Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kesemua slot di tiga pusat vaksinasi kanak-kanak habis ditempah pada hari pertama

Kadar tempahan slot yang tinggi disaksikan pada hari pertama bermulanya program vaksinasi bagi murid-murid Darjah 4 hingga 6.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kadar tempahan slot yang tinggi disaksikan pada hari pertama bermulanya program vaksinasi bagi murid-murid Darjah 4 hingga 6 hari ini (27 Dis).

Slot bagi sekurang-kurangnya tiga daripada tujuh pusat vaksinasi kanak-kanak habis ditempah.

Setiap pusat itu yang dikendalikan Raffles Medical, menawarkan 500 slot.

vaksin
(Gambar: Ira Musfirah)


Pusat-pusat vaksinasi itu terdiri daripada Kelab Masyarakat Pasir Ris Elias, Kelab Masyarakat Nanyang dan Kelab Masyarakat Nee Soon East.

Empat pusat vaksinasi kanak-kanak lain yang disediakan bermula hari ini (27 Dis), termasuk Kelab Masyarakat Senja-Cashew, Hab Tampines Kita (OTH), Kelab Masyarakat Woodlands Galaxy dan Kelab Masyarakat Hougang.

Di OTH, seramai 480 kanak-kanak mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin mereka hari ini.

Para pelajar tersebut juga membentuk kumpulan pertama daripada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang mendapat suntikan vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty.

Vaksin berkenaan merupakan satu-satunya vaksin yang diluluskan buat kumpulan usia tersebut.

Setiap kanak-kanak antara lima hingga 11 tahun akan diberikan sepertiga dos vaksin dewasa iaitu 10 mikrogram berbanding 30 mikrogram bagi seorang dewasa. Jarum yang digunakan juga lebih kecil.

Pengendali Fullerton Health berkata pihaknya bersedia untuk memenuhi permintaan slot yang lebih tinggi.

Ini memandangkan pihaknya mempunyai bekalan untuk memberi sehingga 3,000 dos vaksin setiap hari.

100 KANAK-KANAK DIVAKSIN DALAM 90 MINIT

Di Kelab Masyarakat Pasir Ris Elias, slot tempahan pertama dibuka pada 8.00 pagi.

Meskipun slot terawal adalah pada jam 8.00 pagi, ada yang sudah tiba seawal 7.30 pagi lagi.

vaksin
(Gambar: Ira Musfirah)


Setakat 9.30 pagi tadi, seramai 100 kanak-kanak sudahpun divaksin.

Timbalan Pengarah bagi Operasi, Raffles Medical, Encik Shao Fay berkata: "Bagi 500 slot,kami akan berjumpa dengan sekurang-kurangnya 50 kanak-kanak bagi setiap satu jam, tapi kami lebih awal daripada masa yang dijangkakan.

"Jadi saya rasa dalam masa satu jam setengah, kami sudah berjumpa dengan 100 kanak-kanak. Setakat ini, kami belum menyaksikan sebarang tindak balas buruk dan nampaknya semua kanak-kanak masih kelihatan agak tenang"

TIADA TINDAK BALAS NEGATIF SETAKAT INI

Cik Sharifah Khadijah Syed Ahmad Alsagoff, yang juga ibu kepada anak kembar berusia 11 tahun, Rizk Muhamad Syafi Muhamad Rizal dan Reza Muhamad Syafiq Muhamad Rizal, berasa lega kerana anak-anaknya tidak mengalami sebarang kesan sampingan.

Ini meskipun kedua-dua mereka mempunyai masalah ekzema, alahan makanan dan kekurangan enzim G6PD (Glucose-6-Phosphate Dehydrogenase) yang boleh menyebabkan anemia.

"Alhamdulillah, dekat dalam tadi lancar dan tak ada apa-apa kegenjotan. Alhamdulillah tadi ambil vaksin pun senang. Walaupun mereka ada alahan tapi Alhamdulillah semuanya lancar dan tak ada sebarang gejala. Gejala yang ringan pun tak ada, Alhamdulillah," kata Cik Sharifah Khadijah.

vaksin
(Gambar: Ira Musfirah)


Rizk Muhammad Syafi yang menuntut di Sekolah Rendah Meridian berasa gembira kerana menerima vaksin dos pertamanya hari ini, meskipun tetap gementar.

"Jadi saya dapat kurangkan risiko dijangkiti COVID dan saya dapat lebih banyak keluar," jawabnya ringkas.

Seorang lagi ibu yang menemani anaknya mendapat suntikan vaksin di Kelab Masyarakat Pasir Ris Elias ialah Cik Sharifah Muznah Syed Hassan Alsagoff.

Ibu kepada pelajar 11 tahun di Sekolah Rendah Punggol View, Nur Syafeeaini Mohammad Saini, pada mulanya bimbang akan kesan sampingan pada anaknya.

"Saya risau kadang-kadang (anak saya) cepat sakit juga. Senang dapat sakit pasal dia ada sejarah asma, bronkitis.

"Sekarang dah kurang sedikitlah tapi takut juga pasal dia senang dapat sakit, demam tapi setakat ini okey," kongsi beliau.

Bagi Cik Sharifah Muznah, suntikan vaksin ini sebagai satu langkah pencegahan dan dapat memudahkan mereka keluar bersiar-siar dan makan bersama-sama.

BAKAL TAMBAH SLOT VAKSINASI KANAK-KANAK

Ketiga-tiga pusat vaksinasi kendalian Raffles Medical juga bakal meningkatkan jumlah slot kepada 800 bermula lusa (29 Dis).

Menjelang Jumaat ini pula, ia akan meningkatkan lagi jumlahnya kepada 1,000 slot setiap hari.

Setiap kanak-kanak juga perlu menimbang berat badan sebelum memasuki pusat vaksinasi.

vaksin
(Gambar: Ira Musfirah)


"Ini akan menentukan langkah-langkah apa yang harus diambil sekiranya mereka mengalami sawan. Ada perbezaan dari segi EpiPen mana yang harus diberikan," kata Encik Shao Fay.

EpiPen adalah alat suntikan yang digunakan untuk menangani tindak balas alahan yang akut.

Sekitar 110,000 undangan SMS dikirimkan Rabu lalu kepada ibu bapa murid-murid Darjah 4 hingga 6.

Sejauh ini, sekitar 40 peratus pelajar sudahpun didaftarkan oleh ibu bapa atau penjaga mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech di tujuh pusat yang menyediakan vaksinasi kanak-kanak.

Lagi tujuh pusat vaksinasi akan bermula operasi pada 3 Januari ini.

Ia terdiri daripada Kelab Masyarakat Clementi, bekas Sekolah Menengah Hong Kah, Kelab Masyarakat Queenstown, Kelab Masyarakat Toa Payoh West, Kelab Masyarakat Jalan Besar, Kelab Masyarakat Marine Parade dan Kelab Masyarakat The Serangoon.

Satu lagi pusat vaksinasi iaitu di Sekolah Menengah Yusof Ishak (Kampus Punggol) pula akan mula beroperasi pada 11 Januari.

Pendaftaran untuk murid-murid Darjah 1 hingga 3 di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan dan madrasah akan bermula pada 5 Januari.

Murid-murid lain dalam kumpulan umur yang sama akan menerima mesej tersebut mulai 6 Januari.

Sumber : BERITA Mediacorp/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa