Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kesemua slot vaksinasi kanak-kanak ditempah sepenuhnya pada hari pertama

Belum dapatkan slot bagi vaksinasi anak anda? Jangan risau, lebih banyak slot akan disediakan dengan pembukaan lagi 8 pusat vaksinasi kanak-kanak pada bulan depan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kesemua 3,300 slot vaksinasi bagi kanak-kanak di tujuh pusat vaksinasi pediatrik ditempah sepenuhnya pada hari pertama ia beroperasi hari ini (27 Dis).

Murid Darjah 4 hingga 6 merupakan kumpulan pertama yang mendapat vaksinasi di bawah program vaksinasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan (MOE), segala urusan vaksinasi kanak-kanak pada hari pertamanya hari ini (27 Dis) berjalan dengan lancar.

Dengan lagi lapan pusat vaksinasi kanak-kanak akan dibuka pada bulan depan, MOE turut mendedahkan bahawa lebih banyak slot akan ditawarkan.

Ini bagi memudahkan ibu bapa mendapatkan slot sebaik sahaja pendaftaran bagi murid Darjah 1 hingga 3 di sekolah-sekolah rendah MOE dan madrasah dibuka mulai 5 Januari.

Menerusi catatannya di Facebook, Menteri Pendidikan Chan Chun Sing berkata bahawa MOE menyaksikan peningkatan yang stabil dari segi pendaftaran bagi vaksinasi kanak-kanak.

Beliau berbesar hati melihat ibu bapa dan kanak-kanak saling mempertingkatkan usaha untuk melindungi diri dan juga orang-orang di sekeliling mereka.

Dalam perancangan untuk membuka lebih banyak kegiatan pembelajaran, sukan dan permainan di sekolah-sekolah pada penggal baru persekolahan, Encik Chan berkata kementeriannya sentiasa mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Sementara itu, Menteri Kedua Pendidikan Dr Maliki Osman mengingatkan para ibu bapa supaya terus berwaspada untuk kekal selamat dan dilindungi daripada jangkitan COVID-19.

Dalam catatannya di Facebook, Dr Maliki yang juga bapa kepada dua orang anak berkata: "Sebagai ibu bapa, kebimbangan terhadap anak-anak tidak pernah terhenti dan kami hanya mahu melihat anak-anak kami membesar dengan sihat."

Sehubungan itu, beliau menggalak para ibu bapa supaya segera membuat pendaftaran bagi anak-anak mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin sekiranya layak dari segi perubatan.

Ini kerana tambah beliau, vaksinasi berupaya mengurangkan risiko anak-anak mereka sakit teruk jika dijangkiti koronavirus.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan