Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes tipu Tradenation: Pasangan suami isteri dikenakan tuduhan baru

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sepasang suami isteri yang dituduh melakukan penipuan jutaan dolar melibatkan barangan mewah didakwa pada Jumaat (13 Jan) dengan lebih banyak kesalahan.

Warga Singapura, Pi Jiapeng, 27 tahun, dikenakan dua pertuduhan baru manakala isterinya, Siriwipa Pansuk, warga Thailand berusia 28 tahun, dikenakan satu pertuduhan.

Salah satu pertuduhan baru terhadap Pi menyatakan bahawa kira-kira pukul 3.30 petang pada 18 Oktober tahun lalu, dia enggan menandatangani kenyataannya apabila dikehendaki oleh pegawai polis.

Pi juga dituduh gagal melaporkan diri untuk diikat jamin di Ibu Pejabat Divisyen Ang Mo Kio pada 12 Julai tahun lalu sebagaimana yang dikehendaki olehnya. Ini selepas dia dibebaskan dengan ikat jamin pada 28 Jun tahun lalu.

Pansuk pula dituduh meninggalkan Singapura pada 4 Julai tanpa memohon agar pasport Thailandnya dikembalikan kepadanya selepas dia menyerahkan pasport tersebut kepada pihak berkuasa pada 30 Jun 2022. Destinasi yang hendak dituju Pansuk bagaimanapun tidak didedahkan dalam kertas pertuduhan.

Pi kini berdepan lima pertuduhan manakala Pansuk dikenakan empat pertuduhan. Pasangan itu direman dan dijadualkan kembali menghadap mahkamah untuk persidangan sebelum perbicaraan pada Februari.

Pi dan Pansuk dituduh menipu pelanggan Tradenation untuk membayar bagi jam mewah yang mereka tidak berniat untuk menghantar. Mereka juga didakwa menipu pelanggan untuk membeli bag tangan mewah.

Satu lagi pertuduhan dikenakan kerana mereka meninggalkan Singapura secara haram melalui Pusat Pemeriksaan Tuas pada 4 Julai 2022.
Pasangan itu sebelum ini telah melarikan diri selama lima minggu sebelum diberkas di Malaysia dan diserahkan kepada polis Singapura pada 11 Ogos 2022.

Pasangan itu memberitahu mahkamah sebelum ini bahawa mereka menerima ugutan bunuh sebelum melarikan diri dari Singapura. Kedua-duanya berkata bahawa mereka akan bekerjasama dengan pegawai polis untuk siasatan.

Jika disabit kesalahan enggan menandatangani kenyataan, Pi boleh dipenjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga S$2,500 atau kedua-duanya sekali. Jika disabit kesalahan gagal melaporkan diri untuk diikat jamin, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.

Hukuman bagi meninggalkan Singapura tanpa membuat permohonan bagi pasport yang diserahkan untuk dikembalikan adalah penjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan