Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kesalahan tidak dilakukan dek tertekan; keadaan mental pengedar dadah 'tidak terkesan': MHA

Nagaenthran K Dharmalingam yang sedang menunggu masa untuk ke tali gantung mengada-adakan pembelaannya bahawa dia melakukan kesalahan dalam keadaan tertekan. Dia "faham dengan jelas" perbuatan jenayahnya, menurut MHA dalam respons kepada petisyen online bagi mendapatkan pengampunan Presiden.

Anggaran Waktu Membaca:
Kesalahan tidak dilakukan dek tertekan; keadaan mental pengedar dadah 'tidak terkesan': MHA

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 03 Nov 2021 10:31PM Dikemas Kini : 03 Nov 2021 10:33PM

SINGAPURA: Seorang pengedar dadah yang sedang menunggu masa untuk ke tali gantung mengada-adakan pembelaannya bahawa dia melakukan perbuatan itu dalam keadaan tertekan.

Demikian tegas Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) hari ini (3 Nov) dalam responsnya kepada petisyen online bagi mendapatkan pengampunan untuk lelaki itu.

Ini adalah dapatan Mahkamah Tinggi semasa menjatuhkan hukuman mati ke atas Nagaenthran K Dharmalingam pada 2010 kerana mengimport dadah ke Singapura dan ia dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan, yang "menolak sama sekali akuannya bahawa dia dipaksa di bawah tekanan".

MHA juga menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan menegakkan bahawa keadaan mental Nagaenthran bagi kesalahan yang dilakukannya tidak terkesan. Dia didapati memahami dengan jelas bahawa apa yang dilakukannya adalah satu jenayah dan mengambil "risiko yang terhitung" untuk membayar hutangnya.

MHA juga menyatakan bahawa ia sedang membantu keluarga Nagaenthran dalam urusan perjalanan dari Malaysia ke Singapura dan lawatan dilanjutkan secara bersemuka setiap hari untuk mereka.

Petisyen yang dibuat kepada Presiden Halimah Yacob supaya memberi pengampunan kepada Nagaenthran dimulakan pada 29 Oktober. Sehingga pukul 6.00 petang tadi, lebih 38,000 orang sudah menandatanganinya.

Petisyen itu menyatakan bahawa banduan berkenaan patut diberi pengampunan kerana dia memberi keterangan bahawa dia "dipaksa" untuk mengedar dadah oleh seorang lelaki yang mengancam untuk membunuh teman wanitanya. Petisyen itu juga menyatakan bahawa Nagaenthran mengalami masalah kurang daya intelek dan IQ rendah, gangguan pada proses kognitif yang menjejas kelakuan serta masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD).

“Memandangkan Nagaenthran kurang daya intelek, melakukan jenayah tanpa kekerasan dan didakwa dipaksa menerusi serangan dan ancaman, kami dengan ikhlas merayu agar Presiden Halimah Yacob mengekalkan komitmen Singapura kepada UNCRPD (Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Orang Kurang Upaya) dengan memberi pengampunan kepada Nagaenthran daripada hukuman mati,” menurut petisyen itu.

BUTIRAN KES

Nagaenthran, seorang warga Malaysia, disabit dan dijatuhi hukuman mati pada November 2010 kerana mengimport 42.72 gram heroin setahun sebelumnya.

Dia pertama kali merayu supaya dijatuhi hukuman baru di bawah pindaan Akta Penyalahgunaan Dadah yang diluluskan pada 2012.

Pindaan itu membenarkan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup sebagai ganti hukuman mati jika dia hanya seorang penghantar. Namun dengan syarat pihak pendakwa raya mengeluarkan sijil bantuan substantif kepada pesalah itu — kerana membantu Biro Narkotik Pusat (CNB) mengganggu kegiatan pengedaran dadah.

Nagaenthran kemudian mengemukakan rayuan kedua bagi semakan kehakiman terhadap keputusan pendakwa raya untuk tidak mengeluarkan sijil bantuan substantif kepadanya.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun menolak kedua-dua permohonan dan pada 2019, Mahkamah Rayuan juga menolak kedua-dua rayuan Nagaenthran terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

“Petisyennya kepada Presiden bagi mendapatkan pengampunan tidak berjaya,” menurut MHA.

DAKWAAN PAKSAAN 'DIADA-ADAKAN'; DIA 'JELAS FAHAM' TINDAKANNYA

Menjawab pertanyaan Mediacorp, MHA menyatakan bahawa dakwaan Nagaenthran bahawa dia menghantar bungkusan itu di bawah tekanan daripada seseorang yang didakwa menyerangnya dan mengancam untuk membunuh teman wanitanya adalah "diada-adakan" dan tidak konsisten dengan akuannya yang lain.

“Nagaenthran sendiri menarik balik dakwaan dia bertindak di dalam keadaan tertekan dalam prosiding berikutnya dan menerima bahawa dia melakukan kesalahan itu kerana dia memerlukan wang, bukan bertindak kerana berdepan sebarang ancaman,” tegas MHA.

Kementerian itu menambah bahawa "kenyataan berbolak balik Nagaenthran tentang mengapa dia melakukan kesalahan itu sama sekali tidak membantu kesnya".

MHA menambah bahawa "keadaan mentalnya" bagi kesalahan itu tidak terkesan.

"Nagaenthran didapati memahami dengan jelas perbuatannya dan dia tidak hilang pertimbangannya antara betul atau salah bagi perbuatannya itu," menurut MHA.

MHA menambah bahawa Nagaenthran tahu ia salah di sisi undang-undang untuk dia mengedarkan dadah dan dia menyembunyikan dadah itu untuk mengelakkannya daripada dijumpai dan bahawa dia berbuat demikian dengan niat untuk membayar sebahagian hutangnya.

Mahkamah Rayuan juga mendapati bahawa ini adalah "cara minda penjenayah berfikir", iaitu menimbang antara risiko dengan faedah yang dikaitkan dengan jenayah tersebut.

"Nagaenthran mengambil risiko yang terhitung, yang mana bertentangan dengan jangkaannya, menjadi kenyataan," tegas MHA. "Ia adalah keputusan yang dipertimbangkan, ada tujuan dan dihitung oleh Nagaenthran untuk mengambil risiko itu."

MHA menambah bahawa Nagaenthran sudah dibenarkan melalui proses undang-undang sepenuhnya dan diwakili oleh peguam bela sepanjang proses itu.

ANGGOTA KELUARGA DIBERI PANDUAN ATURAN PERJALANAN

Terdapat juga satu surat yang didakwa dihantar oleh Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) kepada keluarga Nagaenthran, yang tinggal di Malaysia, dan dimuat naik online dalam rencana oleh laman media Vice World News.

Surat yang dimuat naik itu menyatakan Nagaenthran akan menjalani hukuman pada 10 November.

Laman Vice World News menyatakan bahawa keluarga Nagaenthran perlu menanggung kos perjalanan ke Singapura seperti mengambil ujian COVID-19, menjalani kuarantin dan membeli insurans perjalanan.

MHA menyatakan kos yang perlu ditanggung oleh keluarga Nagaenthran bagi perjalanan ke Singapura sama seperti yang perlu ditanggung oleh sesiapa sahaja yang ingin memasuki Singapura dari Malaysia.

SPS sudah berhubung dengan anggota keluarga Nagaenthran melalui telefon dan emel setiap hari sejak 27 Oktober untuk menjelaskan dan menjawab sebarang pertanyaan keluarga mengenai aturan perjalanan yang diperlukan, tambah MHA.

“SPS juga sudah berhubung dengan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan, Kementerian Kesihatan, Lembaga Pelancongan Singapura serta agensi pemerintah lain, untuk mempermudahkan permohonan perjalanan mereka dan membuat aturan yang sewajarnya untuk masuk ke Singapura,” menurut MHA.

Ia menambah apabila masuk ke Singapura, keluarga Nagaenthran akan diberikan lawatan dilanjutkan secara bersemuka setiap hari dan SPS akan "terus memberikan bantuan kepada keluarga sepanjang masa".

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan