Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kesemua 10 pesalah kes pengubahan wang haram berbilion dolar sudah dijatuhi hukuman. Apa tindakan seterusnya?

Anggaran Waktu Membaca:
Kesemua 10 pesalah kes pengubahan wang haram berbilion dolar sudah dijatuhi hukuman. Apa tindakan seterusnya?

10 pesalah yang disabitkan dalam kes pengubahan wang haram berbilion dolar: (atas, dari kiri) Wang Baosen, Zhang Ruijin, Su Haijin, Wang Dehai, Lin Baoying; (bawah, dari kiri) Su Jianfeng, Vang Shuiming, Chen Qingyuan, Su Wenqiang dan Su Baolin. (Ilustrasi: CNA/Rafa Estrada)

SINGAPURA: Pada pertengahan Ogos 2023, sembilan lelaki dan seorang wanita didakwa di Mahkamah Negara atas pelbagai jenayah kewangan: Memiliki hasil daripada kegiatan jenayah, memalsukan kenyataan bank dan pengubahan wang haram.

Selang beberapa jam kemudian, tajuk berita itu mencuri perhatian ramai: 10 suspek itu ditangkap hasil perancangan yang mengambil masa duatahun. Semuanya asal China dengan sejarah terlibat dalam kegiatan jenayah, senyap-senyap datang ke Singapura dan menguruskan hasil keuntungan daripada kegiatan jenayah mereka menggunakan sistem kewangan negara ini yang bereputasi baik, demi dianggap sebagai mematuhi undang-undang.

Berjuta-juta dolar diperoleh selama bertahun-tahun lamanya daripada rangkaian perjudian haram - dengan beberapa pangkalan di Asia Tenggara dan menyasarkan penjudi di China - ditukarkan dengan membeli beberapa buah kereta mewah, jam tangan, hartanah di kawasan kejiranan paling mewah di Singapura, barang kemas, barangan berjenama, mata wang kripto serta wang tunai.

Pada Isnin (10 Jun), individu terakhir daripada 10 pesalah itu dihukum penjara.
Namun, kes itu belum berakhir dengan beberapa lagi masih disiasat termasuk 17 suspek yang melarikan diri, isteri atau rakan kongsi 10 suspek itu dan pihak lain seperti pekerja bank atau ejen hartanah yang gagal melaporkan urus niaga yang mencurigakan.

SIAPA 10 PESALAH ITU, DAN APA YANG MEREKA LAKUKAN?

Su Wenqiang
Rakyat Kemboja
Mengaku bersalah: 2 tuduhan pengubahan wang haram
Hukuman: Penjara 13 bulan
Maklumat tambahan: Pertama untuk mengaku bersalah, 100 peratus aset disita (kira-kira S$6 juta)

Su Haijin
Warga Cyprus
Mengaku bersalah: 1 tuduhan elak ditangkap, 2 tuduhan pengubahan wang haram
Hukuman: Penjara 14 bulan
Maklumat tambahan: Bekas pengarah No Signboard Holdings, dimasukkan ke hospital kerana patah tulang selepas terjun dari balkoni. 95 peratus aset disita (lebih daripada S$165 juta)

Wang Baosen
Warga China
Mengaku bersalah: 2 tuduhan pengubahan wang haram
Hukuman: Penjara 13 bulan
Maklumat tambahan: 100 peratus aset disita (kira-kira S$8 juta)

Su Baolin
Rakyat Kemboja
Mengaku bersalah: 2 tuduhan pengubahan wang haram, 1 tuduhan bersubahat buat representasi palsu
Hukuman: Penjara 14 bulan
Maklumat tambahan: 90 peratus aset disita (kira-kira S$65 juta)

Zhang Ruijin
Warga China
Mengaku bersalah: 2 tuduhan pemalsuan, 1 tuduhan pengubahan wang haram
Hukuman: Penjara 15 bulan
Maklumat tambahan: Pasangan Lin Baoying. 90 peratus aset disita (kira-kira S$118 juta)

Vang Shuiming
Warga Turki
Mengaku bersalah: 1 tuduhan pemalsuan, 2 tuduhan pengubahan wang haram
Hukuman: Penjara 13 bulan dan 6 minggu
Maklumat tambahan: Paling banyak pertuduhan dan aset yang dirampas, memfaikan paling banyak permohonan untuk mendapatkan ikat jamin. 90 peratus aset disita (kira-kira S$179 juta)

Chen Qingyuan
Rakyat Kemboja
Mengaku bersalah: 1 tuduhan pemalsuan, 2 tuduhan pengubahan wang haram
Hukuman: Penjara 15 bulan
Maklumat tambahan: 91 peratus aset disita (kira-kira S$21.3 juta)

Lin Baoying
Rakyat Cina
Mengaku bersalah: 2 tuduhan pemalsuan, 1 tuduhan pengubahan wang haram
Dijatuhi hukuman: Penjara 15 bulan
Maklumat tambahan: Satu-satunya wanita; 90 peratus aset disita (kira-kira S$154 juta)

Wang Dehai
Rakyat Cyprus
Mengaku bersalah: 1 tuduhan pengubahan wang haram
Hukuman: Penjara 16 bulan
Maklumat tambahan: Antara yang paling lama bekerja bagi sindiket perjudian itu. Kira-kira 90 peratus aset disita (kira-kira S$49.2 juta)

Su Jianfeng
Rakyat Vanuatu
Mengaku bersalah ke: 1 tuduhan pemalsuan, 1 tuduhan pengubahan wang haram
Hukuman: Penjara 17 bulan
Maklumat tambahan: Kira-kira 95 peratus aset disita (kira-kira S$179 juta)

LANGKAH SETERUSNYA BAGI 10 PESALAH DAN KELUARGA MEREKA?

Kesemua mereka ditahan reman selepas didakwa pada Ogos 2023. Mereka tidak dibenarkan ikat jamin meskipun terdapat percubaan berulang kali oleh sebilangan mereka - terutamanya Vang, yang pergi ke Mahkamah Tinggi dalam usahanya - untuk dibebaskan buat sementara waktu.

Separuh daripada mereka sudah diusir ke negara asal setelah selesai menjalani tempoh penjara hukuman dikurangkan satu pertiga bagi kelakuan baik.

Su Baolin, Su Haijin, Su Wenqiang dan Wang Baosen dihantar pulang ke Kemboja, manakala Van Shuiming ke Jepun. Mereka juga dilarang kembali ke Singapura.

APA YANG AKAN TERJADI PADA SEMUA ASET YANG DIRAMPAS?

Polis menyatakan aset bukan tunai akan dijual melalui saluran seperti lelongan. Hasinyal, berserta wang tunai yang disita, akan disalurkan ke dalam dana gabungan Singapura - sama seperti akaun bank yang dipegang pemerintah.

Aset lain yang dirampas bernilai S$2 bilion datangnya daripada 17 suspek yang masih diburu dan berada di luar bidang kuasa Singapura.

Bagi aset yang disita itu, ia diletakkan di bawah jagaan polis sehingga ditangani mahkamah Singapura pada akhir setiap kes.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan