Kesemua jemaah haji SG sudah berangkat, diingatkan lindungi diri daripada cuaca panas

Seramai 175 jemaah haji daripada 5 GSA berangkat ke Tanah Suci hari ini dan mereka merupakan rombongan terakhir dari SG. (Gambar: Hidir Ezat)
Menurut ramalan cuaca, suhu boleh mencecah antara 40 hingga 47 darjah Celsius pada musim haji tahun ini, menjadikannya antara musim haji yang paling panas.
Pengarah Azza Travels, Muhammad Najeeb Anwar mengatakan, "Jemaah diperlukan untuk ada botol air supaya mereka dapat minum dengan secukupnya. Kami juga telah diberitahu oleh pihak Kementerian Haji dan Umrah (MOHU) bahawa para jemaah tidak boleh berada di luar khemah mereka pada masa-masa tertentu."
Para jemaah Azza Travels merupakan antara 175 jemaah yang berangkat ke Tanah Suci hari ini (2 Jun).
Mereka merupakan rombongan haji terakhir dari Singapura untuk berlepas ke sana.

Mereka menaiki pesawat Saudia Airlines pada jam 5.10 petang tadi dan dijangka tiba di Jeddah pada jam 9.20 malam waktu tempatan.
JADUAL PADAT, HANYA ADA 2 HARI SEBELUM KE ARAFAH
Setibanya di Jeddah nanti, kumpulan jemaah ini hanya mempunyai kira-kira dua hari sebelum berangkat pula untuk wukuf di Arafah pada Khamis ini (5 Jun).
Oleh itu, para jemaah dinasihatkan untuk berehat secukupnya sebelum ke Mina.
Encik Najeeb berkongsi, "Proses pelepasan di lapangan terbang Jeddah sangat laju, jadi Insya-Allah para jemaah akan tiba ke tempat penginapan mereka pada 2 pagi (waktu tempatan). Mereka juga akan ada satu hari penuh untuk menyiapkan diri serta berehat sebelum ke Mina pada keesokan harinya."
"Para jemaah juga telah disuruh untuk menyediakan beg bagi keperluan untuk 3 hari dan 2 malam supaya memudahkan persiapan untuk keesokan hari", tambahnya lagi.
Selain persiapan logistik, para jemaah juga sudah berusaha untuk persiapkan diri secara fizikal dan mental.

Antaranya ialah Encik Sulaiman Maideen yang berkongsi, "Saya telah menjaga makan dan minum saya, serta mendapatkan waktu rehat yang mencukupi untuk bersiap sedia untuk menjalankan ibadah haji tahun ini. Saya juga cuba mengurangkan tahap tekanan saya serta kerja-kerja fizikal supaya saya tidak terasa penat. Saya cuba untuk menenangkan diri sebelum berangkat untuk menunaikan haji."
"Cuaca di Singapura sejak kebelakangan ini juga terasa panas, jadi ia sebagai satu persediaan awal sebelum menghadapi suhu yang panas di sana nanti", kongsi Encik Sulaiman lagi.
Kerajaan Arab Saudi juga telah mengambil langkah-langkah bagi meredakan suhu tinggi seperti 'teknologi jalan sejuk' yang dapat menyerap haba.
Ia sudah dilaksanakan di kawasan utama di Makkah, Mina, Arafah dan Muzdalifah.
Kumpulan pertama jemaah haji dijadualkan untuk kembali ke tanah air pada 13 Jun 2025.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.