Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes tipu Tradenation: 2 warga M'sia dipenjara bantu larikan suspek keluar S'pura naiki lori

Dua pekerja logistik yang bersubahat untuk membantu suspek-suspek penipuan barangan mewah Tradenation, bernilai jutaan dolar, keluar dari Singapura dalam sebuah lori dijatuhi hukuman penjara pada Khamis (29 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Kes tipu Tradenation: 2 warga M'sia dipenjara bantu larikan suspek keluar S'pura naiki lori

Pi Jiapeng dan Siriwipa Pansuk diserahkan kepada SPF pada 11 Ogos 2022. (Gambar: CNA/ Calvin Oh)

SINGAPURA: Dua pekerja logistik yang bersubahat untuk membantu suspek-suspek penipuan barangan mewah Tradenation, bernilai jutaan dolar, keluar dari Singapura dalam sebuah lori dijatuhi hukuman penjara pada Khamis (29 Sep).

Mohamed Alias, 40 tahun dan Mohamad Fazli Abdul Rahman, 38 tahun, masing-masing dijatuhkan hukuman penjara setahun.

Mereka masing-masing mengaku bersalah atas dua tuduhan di bawah Akta Imigresen dengan bersekongkol dengan seseorang untuk meninggalkan Singapura secara haram.

Mahkamah diberitahu rakyat Singapura Pi Jiapeng, 26 tahun, dan warganegara Thailand Pansuk Siriwipa, 27 tahun, disiasat Pasukan Polis Singapura (SPF) ketika itu berhubung kes melibatkan penipuan.

Kes itu berkait dengan syarikat-syarikat Pi dan Pansuk, yang mengendalikan perniagaan menjual produk-produk mewah. Menurut laporan lalu, sekurang-kurangnya 180 aduan polis melibatkan dua syarikat - Tradenation dan Tradeluxury - dilfailkan sejak dari Jun.

Sebagai sebahagian daripada siasatan yang dijalankan, pasangan itu menyerahkan pasport mereka kepada polis pada Jun tahun ini.

Sekitar 3 Julai lalu, seorang kenalan Fazli yang tidak dikenali, bernama Anson, menghubunginya. Anson meminta Fazli mencari seorang pemandu bagi menyeludup dua individu keluar dari Singapura pada hari berikutnya.

Fazli bersetuju untuk berbuat demikian dengan dibayar RM16,000 ringgit (S$5,025). Pada hari yang sama, dia menghubungi Alias, rakan kerjanya yang bertugas di syarikat logistik Malaysia yang sama. Alias, warga Malaysia, bekerja sebagai pemandu lori yang membuat penghantaran dari Malaysia ke Singapura.

Fazli, juga warga Malaysia dan berpangkalan di sana, bertanya kepada Alias jika dia boleh menyeludup dua orang keluar dari Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Tuas. Alias bersetuju untuk berbuat demikian dengan dibayar upah.

Pada 4 Julai 2022, Alias memandu lori yang berdaftar di Malaysia ke sebuah kemudahan penyimpanan kendiri di Ang Mo Kio untuk mengendalikan pesanan penghantaran. Dia berkongsi lokasi itu bersama Fazli.

Dengan mengikut arahan Anson, Fazli menyuruh Alias supaya menunggu pasangan tersebut di sana. Sekitar pukul 5.00 petang hari berkenaan, Pi dan Pansuk tiba di lokasi itu dan memberitahu Alias mereka berada di sana untuk menaiki lori berkenaan.

Alias kemudian memahami bahawa mereka adalah pasangan yang akan diseludup keluar dari Singapura.

Pasangan itu duduk di tempat duduk penumpang dan Alias memandu mereka ke Pusat Pemeriksaan Tuas. Alias juga memaklumkan kepada Fazli dia sudah berjaya menjemput pasangan tersebut.

Ketika mereka menghampiri Pusat Pemeriksaan Tuas, Alias memberitahu pasangan itu supaya bersembunyi di dalam kontena di bahagian belakang lori dan mereka mengikut arahannya.

Di pusat pemeriksaan, pegawai imigresen melakukan pelepasan standard ke atas lori yang meninggalkan Singapura dan kontena tersebut tidak diperiksa.

Alias memandu keluar dari Singapura dan memasuki Johor Bahru dengan pasangan tersebut masih berada di dalam lori. Dia kemudian menghubungi Fazli dan diarahkan supaya membiarkan pasangan itu turun di jejambat dekat Pusat Pemeriksaan Johor.

Pasangan tersebut turun dari lori dan kemudian dijemput oleh seorang pemandu yang tidak dikenali.

Pada 5 Julai 2022, Fazli menerima RM16,000 daripada Anson melalui pemindahan bank. Dia menyerahkan RM11,000 (S$3,460) kepada Alias dalam bentuk wang tunai.

Siasatan polis terhadap pasangan itu membawa kepada Alias serta Fazli dikenalpasti waran tangkap dikeluarkan. Alias diberkas pada 14 Julai 2022 selepas dia ditahan di Pusat Pemeriksaan Tuas.

Fazli ditangkap oleh polis Malaysia sebulan kemudian dan diserahkan kepada SPF. Pasangan tersebut pula diberkas di Johor Bahru pada 11 Ogos dan dibawa ke Singapura.

Kedua-dua Fazli dan Alias tidak diwakili peguam.

Siasatan dan prosiding terhadap pasangan tersebut masih sedang dijalankan.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan