Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kesemua lembu habis ditempah di bawah SalamSG Korban, korban fizikal di 5 lokasi juga dapat sambutan

SINGAPURA: Kesemua 170 ekor lembu bagi ibadah korban yang ditawarkan SalamSG Korban sudah habis ditempah setakat Selasa (7 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kesemua 170 ekor lembu bagi ibadah korban yang ditawarkan SalamSG Korban sudah habis ditempah setakat Selasa (7 Mei).

Dengan kurang sebulan lagi tempahan dibuka, masih terdapat dua lagi jenis haiwan iaitu kambing dan kambing biri-biri yang ditawarkan untuk pendaftaran bagi para sohibul korban.

Dalam jawapan bertulis MUIS kepada BERITA Mediacorp, ia juga mendedahkan bahawa setakat ini, 650 ekor kambing sudah ditempah.

Jumlah itu merupakan lebih sepertiga daripada jumlah keseluruhan kambing yang ditawarkan SalamSG Korban untuk tahun ini.

Kedua-dua jenis haiwan - lembu dan kambing - merupakan tawaran baharu oleh SalamSG Korban tahun ini.

Bagi kambing biri-biri pula - yang seringnya ditawarkan SalamSG Korban buat tahun-tahun lalu, lebih 430 ekor sudah ditempah.

Jumlah itu sekitar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan kambing biri-biri yang ditawarkan buat ibadah korban tahun ini.

Orang ramai masih boleh membuat tempahan secara online di www.ourmasjid.sg/korban atau di antara 52 masjid pilihan mereka sebelum 8 Jun 2024 atau selagi stok masih ada.

Penyembelihan haiwan-haiwan korban di bawah SalamSG akan dilakukan di Australia dan dagingnya akan diterbangkan ke Singapura selepas hari-hari Tasyrik.

ALIYAH RIZQ KEMBALI ADAKAN KORBAN SECARA FIZIKAL DI 5 LOKASI TAHUN INI

Bagi penyedia khidmat privet seperti Aliyah Rizq Holdings Pte Ltd pula, mereka membuka tempahan bagi ibadah korban yang dilakukan secara fizikal di Singapura.

'

Syarikat itu juga mendapatkan sambutan yang menggalakkan sejauh ini.

Ketua Pegawai Kewangan (CFO) syarikat itu, Cik Nabilah Bagarib berkata: "Kita sudah buka tempahan sekitar 3 minggu lalu selepas mendapat kebenaran. Sambutan sangat baik, kita sangat gembira. Sekitar 30 hingga 40% daripada jumlah keseluruhan sudah terjual. Kita juga bekerjasama dengan beberapa pertubuhan di mana mereka berikrar untuk mendapatkan sejumlah ekor kambing."

'

Setiap ekor kambing biri-biri yang ditawarkan syarikat itu buat ibadah korban berharga S$667, iaitu kira-kira seganda lebih mahal daripada yang ditawarkan Salam SG Korban.

Berkenaan hal itu, Cik Nabilah berkata: "Khidmat ibadah korban ini seperti pasaran terbuka. Ada banyak vendor yang tawarkan khidmat di luar negara. Kalau mungkin kita bandingkan harga sekitar S$300 untuk korban di luar negara, kita bandingkan dengan harga S$600 untuk korban secara langsung."

"Apa yang kita ingin uar-uarkan adalah ini adalah sunnah untuk menyaksikan korban itu sendiri. Lagipun, harga adalah sesuatu yang kita sebagai syarikat cuba untuk membuatnya dimampui. Dengan harga minyak, harga kapal terbang, inflasi, kita cuba membuatnya dimampui," tambah beliau.

'

Ia merupakan kali kedua syarikat itu menawarkan khidmat ibadah korban dan diadakan pada skala lebih besar.

Tahun lepas, syarikat itu mengadakan khidmat ibadah korban di dua lokasi sahaja.

Tahun ini, syarikat itu akan mengadakannya di lima buah lokasi, termasuk tiga masjid - Masjid Tentera Di Raja, Masjid Petempatan Melayu Sembawang dan Masjid Al-Firdaus.

'

Lagi dua lokasi ialah Rumah Peralihan Pertapis di Lorong 34 Geylang dan Tadika Muhammadiyah.

Dengan lebih banyak lokasi bagi penyembelihan, syarikat itu juga boleh menawarkan lebih tiga kali ganda jumlah kambing tahun ini.

Cik Nabilah berkata: "Berbanding tahun lepas, kita bawa masuk 250 ekor kambing sahaja, tahun ini, kita rancang untuk bawa masuk 800 ekor kambing yang diterbangkan dari Australia."

"Kita perlu ikut garis panduan yang ditetapkan pihak Australia serta garis panduan Agensi makanan Singapura (SFA). Setiap lokasi ada jumlah bilangan yang tersendiri. Masjid Tentera Di Raja misalnya akan ada sehingga 150 ekor kambing. Yang paling banyak adalah di Masjid Petempatan Melayu Sembawang dengan 200 ekor kambing."

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan