Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kesemua pelajar IB Madrasah Aljunied lulus, raih purata 36.05 mata

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah mencatat kelulusan penuh bagi peperiksaan International Baccalaureate (IB) tahun 2022. 

Kesemua 19 pelajar dalam kohort itu berjaya meraih diploma IB mereka berserta diploma dwibahasa IB. Secara keseluruhan, mereka meraih purata markah 36.05 mata - turun sedikit berbanding 40 mata yang dicatat pada tahun sebelumnya.

Hanisah berjaya meraih 40 daripada 45 mata penuh. (Gambar: Izwan Ohtman)

CEMERLANG MESKI DIKUARANTIN JELANG PEPERIKSAAN 

Hanya dua minggu sebelum menduduki peperiksaan, Nurul Hanisah Musa dijangkiti COVID-19 dan terpaksa mengasingkan diri selama seminggu. Ini bermakna dia hanya mempunyai seminggu sahaja untuk mengulang kaji di sekolah bersama guru-gurunya. 

Namun Hanisah berkongsi, tempoh kuarantin itu membantunya menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajarannya. 

"Kuarantin memberikan saya ruang untuk berfikir bersendirian dan juga memberikan lebih perhatian kepada subjek IBDP saya dan saya rasa tanpa kuarantin itu saya rasa saya tidak dapat mengulang kaji dengan lebih baik daripada tidak dijangkiti COVID itu, jadi saya rasa itu adalah hikmah di sebalik dijangkiti COVID 19 pada masa itu," kata Hanisah.

Hanisah berjaya meraih 40 daripada 45 mata penuh. Beliau berhasrat untuk melanjutkan pengajiannya ke Kolej Zaytuna di California dalam Pengajian Islam dan Sastera Liberal. 

Fatimah berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke Kolej Zaytuna di California dalam bidang Pengajian Islam dan Sastera Liberal. (Gambar: Izwan Ohtman)

BERFIKIRAN KRITIS, PANDAI BAHAGIKAN MASA

Seorang lagi pelajar yang menyimpan hasrat yang sama ialah Siti Nur Fatimah Abdul Rashid. Fatimah meraih 38 mata dan berharap dapat meneruskan momentum untuk peperiksaan seterusnya bagi 12 subjek dalam aliran agama pada Februari nanti. 

"Bagi saya, program IBDP di Madrasah Aljunied sangat berguna atau sangat efektif untuk melatih kita untuk menjadi pelajar yang berfikiran kritis dan bijak dan juga pandai membahagikan masa.

"Sepanjang tiga bulan yang akan datang ini, saya percaya bahawa rakan rakan saya sudah terbiasa untuk terus mengulang kaji dengan tekun," ujar Fatimah.

Dalam kalangan 19 pelajar, Muhamad Zaki muncul sebagai pelajar terbaik dengan 42 mata. (Gambar: Izwan Ohtman)

Bagi pelajar terbaik pula, Muhamad Zaki Awwab Idham yang meraih 42 mata, dia bercadang untuk mengejar cita-citanya dalam bidang Matematik dan Analisis Data. 

"Saya amat gembira bahawa usaha yang kami lakukan amat berbaloi dan saya kagum dengan rakan rakan saya, dengan pencapaian ini dan saya akan mengenangkan memori-memori yang diciptakan," kata Zaki.

Tahun ini juga merupakan tahun genting bagi Madrasah Aljunied kerana ia merupakan tahun penilaian oleh Pertubuhan Antarabangsa Baccalaureate (IBO). 

Setiap lima tahun, pihak IBO akan menilai setiap institusi bagi mendapatkan pentauliahan IB. 

Penolong Penyelaras program IB Madrasah Aljunied Mohamed Iskandar Sapi berkata pihak sekolah sudahpun meningkatkan sumber-sumber untuk memastikan bahawa bahan-bahan mengajar yang akan digunakan lebih lengkap berbanding sebelum ini.

"Kami juga menghantar guru untuk menghadiri pelbagai latihan untuk memastikan bahawa tahap kebolehan mengajar guru bersesuaian dengan apa yang dikehendaki oleh pihak IB," kongsi Encik Iskandar.

Ia merupakan kohort ketiga pelajar Madrasah Aljunied mendapat keputusan mereka setelah menerima pentauliahan IBO pada Oktober 2018.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan