Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kesatuan sekerja lancar aplikasi permudah pegawai keselamatan lapor kes dera, rungutan di tempat kerja

Kesatuan Pekerja Keselamatan (USE) melancarkan satu aplikasi mudah alih bagi pegawai keselamatan untuk membuat aduan mengenai penganiayaan atau rungutan berkaitan kerja.

Anggaran Waktu Membaca:
Kesatuan sekerja lancar aplikasi permudah pegawai keselamatan lapor kes dera, rungutan di tempat kerja

Gambar fail seorang pengawal keselamatan (Gambar: TODAY)

SINGAPURA: Kesatuan Pekerja Keselamatan (USE) melancarkan satu aplikasi mudah alih bagi pegawai keselamatan untuk membuat aduan mengenai penganiayaan atau rungutan berkaitan kerja.

Ini diumumkan bersamaan dengan hasil satu tinjauan berhubung kebajikan pegawai keselamatan privet. Tinjauan itu mendapati lebih 50 peratus pegawai mengadu berasa gementar dan tertekan di tempat kerja.

USE menyatakan aplikasi mudah alih percuma itu membolehkan pegawai keselamatan melaporkan "sebarang masalah serta rungutan berkaitan kerja pada bila-bila masa dan di mana sahaja".

“Walaupun tinjauan itu menunjukkan pegawai keselamatan secara amnya tahu dengan siapa atau di mana untuk mendapatkan bantuan apabila mereka berdepan penderaan di tempat kerja, lebih banyak boleh dilakukan untuk mempercepatkan proses dan membolehkan badan pihak ketiga yang berkecuali untuk membantu menyiasat serta menjadi pengantara dalam kes yang sedang ditangani," menurut kenyataan media USE serta Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Menurut USE, pengguna berdaftar aplikasi itu boleh memasukkan butiran kes atau masalah, termasuk tempat dan gambar. Kes yang diserahkan melalui aplikasi tersebut akan dikirimkan kepada Khidmat Pengantaraan USE bagi tindakan susulan.

Pengguna juga boleh memeriksa kembali status laporan mereka melalui aplikasi itu dan menerima kemas kini mengenai berita tentang industri atau yang berkaitan kesatuan.

39% HADAPI PENDERAAN DI TEMPAT KERJA

Bahagian ketiga satu tinjauan jangka panjang oleh USE dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) itu mendapati kebajikan pekerja keselamatan "terus membimbangkan", terutama dalam aspek kesejahteraan mental dan penderaan.

Soalan-soalan berkaitan tekanan kerja turut dimasukkan di dalam tinjauan itu buat pertama kalinya. Lebih 50 peratus pegawai melaporkan mereka berasa gementar dan tertekan di tempat kerja.

Serupa dengan dua tinjauan sebelumnya, sebahagian besar pegawai (39 peratus) melaporkan mereka pernah berdepan dengan penderaan di tempat kerja.

Perangkaan itu rendah sedikit berbanding 42 peratus yang dilaporkan dalam tinjauan lalu tetapi lebih tinggi daripada 32 peratus dalam tinjauan pertama. Kebanyakan penderaan yang dilaporkan berupa penderaan lisan.

Kekerapan penderaan juga meningkat kepada hampir 40 peratus, naik dari 30 peratus. Mereka yang melaporkan penderaan secara lisan berkongsi bahawa mereka mengalaminya sekurang-kurangnya sekali setiap dua minggu.

Tinjauan itu juga mendapati pegawai lebih berusia mengalami lebih banyak penderaan berbanding pegawai lebih muda.

Sekurang-kurangnya 40 peratus pegawai keselamatan berusia 50 tahun dan ke atas melaporkan mereka menghadapi penderaan di tempat kerja manakala 26 peratus pegawai yang berusia hingga 29 tahun melaporkan perkara yang sama.

SEBAHAGIAN BESAR INSIDEN DERA DARI MASYARAKAT AWAM

Lebih 40 peratus pelaku yang mendera adalah masyarakat awam.

“USE prihatin bahawa pegawai keselamatan terus didera ketika menjalankan tugas mereka seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

"Kami menyeru anggota masyarakat awam supaya mengiktiraf tugas penting pegawai keselamatan kami sebagai wira barisan hadapan dalam melindungi harta benda serta nyawa dan bekerjasama dengan mereka apabila perlu," kata Encik Raymond Chin, Setiausaha Agung USE.

Tinjauan itu meliputi aspek lain pekerjaan sebagai pegawai keselamatan seperti gaji dan masa depan kerjaya mereka.

USE menyatakan pendapatan kekal stabil dalam sektor itu dan memenuhi penanda aras Model Gaji Progresif (PWM) bagi semua peringkat.

Lebih 60 peratus pegawai keselamatan yang ditinjau berkata mereka dibayar gaji yang setimpal bagi tugasan yang dilakukan dan menjangkakan kenaikan pendapatan media sekitar S$150 pada tahun depan. Lebih 80 peratus responden pula berkata mereka berpuas hati dengan kerjaya mereka.

Penggunaan teknologi terus kekal tinggi (sekitar 90 peratus) dan lebih 60 peratus responden berhasrat untuk menimba kemahiran baru dalam tempoh enam bulan mendatang, menurut hasil tinjauan tersebut.

Tinjauan itu dijalankan dari Julai hingga September dan mengumpulkan respons daripada 1,000 pegawai keselamatan.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan