Keselamatan online tanggungjawab bersama, tingkat kemahiran dengan pengetahuan AI demi pekerjaan: Rahayu
Dengan teknologi yang semakin berkembang pesat, bahaya dalam talian menjadi isu yang semakin membimbangkan masyarakat, terutamanya golongan muda yang semakin terdedah kepada pelbagai ancaman siber.
Lantaran itu, pemerintah berusaha untuk terus melindungi rakyat Singapura daripada ancaman tersebut sambil memastikan mereka terus dapat memanfaatkan kemajuan teknologi secara positif.
Demikian ditekankan Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), Rahayu Mahzam dalam satu wawancara bersama wartawan Syawal Yusoff.
"Ini adalah satu fenomena yang membimbangkan kami kerana kami lihat melalui tinjauan yang dilakukan, kami dapati tiga dalam empat orang telah pun berdepan dengan bahaya dalam talian. Ini ada pelbagai bentuk kita lihat termasuk pembulian siber ataupun mungkin kandungan berbentuk seksual dan sesuatu yang berbaur perkauman," kata Cik Rahayu.
PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL YANG BERTANGGUNGJAWAB
Dalam menghadapi kebimbangan mengenai penggunaan media sosial yang tidak bertanggungjawab, beliau menekankan pentingnya penggunaan platform dalam talian secara bijak dan bertanggungjawab, terutamanya dalam kalangan anak-anak muda.
Cik Rahayu mengakui bahawa isu-isu yang timbul akibat penyalahgunaan media sosial boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental, namun beliau mengajak masyarakat untuk memanfaatkan media sosial dengan cara yang positif.
"Sebenarnya platform-platform media sosial ataupun bahan-bahan dalam talian tidak semestinya semuanya buruk. Sebenarnya kami juga mahu pastikan yang masyarakat kita terdedah dan juga bijak dalam menggunakan sumber-sumber yang sedia ada dalam talian. Jadi, kita tidak mahu kerana adanya bahaya online, niat mereka menjadi terbantut untuk mendalami dan mendapat informasi."
Beliau juga menegaskan bahawa penting untuk merangka strategi yang boleh memastikan keselamatan dalam talian, sambil membolehkan individu meraih manfaat daripada penggunaan internet.
"Jadi kita perlu fikirkan cara atau strategi untuk memastikan adanya kemampuan untuk memelihara diri daripada bahaya. Tapi dalam masa yang sama juga dapat meraih keuntungan dan kebaikan daripada penggunaan talian. Kami juga mahukan warga Singapura menjadi lebih yakin dan berasa selamat dalam menggunakan atau melakukan aktiviti dalam talian," jelasnya.
LANGKAH-LANGKAH PERLINDUNGAN BAHARU UNTUK MANGSA BAHAYA ONLINE
Sebagai langkah susulan untuk memberikan perlindungan yang lebih baik, Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian akan ditubuhkan menjelang separuh pertama tahun hadapan.
Suruhanjaya itu bertujuan memberikan perlindungan segera kepada mangsa bahaya online dengan menyediakan saluran bantuan yang lebih mudah diakses.
Cik Rahayu menjelaskan bahawa salah satu langkah utama adalah memperkenalkan perundangan baru yang membolehkan agensi berkaitan memberikan bantuan dengan lebih cepat.
"Pertama, kami memperkenalkan satu perundangan baru untuk membolehkan satu agensi memberikan bantuan dalam waktu masa yang terdekat kepada mangsa-mangsa ini. Kedua, untuk memastikan adanya kemampuan kepada mangsa untuk membuat tuntutan kepada mereka yang telah melakukan kesalahan. Ketiga sekiranya mereka perlu untuk mendapatkan identiti mereka yang telah melakukan kesalahan itu.
Perundangan itu bertujuan untuk memberikan mangsa bahaya dalam talian akses bantuan yang lebih cepat dan mudah, serta menyokong mereka untuk membuat tuntutan tanpa harus melalui proses mahkamah yang panjang dan mahal.
"Perundangan ini khususnya adalah untuk memberikan kemampuan bagi mangsa untuk mendapatkan bantuan dengan cepat dan memberi sokongan kepada mereka untuk membuat tuntutan. Kalau tidak mungkin mereka harus melalui proses mahkamah yang panjang dan makan wang yang lebih. Jadi dengan cara ini dengan menubuhkan satu infrastruktur ini, ini mempermudahkan proses untuk mereka mendapatkan bantuan khusus apabila mereka terjejas dengan bahaya dalam talian," ujarnya.
Beliau menambah bahawa pemerintah akan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menyediakan sokongan yang diperlukan masyarakat.
"Pemerintah akan memastikan kami akan melakukan koordinasi dengan pelbagai sokongan dan sumber-sumber bantuan yang akan diberikan kepada masyarakat," kata Cik Rahayu.
Selain itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa agar lebih peka terhadap penggunaan media sosial anak-anak mereka dan memberi panduan yang tepat dalam menghadap dunia digital.
Pemerintah, katanya, akan bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan untuk menyediakan alat dan sumber untuk mendidik masyarakat, terutamanya golongan muda.
TINGKATKAN KEMAHIRAN UNTUK BERDAYA SAING DENGAN AI
Dalam perkembangan lain, Cik Rahayu menekankan kepentingan menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memastikan pekerja tetap relevan dalam dunia pekerjaan yang semakin dipengaruhi teknologi.
Beliau menjelaskan bahawa walaupun ada kebimbangan mengenai kehilangan pekerjaan akibat AI, pekerja yang menguasai AI akan lebih berdaya saing.
"Banyak yang disebut tentang bagaimana pekerja mungkin rasa bimbang yang pekerjaan mereka akan digantikan dengan AI. Sebenarnya pekerjaan mereka tidak akan digantikan dengan AI, tetapi akan digantikan dengan pekerja lain yang mampu menguasai AI. Jadi itu adalah satu pemikiran yang kami harap para pekerja dapat terima dan dapat faham kerana nak tak nak mereka harus cuba meningkatkan kemahiran mereka dalam aspek ini," ujarnya.
Justeru, beliau memberi jaminan akan sokongan pemerintah untuk membantu rakyat mengharungi era digital itu.
Misalnya, program SkillsFuture untuk Tempat Kerja Digital yang menyediakan latihan asas untuk warga Singapura dalam kecekapan digital akan diperluaskan untuk menyertakan kandungan AI dalam kurikulum.
"'SkillsFuture Digital Workplace 2.0' di mana mereka akan diberi sokongan, kandungan yang kami ada untuk kursus-kursus dan latihan dalam aspek ini akan diperkasakan dengan informasi tentang AI generatif. Jadi diharapkan ini adalah sesuatu yang dapat digunakan oleh masyarakat kami untuk meningkatkan kemampuan dan kemahiran mereka dalam menangani satu fenomena baru inilah," katanya.
Cik Rahayu turut menyoroti usaha pemerintah untuk memastikan golongan kurang upaya dan warga emas tidak ketinggalan dalam menghadapi gelombang transformasi digital.
Salah satu inisiatif tersebut adalah Standard Khidmat Digital, yang memastikan perkhidmatan dalam talian mesra pengguna dan boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat.
"Kami juga ada satu rangka latihan iaitu rangka kerja Kemahiran Digital Sepanjang Hayat (DSL) yang juga akan dikemaskini untuk memasukkan informasi tentang AI generatif. Ini adalah satu rangka kerja yang diharapkan dapat juga meningkatkan kemahiran pemahaman warga Singapura untuk menggunakan perkhidmatan digital dalam talian," katanya.
Cik Rahayu berharap usaha-usaha yang sudah dilakarkan pemerintah dapat mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan bertanggungjawab, serta membantu masyarakat memanfaatkan kemajuan teknologi demi kesejahteraan bersama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.