Kesatuan NTUC anjur sesi padanan kerja bagi bekas pekerja True Fitness, True Yoga
Kesatuan Pekerja Manual dan Dagangan Singapura (SMMWU) akan membantu pekerja yang terjejas akibat penutupan mengejut True Fitness dan True Yoga, termasuk menganjurkan sesi padanan kerja pada Khamis (17 Sep).
Notis di luar gim True Fitness di pusat beli-belah Great World pada 11 Sep 2026 memaklumkan bahawa penyewaan premis itu sudah dilucutkan. (Gambar: CNA)
SMMWU, yang bernaung di bawah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), menyatakan True Fitness dan True Yoga bukan syarikat berkesatuan, tetapi sebahagian pekerja yang terjejas merupakan anggota SMMWU.
Sesi padanan kerja itu akan dianjurkan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC, Persatuan Pengajar dan Jurulatih Nasional (NICA) serta SMMWU.
Bekas pekerja yang menghadiri sesi tersebut akan menerima bantuan padanan kerja, selain panduan dan nasihat mengenai isu di tempat kerja.
Pekerja warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) yang terjejas juga boleh mendapatkan sokongan lanjut daripada e2i menerusi khidmat padanan kerja, bimbingan kerjaya serta nasihat mengenai peningkatan kemahiran.
Setiausaha Agung SMMWU Andy Lim menggesa kedua-dua syarikat supaya bekerjasama dengan kesatuan itu bagi membantu anggota yang terjejas dan memastikan mereka mendapat akses kepada bantuan yang diperlukan sedang syarikat-syarikat tersebut menjalani proses pembubaran.
SMMWU menyatakan ia akan terus menyediakan sokongan dan sumber kepada anggota serta pekerja yang terjejas sekiranya diperlukan.
BANTUAN KEWANGAN SEHINGGA S$6,000
Warga Singapura dan PR yang layak juga boleh memohon Skim Sokongan Pencari Kerja SkillsFuture, yang menyediakan bantuan kewangan sementara sehingga S$6,000 sepanjang enam bulan kepada individu yang kehilangan pekerjaan bukan atas kehendak sendiri.
Anggota SMMWU yang layak dan mahu menjalani latihan kemahiran pula boleh memanfaatkan Program Bantuan Latihan Kesatuan (UTAP) bagi membantu menampung yuran kursus.
Perikatan Kecergasan Singapura (SFA) turut membantu pekerja yang terjejas mencari pekerjaan baharu.
Presiden SFA Sean Tan memberitahu Mediacorp bahawa sekitar 230 kakitangan dan pekerja bebas True Group sudah menghubungi pertubuhan bukan mencari keuntungan itu untuk mendapatkan bantuan.
241 ADUAN, KERUGIAN LEBIH S$609,000
Syarikat yang mengendalikan True Fitness dan True Yoga kini sedang menjalani proses pembubaran dengan sebuah agensi insolvensi Singapura dilantik untuk mengendalikan syarikat itu semasa proses tersebut.
Presiden Persatuan Pengguna Singapura (CASE) Melvin Yong berkata minggu lalu bahawa badan pemerhati pengguna itu menerima 241 aduan daripada pengguna yang terjejas akibat penutupan tersebut.
Jumlah kerugian yang dilaporkan melebihi S$609,000.
Angka itu meningkat dengan ketara berbanding 28 aduan dengan kerugian lebih S$63,000 yang dilaporkan pada Jumaat (11 Sep) lalu.
True Group mengendalikan 10 pusat kecergasan di Singapura menerusi tiga jenama – True Fitness, TFX dan Yoga Edition.
Syarikat induknya, Kontafarma China Holdings yang disenaraikan di Hong Kong, sebelum ini menyatakan para pengarah True Fitness dan True Yoga di Singapura tidak dapat meneruskan perniagaan disebabkan liabiliti syarikat.
Antara cabaran yang dihadapi termasuk persaingan daripada gim butik, kemudahan senaman di kondominium dan kediaman privet serta peningkatan jumlah senaman online.
True Group ditubuhkan di Singapura pada 2004 dan sebelum ini menarik diri dari Malaysia dan Thailand pada 2017 serta Taiwan pada 2025.
Penutupan True Fitness dan True Yoga pada Jumaat lalu mengejutkan kakitangan dan anggotanya, dengan lebih 50 pekerja berkumpul di ibu pejabat kumpulan itu untuk mendapatkan penjelasan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.