Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kesemua 71 masjid merata S'pura ikrar sokongan kepada Dadah Itu Haram

Sepanduk dan kain rentang dengan mesej antidadah akan dipasang di kesemua 71 masjid merata Singapura. Inisiatif tersebut adalah antara usaha masjid-masjid di Singapura untuk mengikrarkan sokongan kepada kempen Dadah Itu Haram (DIH) kelolaan Biro Narkotik Pusat (CNB).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sepanduk dan kain rentang dengan mesej antidadah akan dipasang di kesemua 71 masjid merata Singapura.

Inisiatif tersebut adalah antara usaha masjid-masjid di Singapura untuk mengikrarkan sokongan kepada kempen Dadah Itu Haram (DIH) kelolaan Biro Narkotik Pusat (CNB).

Inisiatif itu, yang dilancarkan pada tahun 2017, hanya disokong oleh 15 masjid saja pada tahun lalu, tetapi sokongan pada tahun ini pula sudah meningkat untuk melibatkan kesemua 71 masjid di merata negara.

Turut menyokong daya usaha itu ialah Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam yang turut melancarkan sepanduk DIH di Masjid Al-Ansar melalui satu acara khas yang diadakan pagi tadi.

Acara tersebut turut dihadiri Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Acara memasang sepanduk dengan mesej antidadah itu juga diadakan bersempena sambutan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan Dadah dan Pemerdagangan Haram pada Sabtu (26 Jun).

Tahun ini, kempen DIH antaranya akan memberi tumpuan kepada larangan dalam Islam terhadap penggunaan dadah.

Sejajar dengan fokus tersebut, semua masjid akan memasang sepanduk kempen DIH di premis masing-masing bagi menyebarkan mesej-mesej mencegah penggunaan dadah.

Langkah ini diharap akan menyerlahkan lagi sokongan masjid-masjid tempatan dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam usaha pemulihan dan pembanterasan dadah.

Encik Shanmugam menegaskan bahawa institusi-institusi agama di Singapura turut memainkan peranan yang penting dari aspek ajaran agama untuk sama-sama membantu para pesalah dadah pulang ke pangkal jalan.

Pertubuhan agama-agama lain turut dilibatkan dalam usaha tersebut.

Menurut Encik Shanmugam: "Saya rasa sokongan agama sangat membantu. Sama ada gereja atau masjid, kita mencuba dan memberi mereka kehidupan baru. Kami belum menjalankan kempen di kuil-kuil. Tetapi, kuil, gereja, masjid telah memainkan peranan mereka dengan cara yang berbeza."

KHUTBAH SENTUH TENTANG DADAH ITU HARAM

Kempen DIH juga menerima sokongan daripada Pejabat Mufti tahun ini menerusi pelbagai kaedah.

Antaranya, khutbah solat Jumaat hari ini menegaskan betapa pentingnya sokongan masyarakat dalam membantu pesalah dadah dan keluarga mereka.

Selain itu, masyarakat juga perlu memainkan peranan berterusan dalam membanteras penyalahgunaan dadah.

MESEJ DADAH ITU HARAM AKAN TERUS DISEBAR

Selain masjid-masjid di Singapura, kempen DIH juga akan bekerjasama dengan beberapa lagi pihak untuk menyebarkan mesej antidadah.

CNB akan bekerjasama dengan Persekutuan Sepak Takraw Singapura (PERSES) bagi kejohanan Liga Sepak Takraw pada bulan depan.

Para pemain daripada lebih 30 pasukan akan menyarung jersi dengan mesej antidadah sebagai lambang sokongan mereka terhadap gaya hidup yang bebas dadah.

Selain itu, kempen DIH juga akan berganding bahu dengan Gerakan Relawan Belia semasa Hari Raya Haji tahun ini.

Mereka akan mengagihkan makanan dan keperluan dapur kepada keluarga-keluarga memerlukan di kawasan perumahan Marsiling.

Menurut CNB, keluarga-keluarga berpendapatan rendah adalah antara golongan yang berisiko tinggi terjerat dengan penyalahgunaan dadah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan