Skip to main content

Singapura

Kes tipu Tradenation: 4 mangsa gagal perolehi hingga S$2.84 juta dari harta yang dirampas

Anggaran Waktu Membaca:
Kes tipu Tradenation: 4 mangsa gagal perolehi hingga S$2.84 juta dari harta yang dirampas

Pi Jiapeng dan Siriwipa Pansuk diserahkan kepada SPF pada 11 Ogos 2022. (Gambar: CNA/ Calvin Oh)

SINGAPURA: Empat yang didakwa mangsa kes penipuan barangan mewah bernilai jutaan dolar gagal dalam usaha mereka untuk mendapatkan perintah mahkamah agar Jabatan Ehwal Komersial (CAD) Pasukan Polis Singapura (SPF) dapat melepaskan sehingga S$2.84 juta dalam harta yang dirampas.

Empat pemohon tersebut, Chng Zhun Teck Jackson, Lee Boon Ping, Chang Khang Lee dan Tan Jen Sen Hermen, merupakan pelanggan Tradenation dan Tradeluxury.

Kedua-dua syarikat tersebut dikendalikan oleh rakyat Singapura, Pi Jiapeng serta isterinya, warga Thai, Siriwipa Pansuk. Pasangan itu, yang kedua-duanya berusia 28 tahun, disyaki merupakan dalang di sebalik kes penipuan barangan mewah yang melibatkan sekurang-kurangnya S$20 juta dengan lebih 180 aduan polis difailkan terhadap kedua-dua syarikat itu.

Menurut penghakiman yang didedahkan hujung minggu lalu, aduan polis tersebut mendakwa bahawa syarikat-syarikat tersebut gagal untuk memenuhi pesanan jam serta beg mewah, selepas menerima bayaran penuh daripada para pelanggan.

Pasangan tersebut sebelum ini telah melarikan diri selama lima minggu sebelum diberkas di Malaysia dan diserahkan kepada polis Singapura pada 11 Ogos 2022.

Mereka kemudian ditahan reman dan dikenakan lebih seratus tuduhan setiap seorang, termasuk menipu dan menjalankan perdagangan palsu.

Keempat-empat pemohon dalam kes itu telah memperolehi penghakiman terhadap pasangan tertuduh dan dua syarikat mereka dalam prosiding sivil di Mahkamah Tinggi.

Berbekalkan penghakiman tersebut, mereka ke mahkamah majistret bagi memohon pelepasan sehingga S$2.84 juta daripada hartanah yang dirampas oleh CAD semasa siasatan jenayah tersebut sedang dijalankan, bagi memenuhi penghakiman sivil yang mereka perolehi.

Mereka meminta dana daripada empat akaun bank yang dirampas oleh CAD, serta baki hasil jualan kereta Chevrolet Corvette V8, yang dibeli oleh Pi.

Pihak pendakwa bagaimanapun menolak permohonan tersebut dengan menyatakan bahawa ia tidak dibenarkan memandangkan ia "tidak diperlukan dalam menegakkan keadilan" dan CAD sepatutnya dibiarkan memberi tumpuan kepada siasatan yang sedang dijalankan. Ini sekalipun pihak pendakwa akur bahawa pemohon-pemohon itu mempunyai kedudukan untuk mengemukakan permohonan tersebut.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita