Keselamatan jalan raya, masalah dadah antara tumpuan Sim Ann sebagai Menteri Kedua MFA, MHA
Mempertingkat keselamatan jalan raya, menangani isu ketagihan dadah dan memperkukuh hubungan Singapura dengan negara-negara jiran serantau merupakan antara keutamaan Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri Sim Ann bagi tahun-tahun mendatang.
Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri Sim Ann semasa wawancara bersama CNA. (Gambar: CNA)
Cik Sim, yang dilantik ke jawatan tersebut pada Julai, turut berkata rakyat Singapura perlu berwaspada terhadap percubaan pihak luar untuk mempengaruhi mereka dan menjadikan perbezaan dalam masyarakat sebagai perpecahan.
"Dengan ketidaktentuan geopolitik, satu trend yang saya fikir rakyat Singapura perlu benar-benar sedar ialah kita melihat pihak luar di seluruh dunia cuba mempengaruhi, dan Singapura tidak terkecuali daripada perkara itu," katanya kepada CNA.
Menurut Cik Sim, identiti berbilang budaya dan kaum serta keharmonian agama merupakan kekuatan yang perlu diyakini rakyat Singapura, khususnya dalam menghadapi percubaan sedemikian.
KESELAMATAN JALAN RAYA, PEMULIHAN DADAH JADI KEUTAMAAN
Bagi portfolio Ehwal Dalam Negeri, Cik Sim mengenal pasti keselamatan jalan raya sebagai antara keutamaannya.
Parlimen pada Ogos meluluskan pindaan kepada Akta Lalu Lintas Jalan Raya, termasuk hukuman lebih berat bagi kesalahan jalan raya serius, had alkohol lebih rendah bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dan kesalahan baharu memandu di bawah pengaruh dadah.
Namun, Cik Sim berkata undang-undang dan peraturan perlu disertai perubahan sikap.
"Kami berhasrat melancarkan kempen pendidikan awam yang lebih intensif dan menyasarkan semua pengguna jalan raya. Ini kerana undang-undang dan peraturan sahaja tidak mencukupi, pemikiran juga perlu berubah," katanya.
Beliau turut akan memberi tumpuan kepada masalah ketagihan dadah, pemenjaraan dan pemulihan, serta inisiatif Reben Kuning yang membantu bekas pesalah berintegrasi semula ke dalam masyarakat.
Dalam portfolio Ehwal Luar pula, Cik Sim berkata beliau akan terus menyokong usaha memperkukuh hubungan Singapura dengan Asia Timur Laut, termasuk China, serta Asia Tenggara.
Usaha itu dilaksanakan sedang Singapura membuat persiapan untuk mengambil alih Pengerusi ASEAN pada 2027, yang juga bertepatan dengan ulang tahun ke-60 pertubuhan serantau itu.
WASPADA TERHADAP PENGARUH LUAR
Mengenai risiko pengaruh luar, Cik Sim berkata penting bagi rakyat menyedari percubaan sedemikian, memahami kepentingan negara dan yakin dengan ciri-ciri unik Singapura.
"Apa yang unik tentang kita ialah identiti berbilang budaya, identiti berbilang kaum, keharmonian agama, dan kekuatan itu dibina atas kepelbagaian," katanya.
Namun, beliau memberi amaran bahawa pihak luar boleh cuba menjadikan perbezaan tersebut sebagai perpecahan.
Cik Sim berkata rakyat Singapura juga perlu yakin dengan budaya Cina, Melayu dan India yang tersendiri di negara ini serta memahami bagaimana budaya tersebut berkembang.
"Jika kita benar-benar memahami bagaimana kita berkembang dan yakin untuk mengatakan inilah diri kita, saya fikir kita kurang berkemungkinan dipengaruhi pihak lain yang mungkin cuba mempersoalkan kesahihan atau keaslian identiti kita," katanya.
Menurut Cik Sim, pembinaan "kecekapan budaya" penting dan rakyat Singapura juga perlu memahami pendirian dasar luar negara.
Ini dapat membantu mereka mengenal pasti mesej atau naratif yang tidak selaras dengan kepentingan negara atau cara Singapura secara tradisinya melaksanakan dasar luarnya.
Beliau berkata di sinilah tugas Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) saling berkait.
"Pada akhirnya, kesepaduan dalam negeri membantu kita memelihara keharmonian masyarakat dan pada masa yang sama membolehkan kita mengharungi dunia dengan yakin," katanya.
KEMBALI KE HOME TEAM
Pelantikan Cik Sim di MHA turut menandakan kepulangannya ke tempat yang pernah menjadi sebahagian daripada kerjayanya sebagai penjawat awam.
Beliau pernah bertugas di MHA dari 2000 hingga 2003 dan terlibat dalam usaha mengembangkan konsep Home Team, yang diperkenalkan pada 1997 untuk menyatukan pelbagai agensi kementerian itu di bawah satu misi bersama.
Cik Sim berkata antara usaha ketika itu adalah menggalakkan para pegawai daripada jabatan berbeza bekerjasama menerusi bengkel tahunan dan projek bersama.
Kembali ke MHA lebih dua dekad kemudian, beliau berkata amat memuaskan untuk melihat identiti sebagai sebahagian daripada Home Team kini sudah menjadi sesuatu yang semula jadi dalam kalangan pegawai.
Sebahagian pegawai muda yang terbabit dalam usaha awal itu juga kini menerajui jabatan dan badan berkanun Home Team.
'KEPERCAYAAN PERLU DIRAIH SETIAP HARI'
Cik Sim menyertai politik pada 2011 dan menjadi Anggota Parlimen GRC Holland-Bukit Timah sejak tahun tersebut.
Mengimbas pengalaman yang membentuk pendekatannya terhadap kepimpinan, beliau menceritakan pertemuannya dengan seorang penduduk pada awal kerjaya politiknya.
Pertemuan itu berkaitan rancangan membina sebuah blok apartmen studio untuk warga emas di kawasan lapang di sebuah estet matang.
Sebahagian penduduk membantah pembangunan itu kerana ia akan menghalang pemandangan dan menggantikan kawasan yang biasa digunakan untuk kegiatan riadah.
Menurut Cik Sim, pengalaman tersebut mengajarnya bahawa kepimpinan dan kepercayaan perlu dibina dari semasa ke semasa.
"Ia menunjukkan kepada saya bahawa kepimpinan perlu diraih dan kepercayaan perlu dibina. Jadi kepercayaan dan kepimpinan merupakan sesuatu yang mengambil masa, dan anda perlu meraihnya setiap hari," katanya.
Pengalaman itu mendorongnya mula membentangkan laporan tahunan kepada penduduk, satu amalan yang diteruskannya selama lebih sedekad.
UBAH TANGGAPAN TERHADAP PEMIMPIN WANITA
Cik Sim, yang turut mempengerusikan Sayap Wanita Parti Tindakan Rakyat (PAP), berkata wanita di Singapura sudah mencapai kemajuan ketara sejak beberapa dekad lalu.
Menurutnya, banyak isu besar seperti akses kepada pendidikan sudah ditangani, tetapi cabaran yang lebih sukar masih wujud, khususnya pemikiran mengenai peranan jantina dan kepimpinan.
Beliau berharap masyarakat akan memberi lebih perhatian kepada pencapaian pemimpin wanita berbanding penampilan atau cara mereka berpakaian.
"Saya benar-benar mahu melihat Singapura di mana wanita muda dapat memenuhi potensi mereka sepenuhnya," katanya.
Pada masa sama, Cik Sim berkata kemajuan wanita tidak seharusnya dicapai dengan mengorbankan kaum lelaki dan usaha memperjuangkan isu wanita perlu bersifat inklusif.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.