Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kesemua 90 penghuni, kakitangan Rumah Tumpangan Warga Tua Lee Ah Mooi negatif COVID-19

SINGAPURA: Seorang bekas anggota kakitangan Rumah Tumpangan Warga Emas Lee Ah Mooi di 148A Silat Avenue diuji positif COVID-19 pada Ahad (30 Ogos) di Filipina, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kesemua 90 penghuni, kakitangan Rumah Tumpangan Warga Tua Lee Ah Mooi negatif COVID-19

Rumah Tumpangan Warga Tua Lee Ah Mooi di 148A Silat Avenue. (Gambar: Google Maps)

Diterbitkan : 01 Sep 2020 08:01AM Dikemas Kini : 01 Sep 2020 08:03AM

SINGAPURA: Seorang bekas anggota kakitangan Rumah Tumpangan Warga Emas Lee Ah Mooi di 148A Silat Avenue diuji positif COVID-19 pada Ahad (30 Ogos) di Filipina, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin.

Sebagai langkah berjaga-jaga, MOH dan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) bekerjasama dengan rumah tumpangan itu untuk menguji kesemua 90 kakitangan dan penghuni yang dikenal pasti berhubung rapat dengan kes itu.

Hasil ujian bagi kesemua 90 individu itu adalah negatif COVID-19, menurut MOH.

Bekas anggota kakitangan berkenaan tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan pernafasan akut semasa bekerja di Singapura dan hari terakhir beliau bertugas di rumah tumpangan itu adalah pada 26 Ogos, tambah kementerian tersebut.

"Beliau sihat dan dalam keadaan baik semasa bekerja untuk tempoh 24 bulan lalu serta tidak menunjukkan sebarang simptom," rumah tumpangan itu menyatakan demikian dalam satu catatan Facebook pada Isnin.

Menurut kenyataan itu lagi, bekas anggota kakitangan tersebut memakai kelengkapan perlindungan peribadi semasa bertugas dan pulang ke Filipina setelah selesai kontraknya. Beliau diuji bagi COVID-19 sekembalinya ke negara asal.

"Kami sudah menghubunginya untuk menawarkannya sokongan. Beliau berkongsi bahawa beliau masih berasa sihat dan tidak menunjukkan sebarang simptom," hurai rumah tumpangan itu lanjut.

Semua lawatan fizikal ke cawangan Silat Avenue rumah tumpangan itu digantung dan digantikan dengan panggilan video.

Rumah tumpangan itu juga menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman dengan rapi di wad serta kawasan terjejas. Ia akan mempertingkatkan penggunaan peralatan perlindungan peribadi (PPE) dalam kalangan kakitangannya, menurut AIC dalam satu kenyataan pada hari yang sama.

Agensi itu menambah Lee Ah Mooi (Silat) mematuhi langkah berjaga-jaga yang sejajar dengan garis panduan oleh AIC serta MOH sejak Februari 2020.

"Ini termasuk memeriksa suhu badan penghuni dan kakitangan dua kali sehari, mematuhi peraturan zon berasingan serta menggunakan PPE yang betul oleh kedua-dua kakitangan dan pelawat di dalam rumah tumpangan," jelas AIC.

Pada 1 Apr, satu kelompok dikenal pasti di cawangan Thomson Lane rumah tumpangan itu. Tiga penghuni daripada cawangan berkenaan meninggal dunia setelah dijangkiti COVID-19.

Pada 8 Mei, kelompok di Thomsone Lane diisytiharkan bebas COVID-19 setelah tiada kes baru yang terkait dengannya buat tempoh 28 hari.

UJIAN BAGI SEMUA PENDUDUK, PEKERJA DI RUMAH TUMPANGAN

Awal tahun ini, Pemerintah mengumumkan ia akan menjalankan ujian ke atas semua penghuni dan pekerja di rumah tumpangan serta kemudahan seumpama itu yang menyediakan khidmat kepada golongan warga tua.

Langkah tambahan itu meliputi rumah tumpangan, rumah kebajikan, rumah perlindungan dan rumah jagaan dewasa kurang upaya.

Ini kerana warga tua berisiko lebih tinggi mengalami komplikasi kesihatan serius jika mereka dijangkiti COVID-19, menurut MOH serta Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Ujian dilanjutkan setelah tempoh pemutus rantaian jangkitan kepada lebih ramai anggota kakitangan dalam sektor jagaan warga tua termasuk mereka yang bertugas dalam khidmat jagaan bukan penghuni seperti di pusat jagaan warga tua dan pusat dialisis.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan