Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes tipu pancing data OCBC: Lelaki didakwa bantu simpan hasil dari perbuatan jenayah

Mark Teo Sin Yan dituduh membenarkan seseorang individu yang tidak dikenali menggunakan akaun bank UOB di bawah nama "Royals Beaute" untuk memindahkan dan mengeluarkan hasil daripada perbuatan jenayah.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang lelaki didakwa pada Selasa (19 Jul) bagi tuduhan berkaitan penipuan memancing data yang menyasarkan pelanggan OCBC semasa tempoh musim cuti hujung tahun lalu.

Mark Teo Sin Yan, 31 tahun, dituduh membenarkan seseorang individu yang tidak dikenali menggunakan akaun bank UOB di bawah nama "Royals Beaute" untuk memindahkan dan mengeluarkan hasil daripada perbuatan jenayah antara Nov dengan Dis 2021.

Dia dikenakan satu tuduhan membantu seorang lagi individu untuk menyimpan wang yang diraih daripada perbuatan jenayah, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda sehingga S$500,000 atau kedua-duanya sekali.

Teo sebelum ini didakwa atas beberapa kesalahan lain termasuk ugutan jenayah, menipu, memberi maklumat palsu kepada pegawai polis dan melanggar Akta Trafik Jalan Raya.

Dia akan kembali hadir di mahkamah bagi sidang sebelum perbicaraan lewat minggu ini.

Polis sebelum ini menyatakan seorang mangsa penipuan membuat aduan polis pada 26 Dis 2021, selepas mendapati berlaku urus niaga tanpa kebenaran berjumlah lebih S$100,000.

Siasatan awal mendedahkan lebih S$18,000 wang mangsa dipindahkan ke sebuah akaun bank korporat UOB.

Teo dikatakan menggunakan butiran peribadi CorpPass miliknya untuk membuka akaun korporat bagi sebuah syarikat tempatan pada Nov 2021, menurut polis.

Dia kemudian disyaki memberikan akaun bank itu kepada seorang individu yang tidak dikenali atas sebab dibayar wang.

Lebih S$4 juta disalurkan melalui akaun bank itu dalam beberapa urus niaga bernilai tinggi dari 20 Dis hingga 27 Dis 2021.

Sekurang-kurangnya 14 individu sudahpun ditangkap berhubung kes penipuan pancingan data OCBC.

Awal bulan ini, seorang lelaki 21 tahun menjadi individu pertama dijatuhi hukuman di mahkamah dalam kalangan mereka yang dituduh terlibat dalam penipuan itu.

Leong Jun Xian dikenakan latihan pemulihan sekurang-kurangnya setahun kerana menyediakan khidmat pengubahan wang haram kepada disyaki sindiket-sindiket luar negara.

Pelanggan kehilangan S$13.7 juta dalam penipuan pancingan data OCBC tersebut, menurut bank itu pada Jan. Ia kemudian menghulurkan "bayaran muhibah" yang dibuat secara penuh kepada mereka yang terjejas.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan