Kesan COVID-19 terhadap kesihatan mental mesti ditangani; makin ramai hadapi tekanan, gangguan, kata PM Lee
Penguasa kesihatan seantero dunia bukan sekadar melawan COVID-19, malah mereka juga mesti menangani kesannya terhadap kesihatan mental.
SINGAPURA: Penguasa kesihatan seantero dunia bukan sekadar melawan COVID-19, malah mereka juga mesti menangani kesannya terhadap kesihatan mental.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata demikian semasa menyampaikan ucapan melalui video kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia pada Sabtu (10 Okt).
Dalam ucapannya, PM Lee berkata pihak berkuasa mesti berbuat demikian kerana pandemik ini "menambahkan lagi tekanan dan gangguan" terhadap ramai orang.
Beliau menekankan bahawa kesihatan mental penting bagi kesejahteraan keseluruhan seseorang. Walaupun tahap kesedaran orang ramai terhadap kesihatan mental sudah meningkat, "mereka yang mengalami masalah kesihatan mental masih belum difahami atau diterima sepenuhnya".
PM Lee menarik perhatian bahawa di Singapura, talian National Care Hotline turut disediakan bagi menawarkan bantuan kecemasan dan sokongan emosi kepada orang awam semasa "tempoh yang mencabar ini".
Pasukan Bertindak Kesejahteraan Mental COVID-19 juga ditubuhkan bagi menangani kesan pandemik terhadap kesihatan mental.
Satu daripada setiap tujuh orang di Singapura, kata PM Lee, akan mengalami masalah kesihatan mental pada satu ketika dalam riwayat hidup mereka.
"Oleh itu, memastikan setiap rakyat mempunyai akses untuk mendapatkan khidmat jagaan kesihatan mental yang bermutu menjadi keutamaan pemerintah," kata beliau, sambil menarik perhatian kepada usaha untuk membuka mata kepada kesihatan mental, menggalak pencegahan awal dan meningkatkan khidmat kesihatan mental.
"Melindungi kesihatan mental memerlukan usaha kolektif," tambah PM Lee. "Marilah kita sama-sama membulatkan tekad untuk saling bekerjasama dalam memahami kesihatan mental dengan lebih baik dan menjaga satu sama lain sepanjang masa yang mencabar ini."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.