Skip to main content

Singapura

Kesan serangan minyak Saudi terhadap ekonomi S'pura terhad: Koh Poh Koon

Serangan dron terhadap dua kemudahan minyak Arab Saudi bulan lalu dijangka membawa kesan "terhad" kepada ekonomi Singapura, kata Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan Koh Poh Koon pada Isnin (7 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Kesan serangan minyak Saudi terhadap ekonomi S'pura terhad: Koh Poh Koon

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 07 Oct 2019 02:02PM Dikemas Kini : 07 Oct 2019 02:08PM

SINGAPURA: Serangan dron terhadap dua kemudahan minyak Arab Saudi bulan lalu dijangka membawa kesan "terhad" kepada ekonomi Singapura, kata Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan Koh Poh Koon pada Isnin (7 Okt).

Bekalan minyak Singapura kekal mencukupi sepanjang tempoh bekalan terganggu dan kesannya terhadap harga pengguna dijangka kecil, Dr Koh memberitahu parlimen.

Dr Koh menjawab pertanyaan di parlimen berhubung serangan dron tanpa diduga ke atas dua kemudahan minyak utama di Arab Saudi pada 14 Sep dan bagaimana ia mungkin menjejas ekonomi Singapura serta harga elektrik dan minyak di sini.

Serangan dron pada bulan lalu berlaku di Abqaiq iaitu loji pemprosesan minyak terbesar di dunia serta medan minyak Khurais di wilayah timur Arab Saudi. Serangan itu menyebabkan penghasilan minyak sebanyak 5.7 juta tong sehari terputus.

Harga minyak sedunia melonjak serta-merta menyusuli serangan itu.

Harga hanya mula turun selepas Arab Saudi dan Amerika Syarikat berikrar untuk mengekalkan bekalan minyak yang stabil dan tanda aras minyak mentah Brent kekal stabil pada sekitar AS$59 (S$81.65) setong pada 2 Okt, kata Dr Koh.

Namun, Dr Koh berkata kejadian itu adalah satu "peringatan berguna" tentang pentingnya jaminan tenaga, terutama dengan ketegangan berlarutan di Timur Tengah.

Dr Koh berkata Pemerintah melaksanakan beberapa strategi untuk menjamin bekalan minyak Singapura dan memastikan harga minyak kekal berdaya saing.

Pertama, sumber minyak mentah dan gas Singapura dipelbagaikan untuk memastikan bekalan yang berterusan meskipun menghadapi gangguan.

Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat mengajukan soalan berhubung rancangan bagi sumber tenaga alternatif, memandangkan insiden seumpama itu mungkin bertambah buruk akibat kemungkinan lebih banyak serangan dron di Arab Saudi dan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.

Dr Koh menekankan bahawa ekosistem perdagangan minyak Singapura dipelbagaikan.

"Para pedagang kami mendapat sumber bukan sahaja di Timur Tengah tetapi juga di Amerika Syarikat."

Kedua, sedang harga elektrik di Singapura tidak boleh dilindungi daripada naik turun harga tenaga global, langkah menggalak persaingan akan memastikan rakyat Singapura dapat menikmati harga elektrik yang berdaya saing.

Dr Koh memberi contoh Pasaran Elektrik Terbuka (OEM) sebagai satu inisiatif sedemikian. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita