Skip to main content

Singapura

Kesemua pelajar madrasah lulus peperiksaan GCE 'O'

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kesemua 209 pelajar madrasah yang menduduki peperiksaan GCE peringkat 'O' pada 2025 memenuhi kelayakan minimum untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pos menengah. 

Antaranya termasuk pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, Muhammad Muhaimin Nazri yang tidak membiarkan cabaran hidup menghalang cita-cita akademiknya.

Selepas kematian ayahnya ketika usianya baharu lima tahun, Muhaimin, seorang anak tunggal dibesarkan sendiri oleh ibunya.

Related article image
Muhammad Muhaimin Nazri (kiri) bersama ibunya.

Ketabahan ibunya yang gigih menyara keluarga, termasuk melalui episod rawatan penyakit kanser turut menjadi dorongan utama buat Muhaimin untuk lebih berdikari dan fokus dalam pelajaran.

Dalam menghadapi tekanan peperiksaan GCE 'O', Muhaimin memilih pendekatan yang teratur dan tidak membebankan diri.

“Saya tidak mahu fikir terlalu banyak kerana kalau terlalu stres, keadaan boleh jadi lebih teruk. Memang setiap hari saya ikut jadual sekolah, dan saya tidak terlalu membebankan diri,” katanya.

Dengan keputusan yang diraih, Muhaimin kini merancang untuk melanjutkan pengajian ke Politeknik Singapura dalam bidang kimia, sebagai langkah awal membina masa depan yang lebih baik.

Related article image
Mohamad Khuzaimi Mohd Kamsani (kanan) bersama ibunya.

CABARAN KELUARGA TIDAK PATAHKAN SEMANGAT

Seorang lagi pelajar yang turut mencatat kejayaan ialah Mohamad Khuzaimi Mohd Kamsani dari Madrasah Wak Tanjong.

Di sebalik kejayaannya, Khuzaimi berdepan pelbagai cabaran di rumah apabila bapanya mengalami masalah kesihatan buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis secara berkala, sekali gus menuntut tanggungjawab tambahan sebagai anak sulung.

Namun, keputusan yang diraih melebihi jangkaannya sendiri.

Dalam mengimbangi komitmen pelajaran dengan tanggungjawab di rumah, Khuzaimi memilih untuk memisahkan kedua-duanya agar kekal fokus.

“Selalu saya akan seimbangkan masa saya. Saya belajar di sekolah dan saya tinggalkan masalah sekolah di sekolah. Bila di rumah pula, saya fokus kepada urusan di rumah.” kongsi Khuzaimi kepada wartawan Fatyn Abdul Samad.

Sokongan keluarga menjadi kekuatan utama yang membantunya kekal tabah sepanjang tempoh persiapan peperiksaan.

“Pertama, ibu saya kerana dia banyak berkorban masa untuk saya dan mendidik saya sejak kecil. Kedua adalah adik saya kerana saya ingin menjadi contoh kepadanya dan saya mahu dia jadi lebih baik daripada saya.” jelas Khuzaimi.

Buat masa ini, Khuzaimi masih mempertimbangkan langkah seterusnya dalam pendidikannya, sama ada untuk melanjutkan pengajian ke politeknik atau meneruskan pra-universiti di Madrasah Wak Tanjong.

Bagi Khuzaimi, kejayaan dalam peperiksaan GCE 'O' Level ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi satu langkah awal untuk terus tabah menghadapi cabaran hidup dan membina masa depan yang lebih baik buat keluarganya.

Dalam satu kenyataan media Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata, “Daya tahan dan keupayaan menyesuaikan diri mereka meletakkan mereka pada kedudukan yang baik untuk berjaya dalam pelbagai laluan. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada para pendidik dan keluarga yang sokongan tidak berbelah bahagi mereka telah membentuk para belia cemerlang ini.”

Sumber : BERITA Mediacorp/FT/ft
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita