Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes vape di S'pura makin meningkat; HSA perkukuh penguatkuasaan

Anggaran Waktu Membaca:
Kes vape di S'pura makin meningkat; HSA perkukuh penguatkuasaan

Alat pengewap sedang disediakan untuk dibakar pada 31 Mei 2022. (Gambar: Health Sciences Authority)

SINGAPURA: Jumlah kes alat pengewap atau vape yang ditangani oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) meningkat "dengan ketara" dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menurut agensi itu.

Para pengguna alat pengewap juga termasuk remaja di sekolah menengah yang mempunyai tanggapan salah bahawa alat pengewap adalah pengganti yang lebih sihat bagi merokok, kata seorang penasihat kesihatan pelajar kepada Mediacorp.

Pada 2021, HSA menangani 7,593 kes alat pengewap, berbanding 2,477 kes pada 2019.

Pada Selasa (31 Mei), produk alat pengewap haram - dianggarkan bernilai lebih S$1 juta - dibakar di Loji Pembakaran Selatan Tuas sebagai sebahagian daripada operasi penguatkuasaan agensi itu.

Antara barangan yang dibakar pada Hari Tanpa Tembakau Sedunia dianggarkan sebanyak 6,500 alat pengewap, 83,500 pod dan 8,000 e-cecair. Berat kesemuanya lebih satu tan.

Produk-produk yang dibakar pada Selasa adalah daripada kes-kes yang ditutup dari pertengahan 2021 hingga kini.

Tahun lalu, pihak berkuasa memusnahkan hampir 12,300 alat pengewap, kira-kira 4,500 e-cecair dan hampir 175,000 pod dan komponen, yang kesemuanya dianggarkan bernilai hampir S$2 juta.

Di Singapura, ia adalah satu kesalahan untuk menjual, memiliki untuk dijual, mengimport atau mengedar alat pengewap dan komponen yang berkaitan.

Sesiapa yang disabit kesalahan boleh didenda sehingga S$10,000 dan dihukum penjara sehingga enam bulan.

Hukuman terhadap kesalahan memiliki dan menggunakan alat pengewap adalah denda sehingga S$2,000.

HSA, yang bekerjasama dengan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) untuk menguatkuasakan tindakan terhadap penggunaan alat pengewap, menyatakan bahawa beberapa pengimport haram sudah mula menukar cara untuk mengelak daripada dikesan seperti menyembunyikannya dalam lampu kenderaan.

Agensi itu menambah bahawa ia "memandang tegas" terhadap penyeludupan alat pengewap dan sudah meningkatkan kewaspadaan dan tindakan penguatkuasaan.

Sebanyak 383 penjual alat pengewap sudah diberkas dari 2017 hingga 2021, menurut HSA.

HSA memantau peruncit online yang disyaki menjual produk yang dilarang dan cecair isi semula dan kartrijnya, dan bekerjasama dengan laman e-dagang yang berkaitan untuk berhenti menjual barangan tersebut.

Untuk melengkapkan operasi penguatkuasaannya, HSA menyatakan ia bekerjasama dengan platform online seperti Instagram, Facebook dan Carousell untuk memadamkan catatan haram berkaitan produk tembakau.

Tahun lalu, lebih 6,800 catatan sudah dimansuhkan.

Pada tahun yang sama, HSA melaksanakan 33 operasi berkaitan penjualan alat pengewap dan komponennya.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan