Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keselamatan, tambang mahal, beg berat antara sebab ibu bapa mahu hantar sendiri anak ke sekolah

Anggaran Waktu Membaca:
Keselamatan, tambang mahal, beg berat antara sebab ibu bapa mahu hantar sendiri anak ke sekolah

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

SINGAPURA: Keprihatinan tentang keselamatan, tambang tinggi bas sekolah selain beg sekolah berat adalah antara sebab mengapa ibu bapa di Singapura memilih untuk menempuh kesesakan lalu lintas serta menghantar anak-anak ke sekolah dan bukannya membiarkan mereka menaiki bas sekolah, pengangkutan awam mahupun berjalan kaki ke sana.

Ibu bapa yang ditemui Mediacorp pada Ahad (16 Jan) menambah, menghantar anak-anak ke sekolah juga memberikan mereka lebih banyak waktu untuk melelapkan mata selain memperuntukkan masa berharga bagi mempererat hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak.

Selain penganiayaan yang dihadapi oleh pengawal keselamatan, keadaan di mana kereta beratur panjang dan kesesakan lalu lintas di luar pagar banyak sekolah kini menjadi tumpuan. Ia berikutan satu rakaman video yang menunjukkan sebuah kereta Bentley bergerak ke hadapan dan melanggar seorang pengawal keselamatan di luar Sekolah Red Swastika di Bedok North pada Selasa lalu (11 Jan). Seorang pemandu lelaki berumur 61 tahun diberkas pada hari yang sama.

Menyusuli insiden itu, amalan ibu bapa memandu anak-anak mereka ke sekolah dikritik oleh sesetengah pihak sebagai memanjakan anak-anak dan tidak membantu mereka untuk menjadi berdikari.

PRIHATIN TENTANG KESELAMATAN

Seorang ibu yang ditemu bual Mediacorp, Cik Iris Sim-Glasscoe, berkata beliau "tidak percaya dengan para pemandu pada pagi hari" dan bimbang akan keselamatan anak-anaknya apabila mereka menyeberangi jalan raya atau menaiki pengangkutan awam.

Cik Loh Lilin, seorang suri rumah berusia 40 tahun, juga mengatakan keprihatinan tentang keselamatan adalah sebab mengapa beliau memilih untuk memandu anak-anaknya, berumur enam dan lapan tahun, ke sekolah mereka.

“Saya tiada keyakinan terhadap pemandu bas kita. Mereka cenderung terlibat dalam kemalangan dengan agak kerap," ujarnya.

Cik Loh juga berkata beliau mahu mengurangkan interaksi anak-anaknya dengan orang lain dan memastikan mereka selamat seberapa boleh tatkala pandemik COVID-19.

BEG SEKOLAH BERAT

Sesetengah ibu bapa juga mengatakan beg sekolah yang berat menjadi sebab mereka memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Salah seorang daripadanya, Encik Raveen Thedj, berkata dia lebih suka memandu anak lelakinya berusia lapan tahun ke sekolah pada setiap pagi daripada menyuruh anaknya berjalan kaki selama 20 minit ke Sekolah Rendah Compassvale.

“Jumlah buku yang perlu dibawa seseorang budak sekolah rendah tidak masuk akal. Anak saya membawa terlalu banyak (buku) dan inilah antara sebab mengapa saya tidak mahu dia berjalan 1.5 kilometer sendirian pada usia semuda itu," kata bapa berumur 48 tahun tersebut, seorang pengarah penjualan dan pemasaran di syarikat yang menyediakan khidmat menghapuskan pencemaran.

TAMBANG BAS SEKOLAH 'TERLALU TINGGI'

Seorang lagi bapa, Encik Maran Gopala Krishann, berkata tambang bas sekolah untuk dua anaknya di sekolah rendah juga "sangat tinggi" walaupun mereka tinggal dalam julat antara 1 kilometer dengan 1.5 kilometer dari sekolah mereka.

Lantaran itu, beliau memilih untuk memandu anak-anaknya ke sekolah mereka pada pagi hari, kata Encik Maran, 50 tahun, seorang pengarah pemasaran dan perhubungan di sebuah syarikat makanan dan minuman (F&B).

Beliau menghantar anak lelakinya yang berumur lapan tahun terlebih dahulu di Sekolah Anglo-Chinese (Barker Road) sebelum menurunkan anak perempuan berusia 10 tahun di luar sekolahnya di Sekolah Perempuan China Singapura.

Beliau menganggarkan kos perjalanan dua hala menaiki bas sekolah bagi setiap anak antara S$120 hingga S$160 sebulan. Tambang bas juga perlu dibayar bagi bulan-bulan cuti sekolah pada Jun, November dan Disember, tambahnya.

Sementara itu, bagi Encik Sandeep Menon, beliau tidak keberatan untuk membayar S$300 atau lebih setiap bulan untuk tambang sekiranya bas sekolah itu mengambil laluan lebih cepat dan mudah dari rumahnya ke sekolah anak perempuan, tujuh tahun, di Sekolah Rendah St Hilda's.

Encik Menon berkata laluan bas sedia ada dari rumahnya di Upper East Coast Road ke sekolah anak perempuannya di Tampines mengambil masa hampir satu jam kerana ia membuat perjalanan melalui Bedok South dan Simei dahulu.

Bukan sahaja ia lebih murah dan pantas untuk menghantar sendiri anak perempuannya ke sekolah dalam tempoh 15 minit, anaknya bahkan dapat tidur sekurang-kurangnya lagi setengah jam, kata peguam berusia 37 tahun itu.

Satu pengendali bas yang ditemu bual Mediaocrp menyatakan harga perkhidmatan bas "bergantung kepada permintaan dan bekalan".

Encik Chan Guan Liang, pengarah urusan pengendali bas sekolah Guillemard Bus Service, berkata tambang bagi bas yang membawa lebih 40 kanak-kanak adalah lebih murah dan boleh berharga sekitar S$100 untuk setiap budak.

Sebaliknya, tambang boleh mencecah sehingga kira-kira S$300 untuk setiap budak sekiranya hanya sehingga 10 kanak-kanak dibawa menaiki sebuah bas kecil.

Beliau menambah walaupun terdapat kenaikan pada kos operasi dek harga bahan api yang meningkat, beliau tidak meningkatkan tambang bas sepanjang dua tahun lalu. Menurut beliau, tambang bas hanya dinaikkan antara lima dengan 10 peratus tahun itu bagi laluan perjalanan tertentu dengan kurang kanak-kanak menaiki bas tersebut.

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan