Kesan deria bau dan terapi muzik dikaji graduan kohort pertama dua program baharu LASALLE
This audio is generated by an AI tool.
Itulah yang mendorong Nur Aliyah Mohammad Noor Azman untuk mengkaji lebih mendalam tentang bagaimana deria bau boleh menjadi faktor yang dipertimbangkan dalam mereka sesebuah ruang sosial bagi projek akhir tahunnya di Kolej Seni LASALLE.
Beliau meneliti bagaimana bau-bau termasuk yang mungkin tidak menyenangkan bagi sesetengah orang, sebenarnya boleh menjadi penghubung masyarakat.
"Pengalaman menjalankan kajian ini banyak membantu saya memahami bagaimana untuk bekerja lebih rapat dengan masyarakat sebagai seorang pereka bentuk sosial," ungkap Aliyah.
"Sepanjang projek 'Can You Smell It Too?', saya belajar untuk mendengar pengalaman orang lain dengan lebih teliti, menjalankan pemerhatian terhadap kehidupan harian, dan mendekati isu sosial dengan lebih sensitif dan empati," tambah beliau.
Aliyah merupakan antara 19 graduan kohort pertama bidang Reka Bentuk untuk Masa Depan Sosial yang diperkenalkan LASALLE pada 2024.
Menurut ketua program tersebut, Wendy Chua, kursus itu yang pertama dikendalikan di Singapura bertujuan untuk membentuk pereka bentuk sosial yang memahami isu-isu dunia nyata melalui lensa reka bentuk.
9 BULAN JALANI KAJIAN DI BLOK SEWA DI HOUGANG
Sepanjang sembilan bulan, Aliyah menjalankan kajian etnografi beliau di blok-blok sewa di Hougang dan mendapati bahawa bau-bau seperti bau masakan, bau minyak rambut mahupun bau rokok, boleh menjadi "satu bentuk bahasa dalam masyarakat yang tidak memerlukan banyak penjelasan".
Hasil kerja kerasnya juga, Aliyah berjaya tamatkan pengajiannya dengan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian).
Projeknya juga akan dipaparkan dalam Pameran Tamat Pengajian Tahunan LASALLE yang akan berlangsung dari 22 Mei hingga 3 Jun di kampus McNally Kolej Seni LASALLE yang dibuka kepada umum.
MUZIK DIGUNAKAN SEBAGAI ALAT PEMULIHAN
Sebuah lagi projek yang dipaparkan ialah daripada para graduan program Sarjana dalam Terapi Muzik yang juga baru diperkenalkan pada 2024.
Antara 12 graduan program tersebut ialah pemuzik Bakti Khair.
Sebelum mengikuti pengajian ini, Bakti merupakan seorang guru muzik.
"Apabila saya dapat tahu tentang program ini yang baru diperkenalkan dua tahun yang lalu, saya buat keputusan bersama ahli keluarga untuk tinggalkan kerjaya sebagai seorang guru dan untuk menyertai dalam bidang ini," kongsi beliau.
Menurut beliau, satu perkara yang mendatangkan impak paling besar pada beliau sepanjang menjalani program ini ialah apabila beliau melihat sendiri bagaimana muzik boleh memberikan kesan secara langsung kepada para pesakit apabila ia digunakan dalam sesi terapi muzik.
"Antara contohnya adalah apabila kita memainkan sebuah lagu yang mungkin lebih terkenal, kadang-kadang kita boleh melihat bagaimana pesakit-pesakit demensia boleh tiba-tiba teringat tentang pengalaman atau memori yang berkaitan dengan lagu itu," tambah beliau.
Tesisnya meninjau tanggapan warga emas Melayu/Islam terhadap muzik.
Kajian itu melibatkan seramai 102 warga emas Melayu/Islam berumur 60 tahun ke atas.
Ini termasuk penggunaan muzik tradisional dan nasyid dalam terapi bagi warga emas.
Beliau juga berharap dapatan kajiannya ini boleh memberikan satu pencerahan bagi para ahli terapi muzik di Singapura apabila mereka menggunakan muzik dalam sesi-sesi terapi mereka bersama golongan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.