Skip to main content

Singapura

Keselamatan diperketat, aturan baru laluan trafik sempena Dialog Shangri-La

Orang ramai boleh menjangkakan kawalan keselamatan yang lebih ketat dan aturan lalu lintas baru sepanjang hujung minggu ini di sekitar Hotel Shangri-La, di mana sebuah forum pertahanan akan diadakan mulai Jumaat (31 Mei) hingga Ahad. Demikian menurut kenyataan polis.

Anggaran Waktu Membaca:
Keselamatan diperketat, aturan baru laluan trafik sempena Dialog Shangri-La

Gurkha membuat rondaan di Dialog Shangri-La IISS di Singapura pada 1 Jun 2018. (Gambar fail: Edgar Su/REUTERS)

Diterbitkan : 30 May 2019 04:00PM Dikemas Kini : 30 May 2019 04:02PM

SINGAPURA: Orang ramai boleh menjangkakan kawalan keselamatan yang lebih ketat dan aturan lalu lintas baru sepanjang hujung minggu ini di sekitar Hotel Shangri-La, di mana sebuah forum pertahanan akan diadakan mulai Jumaat (31 Mei) hingga Ahad. Demikian menurut kenyataan polis.

Para menteri pertahanan dan panglima tentera dari negara-negara Asia Pasifik, termasuk Menteri Pertahanan China Wei Fenghe, akan berhimpun di Dialog Shangri-La ke-18 untuk membincangkan tentang cabaran-cabaran keselamatan di rantau ini.

Sepanjang tempoh tersebut, menurut polis, hadangan jalan raya dan pemeriksaan keselamatan lebih ketat akan dilaksanakan di hotel tersebut serta kawasan sekelilingnya. Orang ramai dinasihati supaya mematuhi arahan di tempat pemeriksaan.

Polis menambah kegiatan-kegiatan udara seperti bermain layang-layang, menaikkan belon udara panas bertambat (captive balloons) atau menerbangkan dron di kawasan tersebut serta daerah sekitarnya juga tidak digalakkan.

ATURAN LALU LINTAS

Menurut polis, para pemandu dinasihatkan supaya mengelak daripada memandu di jalan-jalan raya berdekatan Hotel Shangri-La, terutama sekali di Anderson Road dan Orange Grove Road, kerana keadaan lalu lintas dijangka bergerak dengan lebih perlahan.

Dari jam 11.00 malam pada Khamis hingga 5.00 petang pada Ahad, arah laluan trafik akan diubah sepanjang Ardmore Park, menghala ke arah Draycott Drive - antara Anderson Road dengan tiang lampu keenam berhampiran kondominium Ardmore II. Semasa tempoh berkenaan, semua kenderaan tidak dibenarkan untuk membelok ke Ardmore Park dari Anderson Road dan sebaliknya menggunakan laluan Draycott Park atau Draycott Drive.

Polis menyatakan kenderaan komersil yang memasuki Hotel Shangri-La juga dinasihatkan supaya membelok ke Ardmore Park melalui Draycott Drive atau Draycott Park.

Polis juga menggesa para pengunjung hotel supaya berkongsi kereta atau menggunakan pengangkutan awam kerana kemudahan meletak kenderaan di tempat itu akan dihadkan.

Sekatan meletak kenderaan akan dikuatkuasakan dengan ketat dan kenderaan yang didapati diletakkan secara sembarangan atau menyebabkan halangan akan ditunda. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita