Kes tunggal COVID-19 di dormitori tiada kaitan dengan kes-kes lain di Westlite Woodlands
Satu-satunya kes baru COVID-19 yang dilaporkan di dormitori pada Isnin (26 Apr) merupakan jangkitan tanpa kaitan yang tinggal di dormitori Westlite Woodlands, menurut Kementerian Kesihatan (MOH), sambil menambah lelaki itu "berkemungkinan" dijangkiti virus itu dari luar negara.
(Gambar: CNA)
SINGAPURA: Satu-satunya kes baru COVID-19 yang dilaporkan di dormitori pada Isnin (26 Apr) merupakan jangkitan tanpa kaitan yang tinggal di dormitori Westlite Woodlands, menurut Kementerian Kesihatan (MOH), sambil menambah lelaki itu "berkemungkinan" dijangkiti virus itu dari luar negara.
Dikenal pasti sebagai kes 62440, lelaki itu ialah seorang warga Bangladesh berusia 35 tahun yang merupakan seorang pemegang permit kerja.
"Beliau bekerja sebagai seorang pekerja binaan yang digajikan oleh Jenta Decoration Contraction, namun biasanya tidak berinteraksi dengan klien-klien," menurut MOH dalam kemas kini hariannya.
Dua kes disahkan sebelum ini (62181, 62225), yang merupakan rakan sebilik, juga tinggal di dormitori Westlite Woodlands - tetapi kes 62440 tinggal di blok berlainan dan tidak berinteraksi dengan mereka, menurut MOH.
Di dormitori yang sama, 17 penduduk yang sudah pulih daripada COVID-19 juga diuji positif lagi bagi penyakit itu setakat 22 April. Mereka dikesan dalam satu operasi pengujian khas yang dijalankan menyusuli penemuan kes 62181.
PERJALANAN LUAR NEGARA
Kes 62440 berada di Bangladesh dari 17 Feb hingga 21 Dis tahun lalu dan menjalani notis jangan keluar rumah di sebuah kemudahan khusus dari 21 Dis hingga 4 Jan.
Ujian swab yang diambil pada 1 Jan semasa notis jangan keluar rumah adalah negatif bagi COVID-19. Ujian yang diambil merupakan sebahagian daripada ujian rutin berjadual. Hasil ujian rutin terakhir pada 20 Apr juga negatif.
Jangkitan beliau dikesan selepas beliau diletakkan di bawah kuarantin pada 22 Apr sebagai sebahagian daripada langkah berjaga-jaga menyusli pengesanan kes 62181.
Lelaki itu tidak bergejala tetapi beliau diuji pada 23 Apr semasa menjalani kuarantin untuk menentukan statusnya.
Keputusan ujiannya adalah positif dan beliau dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit dengan menaiki ambulans.
Satu lagi ujian yang dijalankan oleh Makmal Kesihatan Awam Nasional pada 25 Apr juga negatif.
"Nilai Ctnya adalah sangat tinggi, dan keputusan ujian serologinya juga positif.
"Berdasarkan sejarah perjalanannya, beliau berkemungkinan dijangkiti ketika berada di luar negara dan masih melupuskan cebisan kecil RNA virus, yang tidak lagi menjangkiti orang lain," menurut MOH.
"Sebagai langkah berjaga-jaga, kami akan masih mengambil semua tindakan kesihatan awam yang perlu."
Langkah kuarantin dan sekatan pergerakan sudah dilaksanakan di dormitori Westlite Woodlands, menurut MOH pada 22 Apr, setelah beberapa kes jangkitan dilaporkan di sana.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.