Skip to main content

Singapura

Kes tipu Global Envy S$1b: Waran tangkap dikeluarkan terhadap lelaki dituduh bantu bekas pengarah larikan diri

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Waran tangkap dikeluarkan pada Selasa (6 Sep) terhadap seorang lelaki yang dituduh bersubahat untuk membantu seorang peniaga yang terbabit dalam satu kes penipuan pelaburan nikel bernilai S$1 bilion untuk lari dari Singapura.

Shawn Liew Cheng Long, 36 tahun, didakwa pada Julai atas satu tuduhan bersubahat dengan seorang lelaki lain untuk membantu bekas pengarah urusan Envy Global Trading Ng Yu Zhi meninggalkan Singapura secara haram ketika Ng sedang disiasat atas tuduhan jenayah terhadapnya.

Liew gagal hadir di mahkamah bagi sebutan kesnya pada Selasa dan hakim mengeluarkan waran untuk memberkas Liew.

Liew dituduh bersubahat dengan Ang Yew Teck sekitar Ogos 2021 untuk membantu Ng meninggalkan Singapura dan menghalang keadilan. Dia didakwa menawarkan Ng rancangan untuk meninggalkan Singapura.

Ang dikenakan tuduhan yang sama pada Februari dan juga kesalahan lain, termasuk berjudi.

Polis dalam satu menyatakan sebelum ini menyatakan kes melibatkan Liew adalah berasingan daripada satu lagi percubaan oleh tiga orang yang lain untuk membantu Ng melarikan diri. Ketiga-tiga orang itu sudah dihukum penjara.

Ng menghadapi lebih 100 tuduhan, termasuk menipu dan pecah amanah jenayah. Salah satu tuduhan melibatkan salahguna sekurang-kurangnya S$201.2 juta daripada akaun bank DBS Envy Global Trading antara Ogos 2020 dengan Februari 2021.

Mangsanya termasuk seorang peguam jenayah yang ditipu lebih S$1 juta antara Oktober 2020 dengan Januari 2021, serta seorang wanita yang disenaraikan sebagai peguam am di laman web Temasek.

Beliau didakwa diperdaya S$5.5 juta dalam empat perjanjian pembelian dengan Envy Global Trading antara Oktober 2020 dengan Januari 2021.

Ng juga dituduh menipu seorang mantan presiden Persatuan Guaman Singapura kira-kira S$87,000 antara Oktober 2020 dengan Disember 2020.

Ng akan kembali ke mahkamah bagi persidangan sebelum perbicaraan pada Oktober.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita