Skip to main content

Singapura

Kes vape mengandungi etomidat naik 4 kali ganda tahun ini, HSA pantau online

Anggaran Waktu Membaca:
Kes vape mengandungi etomidat naik 4 kali ganda tahun ini, HSA pantau online

Vape yang mengandungi etomidat, juga dikenali sebagai "kpod", yang dirampas HSA.

Diterbitkan : 31 May 2025 06:09AM Dikemas Kini : 31 May 2025 07:22AM
SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan (HSA) sedang memantau dengan rapi penggunaan e-rokok, atau vape, yang mengandungi etomidat, iaitu sejenis anestetik bertindak pantas yang digunakan dalam prosedur perubatan.

Lebih 20 kes melibatkan etomidat dikesan setakat tahun ini, naik empat kali ganda berbanding lima kes untuk keseluruhan tahun lalu, menurut badan berkanun itu.

Produk vape yang dicampur dengan etomidat sering dipanggil "kpod", "zombie vape" dan "space oil".

HSA memberi amaran bahawa menghisapnya terus ke dalam paru-paru boleh menyebabkan kesan sampingan seperti kekejangan, masalah pernafasan dan sawan.

Agensi itu menambah bahawa ubat penenang itu bertujuan untuk digunakan di bawah pengawasan di hospital bagi prosedur perubatan.

Etomidat dikategorikan sebagai racun dan mereka yang didapati memiliki atau menggunakan pod yang mengandungi bahan itu boleh dikenakan hukuman maksimum penjara sehingga dua tahun dan/atau denda sehingga S$10,000 di bawah Akta Racun.

KESAN DRASTIK KE ATAS KESIHATAN BELIA

Sekalipun tanpa etomidat, doktor berkata penggunaan vape boleh membawa kepada hasil kesihatan yang lebih drastik bagi mereka yang mengamalkan tabiat itu.

Antara Januari 2024 dengan Mac 2025, kira-kira 2,600 pelajar dari sekolah dan institut pengajian tinggi sudah dirujuk kepada HSA disebabkan penggunaan vape, dan hampir 1,800 belia menerima kaunseling dalam tempoh ini, menurut agensi itu.

HSA menambah bahawa terdapat lebih 800 pesalah berulang di bawah 18 tahun antara 2019 dengan 2023 yang membeli, menggunakan atau memiliki vape.

Dr Alvona Loh, seorang pengamal am di klinik Lifescan Medical & Wellness, memberitahu Mediacorp bahawa belia lebih sensitif terhadap kesan ketagihan vape, jadi mereka mungkin mendapati lebih sukar untuk akhirnya menghentikan tabiat itu, berbanding orang dewasa.

Vape mengandungi bahan kimia termasuk nikotin – bahan ketagihan yang biasa ditemui dalam rokok, agen penyebab barah seperti formaldehid, dan nanopartikel logam seperti timah, plumbum atau nikel.

Profesor Madya Adjung Puah Ser Hon, ketua Jabatan Perubatan Pernafasan dan Rawatan Kritikal Hospital Tan Tock Seng, berkata bahawa kenaikan jumlah belia yang menggunakan vape adalah satu kebimbangan.

"Mereka masih membesar, paru-paru mereka sedang membesar, otak mereka sedang membesar, tetapi semua bahan kimia yang mereka hirup melalui vape sebenarnya membantutkan mereka," katanya kepada program Singapore Tonight CNA.

Profesor Madya Puah berkata pengguna vape juga berdepan potensi penyakit seperti barah dan penyakit paru-paru kronik.

Salah satu keadaan paru-paru yang disebabkan oleh penggunaan vape adalah keadaan yang dipanggil bronkiolitis obliterans, yang dipercayai oleh pakar disebabkan oleh diasetil, bahan kimia yang banyak terdapat dalam vape.

Ia biasanya ditambah oleh pengeluar untuk melengkapkan perisa cecair vape. Apabila dihisap, ia boleh menyebabkan kantung udara kecil di paru-paru berparut. Dari masa ke masa, parut terkumpul, menyebabkan penyempitan saluran udara, yang boleh menyebabkan batuk, berdehit atau bahkan kegagalan pernafasan.

Keadaan itu boleh dirawat tetapi tidak boleh disembuhkan, kata Dr Loh.

Dalam kes yang melampau, pesakit mungkin memerlukan pemindahan paru-paru tetapi prosedur itu tidak menjamin kelangsungan hidup dan mutu hidup akan berkurangan, tambahnya.

Kedua-dua doktor menepis kepercayaan bahawa penggunaan vape adalah alternatif yang lebih sihat daripada menghisap rokok.

Dr Loh berkata bahawa walaupun e-rokok adalah produk yang agak baharu, kemudaratannya sudah dirakam dengan baik, dan Profesor Madya Puah berkata tidak benar wap asap sekunder kurang mengganggu daripada asap rokok sekunder.

Beliau menambah bahawa zarah-zarah yang dihembus melalui vape boleh hinggap pada pakaian atau persekitaran dan dihirup oleh orang lain sebagai bentuk asap sekunder.

PENGUATKUASAAN DAN PENDIDIKAN

Cik Jessica Teo, penolong pengarah kumpulan di Kelompok Kewaspadaan, Pematuhan dan Penguatkuasaan HSA, berkata bahawa badan berkanun itu sudah memperhebat operasinya, baik secara fizikal mahupun online, untuk mengganggu rangkaian pengedaran vape.

"Kami juga sudah memperkukuh kawalan sempadan dengan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan, dan kami telah meningkatkan kehadiran penguatkuasaan kami di ruang awam di mana vaping berleluasa," kata Cik Teo.

"Pastinya ia adalah satu kebimbangan, dan kami... memantau ini dengan sangat rapi. Sekarang adalah etomidat. Esok mungkin bahan lain," tambahnya.

HSA menyatakan pegawainya sedang memantau platform online bagi mencari penjual peranti vape haram dan tanda-tanda kesalahan lain.

Sistem khusus secara automatik mengimbas internet 24/7 untuk penyenaraian yang mencurigakan, sehingga 10 iklan seminit, menurut HSA, sambil menambah bahawa pihak berkuasa kemudian bekerjasama dengan platform online untuk menurunkan penyenaraian.

Lebih 6,800 penyenaraian online bagi vape dan komponen berkaitan sudah diturunkan dari Januari 2024 hingga Mac 2025, lebih dua kali ganda berbanding 3,100 penyenaraian yang dikeluarkan pada tahun 2023, menurut HSA.

Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan mereka akan melancarkan program kaunseling online selama setahun di semua sekolah menengah pada Julai, bertujuan membantu pelajar berhenti merokok dan vape.

Premis persendirian juga memainkan peranan mereka.

Zouk Group menyatakan sesiapa sahaja yang didapati memiliki produk haram, termasuk vape, akan dirujuk kepada pihak berkuasa.

"Ia adalah sesuatu yang kami tidak bertolak ansur sama sekali. Kami ingin memastikan bahawa, dalam persekitaran yang kami sediakan untuk pelanggan kami, tiada sebarang unsur itu terdapat di tempat kami," kata pengarah pemasaran kumpulan kelab malam itu, Roman Kibe.

BANTUAN DISEDIAKAN

Pihak berkuasa berkata bahawa bantuan disediakan untuk mereka yang ketagihan vape dan mereka tidak akan berdepan masalah kerana mencarinya.

Program seperti I Quit HPB menawarkan sokongan, dan sebarang pengakuan peribadi yang dibuat semasa kaunseling kekal sulit.

Profesor Madya Puah berkata bahawa bantuan perubatan profesional juga disediakan untuk sesiapa sahaja yang ingin mengatasi ketagihan nikotin dan gejala penarikan diri.

"(Di) semua hospital, poliklinik... Ada orang di luar sana yang sedia membantu. Dalam Kumpulan Penjagaan Kesihatan Nasional... anda boleh terus datang dan mendapatkan konsultasi, dan seseorang akan membimbing anda melalui proses itu," tambahnya.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita