Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kesesakan lalu lintas dijangka berterusan di Koswe sepanjang tempoh cuti sekolah SG, M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Para pelawat yang melakukan perjalanan ke Johor Bahru melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands pada Isnin (12 Dis) terpaksa berdepan dengan kesesakan lalu lintas di koswe dan masa menunggu yang lama.

Dalam hantaran Facebook pada pukul 7.50 pagi, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menyatakan terdapat kesesakan lalu lintas di Pusat Pemeriksaan Woodlands yang menghala keluar dari Singapura disebabkan oleh kesesakan trafik di Malaysia.

"Kelengahan dijangka berlaku dan para pelawat dinasihati untuk memeriksa keadaan lalu lintas sebelum melakukan perjalanan mereka," menurut ICA.

Ia turut mengingatkan pemandu supaya menjaga disiplin lorong dan memberikan kerjasama dengan para pegawai bertugas.

Dalam kemas kini pada pukul 7.00 malam, iaitu sekitar 11 jam selepas catatan awal tersebut, ICA menyatakan bahawa kesesakan lalu lintas sudah mula reda. Catatannya di Facebook yang dimuatnaikkan pada pagi Isnin sudahpun dipadamkan.

Dalam gambar-gambar yang menunjukkan keadaan lalu lintas sekitar pukul 6.00 petang, aplikasi mudah alih checkpoints.sg menunjukkan barisan beratur panjang di semua lorong dengan anggaran masa menunggu antara 70 minit hingga 105 minit untuk masuk ke Johor Bahru.

Data yang dikumpulkan oleh aplikasi itu menunjukkan masa menunggu di kedua-dua arah lebih lama semasa tempoh waktu sibuk minggu ini berbanding dengan minggu lalu di kedua-dua pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas.

Pada hujung minggu lalu, waktu perjalanan dari Singapura ke Johor Bahru memakan masa lebih 100 minit semasa waktu sibuk pada 10 Disember di kedua-dua pusat pemeriksaan darat tersebut.

Kesesakan berkurangan sedikit pada 11 Disember manakala lalu lintas dari Malaysia untuk menghala masuk ke Singapura kembali sesak pada lewat Isnin (12 Dis).

Menurut agensi berita 8World, masa menunggu pada Jumaat (9 Dis) adalah selama empat jam, dengan segelintir pelawat membuat keputusan untuk berjalan kaki ke kawasan kastam.

Dalam makluman yang dikeluarkan pada November, ICA memberitahu para pelawat yang menggunakan kedua-dua pusat pemeriksaan darat Woodlands dan Tuas supaya mengambil kira masa tambahan untuk pelepasan imigresen selain mengelakkan waktu sibuk kerana jumlah pelawat dijangka meningkat semasa tempoh musim cuti.

Kedua-dua Malaysia dan Singapura kini sedang menjalani cuti sekolah akhir tahun.
Sumber : CNA/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan