Skip to main content

Singapura

Keseimbangan jumlah GRC dan SMC dapat pastikan perwakilan berkesan Anggota Parlimen

Mempunyai Anggota Parlimen (AP) yang berkhidmat kepada jumlah pengundi "yang lebih kurang sama" dengan Pilihan Raya Umum sebelum ini, akan membolehkan mereka yang dilantik untuk "terus berkhidmat dan mewakili penduduk mereka dengan berkesan", kata Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing pada Jumaat (28 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Keseimbangan jumlah GRC dan SMC dapat pastikan perwakilan berkesan Anggota Parlimen

Sebuah pusat mengundi di Singapura. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Mempunyai Anggota Parlimen (AP) yang berkhidmat kepada jumlah pengundi "yang lebih kurang sama" dengan Pilihan Raya Umum sebelum ini, akan membolehkan mereka yang dilantik untuk "terus berkhidmat dan mewakili penduduk mereka dengan berkesan", kata Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing pada Jumaat (28 Feb).

Encik Chan berkata demikian dalam jawapannya kepada soalan yang diajukan oleh Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Hazel Poa tentang syarat rujukan yang diberikan kepada Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC) yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong pada Januari lalu.

EBRC perlu berusaha mengekalkan purata saiz Kawasan Undi Berkumpulan (GRC), perkadaran Anggota Parlimen yang dilantik dari Kawasan Undi Perseorangan (SMC) dan nisbah purata pengundi bagi setiap Anggota Parlimen dilantik "semuanya hampir sama dengan Pilihan Raya Umum sebelumnya", menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) sebelum ini.

Pada 2020, purata jumlah Anggota Parlimen bagi setiap GRC adalah 4.65, manakala SMC menyumbang kepada 15 peratus daripada keseluruhan jumlah Anggota Parlimen.

Sambil menarik perhatian bahawa ia adalah "penting" untuk memahami sebab di sebalik syarat rujukan yang disediakan oleh perdana menteri, Cik Poa bertanya mengapa jawatankuasa itu tidak diarahkan untuk mengurangkan purata saiz GRC secara lebih lanjut atau menambah jumlah SMC, tidak seperti tiga pilihan raya umum sebelum ini.

Berucap semasa perbahasan parlimen mengenai belanjawan di Pejabat Perdana Menteri, Encik Chan berkata "terdapat had dalam meminta EBRC untuk terus mengurangkan purata saiz GRC", dengan hadnya di mana semua divisyen pilihan raya adalah SMC.

"Syarat rujukan sedia ada memberikan sedikit kestabilan terhadap landskap pilihan raya kami dengan memastikan terdapat keseimbangan dalam perkadaran GRC dan SMC," kata Encik Chan yang juga menteri pendidikan.

"Mempunyai Anggota Parlimen (AP) yang berkhidmat kepada bilangan pengundi yang lebih kurang sama dengan Pilihan Raya Umum sebelum ini akan membolehkan mereka yang dilantik untuk terus berkhidmat dan mewakili penduduk mereka dengan berkesan."

Cik Poa yang merupakan setiausaha agung Parti Kemajuan Singapura (PSP), juga bertanya jika perdana menteri melihat keperluan mengarahkan EBRC "untuk memberikan lebih banyak ketelusan" mengenai sebab perubahan sempadan.

Beliau menambah bahawa ia "dapat membantu keyakinan penduduk".

Dalam respons, Encik Chan berkata hal itu telah dibincangkan secara menyeluruh semasa perbahasan mengenai usulan parlimen yang dibentangkan oleh Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi PSP pada Ogos tahun lalu.

"Kami tidak mahu mengulangi perbahasan itu hari ini," kata Encik Chan.

"Cukup memadai untuk dikatakan bahawa kita perlu elak mengenakan syarat atau arahan terhadap EBRC yang bersifat terlalu preskriptif, tetapi untuk memberikan kepada EBRC, yang terdiri daripada beberapa penjawat awam kanan dengan kemahiran dan pengetahuan profesional relevan, ruang untuk menjalankan tugas mereka secara bebas dan objektif tanpa rasa takut atau memihak."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita