Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kesesakan Koswe dijangka bermula sejauh BKE, AYE pada musim cuti hujung tahun: ICA

Anggaran Waktu Membaca:
Kesesakan Koswe dijangka bermula sejauh BKE, AYE pada musim cuti hujung tahun: ICA

Kenderaan beratur panjang di Pusat Pemeriksaan Woodlands di Singapura pada awal 1 April 2022 sebelum merentasi Koswe untuk ke negeri Johor. (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

SINGAPURA: Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mengeluarkan amaran kesesakan trafik di kedua-dua pusat pemeriksaan darat di sempadan dengan Malaysia sepanjang cuti Krismas dan Tahun Baru. 

Kesesakan dijangka bermula dari sejauh Ekspreswe Bukit Timah (BKE) dan Ekspreswe Ayer Rajah (AYE), menurut ICA pada Isnin (19 Dis). 

Agensi berkenaan sudah menjangkakan kenderaan beratur panjang sejak cuti sekolah hujung tahun bermula.

Sepanjang hujung minggu antara 16 hingga 18 Disember, lebih sejuta pelawat melalui pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas, dengan sekitar 359,000 orang setiap hari. 

Laluan trafik melalui kedua-dua pusat pemeriksaan sudah kembali kepada sekitar 84 peratus tahap sebelum pandemik, dedah ICA, naik 80 peratus berbanding pada November. 

"Pada waktu sibuk, jumlahnya mencecah tahap sebelum COVID-19," tambah ICA. 

ICA menasihatkan para pelawat agar mengambil kira masa tambahan bagi pelepasan imigresen. 

"Pada kemuncak musim cuti pada 2019, purata tempoh menunggu bagi pelawat yang tiba atau berangkat menggunakan kereta melalui pusat pemeriksaan darat adalah sekitar tiga jam," menurut ICA. 

Berikut adalah nasihat ICA bagi perancangan perjalanan yang lancar: 

- Sebelum berangkat, pengguna jalan raya dinasihat memeriksa keadaan trafik di pusat pemeriksaan darat menerusi laman One Motoring dikendalikan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) atau Sistem Pemantauan dan Pemakluman Ekspreswe yang dipasang sekitar BKE dan AYE

- Pengguna jalan raya juga boleh mendapatkan kemas kini menerusi akaun Facebook dan Twitter ICA, serta siaran radio tempatan di Money 89.3, Kiss92, One 91.3, Hao 96.3 dan UFM 1003.

- Pengguna jalan raya diingatkan agar tidak memotong jalan kerana ia boleh menyebabkan kesesakan teruk dan menjejas keselamatan pengguna lain 

- Mereka harus mematuhi peraturan trafik, mengekalkan disiplin jalan raya dan bekerjasama dengan pekerja di premis berkenaan

- Pelawat yang menaiki bas dan boleh menggunakan laluan automatik di dewan ketibaan dinasihatkan untuk berbuat demikian 

ICA turut mengingatkan pelawat agar memeriksa dokumen mereka:

- Pastikan pasport anda sah untuk sekurang-kurangnya enam bulan 

- Penduduk Tetap (PR) Singapura yang memperbaharui pasport mereka harus memindahkan Permit Kemasukan Semula mereka kepada pasport baru

- Pemegang pas jangka panjang yang memegang Pas Pekerjaan, Pas S, Permit Kerja, Pas Pelajar, Pas Lawatan Jangka Panjang (LTVP) dan Pas Tanggungan, perlu memaklumkan kepada ICA atau Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengenai sebarang perubahan dalam maklumat pasport mereka 

- Semua pelawat jangka pendek, termasuk pemegang pas jangka panjang yang mendapat kelulusan secara prinsip, dikehendaki mengisi Kad Ketibaan Singapura dalam tiga hari sebelum tiba di Singapura. 

Disebabkan jumlah trafik yang tinggi dan perjalanan harian bagi pekerja dan pelajar, penduduk Singapura dikecualikan daripada menghantarkan pengisytiharan kesihatan sekiranya mereka pulang ke Singapura menerusi pusat pemeriksaan darat. Mereka harus berbuat sedemikian sekiranya mereka memasuki Singapura menerusi pusat pemeriksaan laut dan udara, menurut ICA. 

- Pemandu kenderaan berdaftar asing yang memasuki Singapura dikehendaki mempunyai Permit Kemasukan Kenderaan yang sah, emel kelulusan LTA dan kad Autopass. 

SYARAT-SYARAT LAIN

Pelawat tidak boleh membawa masuk barangan larangan, seperti senjata atau pengewap elektrik, tambah ICA. 

"Mereka yang membawa masuk barangan dicukai atau dikawal, seperti produk tembakau, perlu membuat pengisytiharan kepada pegawai ICA sebelum diperiksa." 

Pelawat yang berangkat menerusi kereta berdaftar Singapura dinasihatkan mematuhi undang-undang "tangki tiga suku". Pesalah boleh dikenakan denda sehingga S$500 atau didakwa di mahkamah. 

Mereka akan disuruh pulang di pusat pemeriksaan dan tidak dibenarkan meneruskan perjalanan mereka ke Malaysia. 

"ICA akan terus memudahkan pelepasan imigresen tanpa bertolak ansur tentang keselamatan. Kami memohon pemahaman dan kerjasama pelawat untuk bersabar, mematuhi peraturan trafik, memastikan disiplin di jalan raya dan bekerjasama dengan pegawai di premis apabila menggunakan pusat pemeriksaan darat," tambahnya.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan