Skip to main content

Singapura

Kesesakan lalu lintas SG masih terkawal meski jumlah kenderaan meningkat

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Dec 2024 07:23PM Dikemas Kini : 13 Dec 2024 08:47PM

SINGAPURA: Pada Oktober lalu, pemerintah mengumumkan penambahan lagi 20,000 COE untuk pelbagai kategori dalam beberapa tahun mendatang.

Ini kali pertama jumlah tersebut ditingkatkan dalam tempoh lebih dua dekad.

Namun para pengamat yakin, Singapura dapat mencapai sasarannya untuk menjadi sebuah negara dengan jumlah kenderaan yang berkurangan, dan bahawa kesesakan lalu lintas akan terus berada dalam kawalan.

Singapura bercadang untuk beralih kepada kaedah lain bagi mengawal kesesakan lalu lintas, sekalipun dengan lebih banyak kenderaan dibenarkan di jalan-jalan raya.

Salah satu pilihan adalah mengenakan bayaran ke atas pemilik mengikut sejauh mana jarak mereka memandu.

Sistem pengurusan lalu lintas yang canggih juga mungkin dapat membantu.

Misalnya, sistem hasil ciptaan ST Engineering ini boleh meramalkan kesesakan lalu lintas sejam sebelum ia dijangka berlaku.

Malah, ia juga boleh secara automatik mengeluarkan amaran kepada polis dan ambulans, ataupun pemberitahuan kepada pemandu, baik di dalam mahupun di luar kenderaan.

Naib Presiden, Jalan Raya Mobiliti, ST Engineering, Leong Hin Cheong berkata: "Rangkaian jalan raya Singapura sangat terhubung. Sebarang kemalangan atau gangguan kepada aliran lalu lintas boleh menjejas masa perjalanan kita dengan teruk.

"Kami sudah laksanakan pelbagai versi sistem sedemikian di bandar-bandar utama dunia, seperti Singapura dan Dubai. Kami dapat bantu pihak berkuasa trafik untuk mengurangkan kesesakan sebanyak 50 peratus dan mengurangkan tempoh perjalanan pemandu sebanyak 20 peratus," jelasnya.

Singapura turut meningkatkan mutu pengangkutan awam demi mengurangkan keperluan penduduk untuk menggunakan kereta, walaupun mereka memilikinya.

Dana berbilion dolar dibelanjakan bagi kerja-kerja peningkatan untuk menambah baik ketersambungan dan akses kepada pengangkutan awam.

September lalu, gangguan kepada khidmat kereta api di salah sebuah laluan utama MRT berlarutan selama enam hari selepas landasannya mengalami kerosakan teruk.

Para pakar berkata, insiden sedemikian boleh menyebabkan perbelanjaan yang tidak dijangka bagi kerja-kerja penyenggaraan atau penggantian.

Sedang kos meningkat, satu keseimbangan perlu dicapai.


"Penumpang perlu sedar bahawa sedang keadaan berubah, kadangkala kaedah pengangkutan mereka atau cara mereka lakukan perjalanan juga mungkin perlu berubah. Katakan, sebagai contoh, jumlah penduduk di tempat A berkurangan, khidmat bas tertentu mungkin juga perlu disesuaikan," kata Dr Victor Kwan, Pensyarah Kanan, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura.

Jadi, daripada menaiki bas yang langsung, anda mungkin perlu berjalan ke stesen MRT berdekatan, atau anda mungkin perlu menyambung perjalanan menggunakan cara lain," tambahnya.

Menurut para pakar, kini semakin penting untuk mendampingi orang awam bagi membincangkan kesan pelbagai perubahan ini - contohnya mengenai kenaikan kos serta siapa yang patut menanggungnya.

Sumber : CNA/FZ/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita