu yang diberkas kerana memandu dalam keadaan mabuk pula merosot 3.4 peratus kepada 1,969 orang pada 2019, berbanding 2,038 orang pada 2018.
Meskipun situasi memandu dalam keadaan mabuk semakin bertambah baik, Polis Trafik menyatakan ia akan meneruskan usaha penguatkuasaan dan "mengambil tindakan terhadap para pemandu tidak bertanggungjawab yang memandu dalam keadaan mabuk", dan membahayakan keselamatan para pengguna jalan raya yang lain.
LEBIH BANYAK KEMALANGAN BABITKAN PEJALAN KAKI WARGA EMAS
Meskipun terdapat kemajuan pada bidang-bidang itu, trend-trend yang membabitkan pejalan kaki warga emas dan para penunggang motosikal menimbulkan keprihatinan.
Kemalangan jalan raya membabitkan pejalan kaki warga emas meningkat sebanyak 33.6 peratus kepada 322 kes pada 2019, daripada 241 kes pada 2018, menurut perangkaan terkini.
Jumlah kematian pejalan kaki warga emas meningkat 12.5 peratus kepada 27 orang pada 2019, berbanding 24 pada 2018. Lebih separuh kemalangan maut disebabkan oleh perbuatan berjalan sembarangan.
Polis menyatakan ia akan bekerjasama dengan Lion Befrienders Service Association dan NTUC Health Cooperative Limited untuk melibatkan lebih ramai sukarelawan untuk mendampingi warga tua dan mendidik mereka tentang bahaya melintasi jalan raya secara sembarangan dan bagaimana untuk menjaga keselamatan di jalan raya.
Bagi para penunggang motosikal, jumlah kemalangan yang menyebabkan kecederaan meningkat sebanyak 1.9 peratus kepada 4,444 kes pada 2019 daripada 4,361 kes pada 2018.
Jumlah penunggang dan pembonceng motosikal yang mengalami kecederaan pula meningkat 3 peratus dari 4,839 kes pada 2018 kepada 4,985 kes pada 2019.
KEMALANGAN MENINGKAT BABITKAN PANDU MELEBIHI HAD KELAJUAN, LANGGAR LAMPU TRAFIK MERAH
Jumlah kemalangan berkaitan individu memandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan juga meningkat, sebanyak 1.3 peratus kepada 728 kes pada 2019, berbanding 719 kes pada 2018. Jumlah individu yang melanggar had kelajuan pula meningkat 16.4 peratus kepada 183,059 kes pada 2019, daripada 157,312 kes pada 2018, menurut perangkaan tersebut.
Jumlah kemalangan yang berlaku akibat perbuatan tidak berhenti apabila lampu isyarat bertukar kepada warna merah naik 14.2 peratus kepada 153 kes pada 2019, berbanding 134 kes pada 2018. Jumlah kes sedemikian pula naik 7.1 peratus kepada 59,368 kes pada 2019, daripada 55,433 kes pada 2018.
Polis menggesa para pemandu supaya mematuhi peraturan trafik dan had kelajuan yang ditetapkan.
Bagi mencegah kesalahan sedemikian, lagi 12 kamera lampu isyarat akan dipasang menjelang Mac 2020, sebagai tambahan kepada 240 kamera yang sudahpun dipasang, menurut SPF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.