Kesatuan sekerja terima permohonan maaf Lazada berhubung pemberhentian pekerja
Lazada telah meminta maaf kepada pihak kesatuan yang mewakili para pekerjanya kerana tidak berunding dengan pihaknya sebelum melaksanakan pemberhentian pekerja.
(Gambar: Google Map)
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini (6 Jan), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan gabungannya, Kesatuan Sekerja Makanan, Minuman dan Sekutu (FDAWU) berkata FDAWU telah menerima permohonan maaf oleh Lazada.
"Kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama dan mengutamakan kepentingan para pekerja dalam rundingan mereka.
"Lazada juga memberi jaminan kepada FDAWU bahawa pihaknya akan berunding bersamanya terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang latihan pemberhentian pekerja di masa hadapan," menurut kesatuan itu.
FDAWU juga menyatakan mereka sedang berunding bagi manfaat pemberhentian pekerja tambahan bagi para pekerja terjejas yang layak.
Para pekerja Lazada yang diberhentikan dimaklumkan mereka akan menerima gaji dua minggu bagi setiap tahun mereka berkhidmat.
"FDAWU mendapati ini tidak memuaskan," menurut kenyataan itu sambil menambah Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan terus memudahkan rundingan tersebut.
"Lazada telah memberi jaminan kepada FDAWU bahawa mereka akan memberi kerjasama sepenuhnya dan menyerahkan sebarang maklumat wajar kepada FDAWU untuk memastikan latihan pemberhentian pekerja dilaksanakan dengan adil."
Dalam satu kenyataan, Lazada Singapore menyatakan ia secara proaktif sedang bekerjasama dan berunding dengan pemerintah Singapura, NTUC, FDAWU dan agensi-agensi relevan yang lain.
Secara berasingan, seorang jurucakap MOM menyatakan ia melihat "kemajuan baik" dalam rundingan antara Lazada dengan FDAWU semalam (5 Jan).
"Lazada sedang bekerja rapat dengan MOM dan FDAWU untuk memastikan latihan penstrukturan semula dijalankan secara adil dan bertanggungjawab, termasuk menghulurkan sokongan mencukupi kepada para pekerja yang terjejas dan manfaat pemberhentian pekerja selaras dengan piawai industri," menurut MOM.
MOM menambah bahawa para majikan harus bertindak bertanggungjawab apabila menimbangkan langkah pengurangan kos dan syarikat-syarikat bersekutu seperti Lazada harus mengadakan perbincangan dengan kesatuan mereka bagi melindungi kepentingan para pekerja yang terjejas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.