Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kesan inflasi: Free Food For All saksikan lonjakan 70% jumlah pemohon bantuan makanan

Free Food For All (FFFA) mendedahkan kepada BERITAmediacorp bahawa jumlahnya meningkat sekitar 70 peratus berbanding setahun lalu. Ini berlaku di tengah-tengah kenaikan inflasi, termasuk kos makanan dan barangan keperluan dapur yang meningkat.
 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah badan kebajikan yang mengagihkan bantuan makanan secara percuma menyaksikan lonjakan ketara dalam jumlah pemohon bantuan daripada golongan bergaji rendah.

Free Food For All (FFFA) mendedahkan kepada BERITAmediacorp bahawa jumlahnya meningkat sekitar 70 peratus berbanding setahun lalu.

Ini berlaku di tengah-tengah kenaikan inflasi, termasuk kos makanan dan barangan keperluan dapur yang meningkat.

Antara penerima bantuan FFFA ialah Wan Farah Shireen, 34 tahun.

Sebagai pencari nafkah tunggal, Cik Farah mendapati gaji daripada kerja sambilan sebagai penolong pendandan rambut tidak cukup untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Beliau mempunyai seorang anak lelaki berusia 11 tahun dan juga merupakan penjaga kepada ibunya yang sakit.

Anaknya merupakan penerima skim bantuan kewangan sekolah (FAS) dan beliau juga baru memohon untuk bantuan ComCare.

Harga makanan dan barangan dapur yang meningkat kebelakangan ini menambah kebimbangannya.

Beliau juga mendapati perbelanjaan bulanannya meningkat.  

"Setiap bulan, saya berbelanja hampir S$2,000, tetapi sekarang ia sudah meningkat sehingga beberapa ratus lebih. Jadi dengan kenaikan harga ini, kadangkala, buat sesetengah benda yang anak saya minta, saya tidak boleh menyediakannya," luah Cik Farah kepada BERITAmediacorp.

FFFA AGIHKAN MAKANAN SIAP DIMAKAN DAN SAYUR-SAYURAN SECARA PERCUMA 

Mujur, Cik Farah menerima bantuan daripada badan kebajikan FFFA.

Menerusi satu aplikasi FFFA, beliau boleh memilih 15 makanan siap dimakan, atau 'Ready to Eat Meals', termasuk ayam masak merah dan bubur nasi. 

"Untuk makanan-makanan ini, ia betul-betul mengurangkan kos buat sesetengah benda. Jadi saya tidak perlu menyediakan makanan atau memasak pada sesetengah hari," ujar Cik Farah.

Beliau turut menerima sayur-sayuran yang diagihkan badan itu setiap minggu. 

JUMLAH PEMOHON BANTUAN FFFA NAIK 70 PERATUS 

Dengan kenaikan harga makanan, FFFA turut mendapati lebih banyak permintaan bantuan tahun ini, iaitu sehingga 70 peratus. 

"Kalau tahun lalu, 160 orang akan meminta bantuan makanan setiap bulan. Sekarang, kita melihat sekitar 240 hingga 250 permintaan makanan setiap bulan. Dan ini kalau dikira, menambah kepada bantuan yang kita (sudah) berikan kepada sekitar 800 keluarga setiap bulan," kongsi Ahli Lembaga FFFA, Encik Mohamad Faiz Selamat.

Untuk membantu golongan berpendapatan rendah yang terjejas dengan kesan inflasi, pemerintah baru-baru ini mengumumkan bayaran tunai sehingga S$300 dalam bentuk Baucar GST khas pada Ogos yang boleh memberi manfaat kepada sekitar 1.5 juta rakyat. 

"Saya sangat mengalu-alukan (langkah) pemerintah untuk memberikan baucar-baucar begini untuk membantu mereka yang memerlukan dan pasti ia akan membantu mereka, sedikit sebanyak untuk mengurangkan beban mereka dalam situasi ini.

"Tapi selain daripada itu, saya rasa ia adalah satu bantuan yang sementara sahaja, jadi kita harus mencari jalan bagaimana untuk tidak hanya tergantung kepada bantuan pemerintah," ujar Encik Faiz.

INGIN MEMPERKASA PARA PENERIMA BANTUAN BERDIKARI
 
Lantaran itu, melangkah ke hadapan, FFFA berharap untuk terus memperkasa para penerima bantuannya untuk berdikari.

Selain meningkatkan bantuan yang sedia ada dengan program seperti 'Kids Luv It', yang menyediakan sarapan buat kanak-kanak bagi menggalak pemakanan sarapan yang berkhasiat, FFFA juga ingin melaksanakan satu program untuk membawa masyarakat bersama menanam sayur-sayuran mereka sendiri. 

"Mereka dapat berinteraksi dan meningkatkan semangat kampung, jadi kita sama-sama menanam sayur-sayuran, kita bersemai, berinteraksi (untuk) menjadi satu masyarakat yang bukan hanya menanam sayur-sayuran tetapi juga berkembang dari segi pemberdayaan," ujar Encik Faiz.

Pada akhirnya, FFFA berharap untuk mengukur hasil usaha bukan daripada jumlah orang yang dibantu, tetapi berapa ramai yang tidak lagi menerima bantuan dari pihaknya.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan